20Mei2018

Pembangkang akan sebar berita palsu dalam kempen PRU14

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa keyakinannya bahawa pembangkang akan menyebar berita palsu menjelang pilihan raya umum ke-14 yang akan diadakan pada bila-bila masa.
 
Sehubungan itu katanya, wujud kebimbangan pembangkang apabila menolak usaha kerajaan mengenai penggubalan undang-undang baru bagi mengekang penularan berita palsu.
 
Beliau juga turut membidas Pakatan Harapan (PH), bahawa penggubalan itu tidak sama sekali untuk menutup sebarang kebenaran.
 
“Apakah kebenaran (sebenarnya bagi Pakatan Harapan)? Apakah ‘kebenaran’ seperti diperkatakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 melibatkan dakwaan 400,000 warga Bangladesh dibawa ke negara ini? Apakah itu bukan berita palsu?
 
“Adakah itu ‘kebenaran’ yang akan dibawa sekali lagi oleh mereka? Akan ada berita-berita palsu pada saat-saat akhir pada strategi kempen... Saya sangat pasti,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
 
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini yang ‘khuatir’ tentang cadangan undang-undang terhadap berita palsu, mengatakan ia undang-undang ‘baik’ tetapi tidak boleh digunakan untuk menutup kebenaran.
 
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan telah meminta pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk mempertingkatkan siasatan dan memenuhi aduan-aduan terhadap isu Perhimpunan Agung PPBM.
 
Katanya, langkah itu kerana kebolehpercayaan terhadap RoS adalah cukup tinggi kerana sifat ketelusan jabatan itu selama ini dalam melakukan siasatan terhadap pertubuhan-pertubuhan dan badan-badan politik yang menerima aduan dari ahli-ahli mereka sendiri.
 
Ditanya adakah siasatan tersebut boleh dilakukan dalam tempoh dua minggu ekoran gesaan ahli-ahli PPBM semalam, Ahmad Zahid berkata, perkara itu diserahkan kepada ROS kerana sebagai menteri, beliau tidak terlibat dalam aktiviti pengoperasian jabatan berkenaan.
 
Berhubung perhimpunan yang akan diadakan oleh kira-kira 1,000 ahli-ahli PPBM di ibu pejabat ROS di sini sebagai tanda protes, beliau berkata, perkara itu bergantung kepada ahli-ahli parti tersebut tetapi pihak polis akan hadir untuk memantau.-8/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 549  tetamu dalam talian