19November2017

PAS Selangor bahas usul bercerai dengan PKR di setiap cawangan

PAS Selangor menyerahkan kepada ahli di peringkat cawangan masing-masing mnembahaskan usul memutuskan hubungan politik dengan PKR.

Untuk rekod, PAS, PKR dan DAP berkongsi kuasa di Selangor dan jika PAS mengambil sikap memutuskan hubungan dengan PKR, kerajaan negeri pasti akan bergoyang.

Ini kerana PAS mempunyai 13 kerusi DUN di negeri tersebut, kerajaan Selangor akan hilang 2/3 majoriti dalam Dewan Negeri dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali boleh berdepan usul undi tidak percaya jika keadaan itu berlaku.

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Syarhan Humaizi Abd Halim berkata cawangan PAS Selangor akan membahaskan usul untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dalam mesyuarat agung di kawasan masing-masing.

Menurutnya perkara itu akan dibincangkan secara teliti oleh ahli di peringkat cawangan, sebelum pihaknya menilai sejauh mana perkembangan isu terbabit.

"Malah, seperti yang disuarakan oleh Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), hubungan bersama PKR sedang dikaji secara serius dan akan dibawa ke dalam Muktamar Tahunan PAS nanti," katanya pada Selasa.

Sebelum ini, PAS Permatang Pauh dan Bayan Baru, Pulau Pinang meluluskan usul untuk memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR berikutan tindakannya yang sering membelakangkan PAS dalam membuat sebarang keputusan.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS Tumpat, Kelantan ketika meluluskan usul sama, turut kecewa dengan tindakan PKR yang terus menjalin hubungan dengan musuh PAS, iaitu DAP dan Parti Amanah Negara.

Ditanya mengenai hubungan dengan DAP, Syarhan berkata keputusan PAS memutuskan hubungan dengan DAP adalah tepat kerana sikap pemimpinnya yang sering menyentuh sensitiviti orang Islam.

"Kita yakin, masyarakat bukan Islam dalam kalangan Tionghua (Cina) sendiri tidak menyukai sikap DAP. Keharmonian kaum yang ada serta pengamalan agama masing-masing sebelum ini, tidak pernah mencetuskan suasana campur tangan dalam urusan keagamaan.

"Isu lain boleh dimainkan oleh DAP akan tetapi apabila menyentuh isu agama ini, ia ibarat mengganggu sarang tebuan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, Selangor adalah antara lima negeri yang menjadi sasaran PAS pada PRU14.

“Kita melihat lima negeri termasuk Selangor sebagai sasaran. Yang ada sekarang adalah hasil daripada PRU13 yang mana kita bersetuju PKR memimpin.

“Sekarang sudah berbeza dan tidak sama dengan PRU13, kita buat sasaran kita,” katanya.

Beliau mengulas ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyebut hasrat PAS memimpin Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor, manakala yang lain terserah kepada UMNO.

Nik Abduh berkata, sekiranya trend keputusan itu sama seperti PRU13, pintu rundingan dengan mana-mana pihak masih boleh dibuka.

Beliau menafikan sasaran yang dibuat hasil pakatan dengan UMNO, sebaliknya dilakukan berdasarkan kemampuan PAS.

“Ini sasaran kita bersama yang dibuat PAS Pusat, (dipersetujui) di semua peringkat. Kita mahu lebih banyak kerusi.

“Yang Tok Guru (Abdul Hadi) sebut negeri UMNO dah perintah, makna kekal, bukan bermakna ada satu pakatan, sekiranya Pakatan Harapan nak, dia kena usaha sendiri,” katanya.

Dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, Nik Abduh berkata, sering kali pihak berkenaan menyatakan mahu menawan Kelantan dengan meletakkan calon di kawasan PAS bertanding.

“Sebelah sana sering cakap nak kalahkan PAS di Kelantan, akan bertanding di semua kawasan PAS tanding. Bila sebelah sini (PAS) cakap nak tawan dan tambah empat atau lima negeri lagi dan bakinya BN kekal perintah, sebelah sana mula meroyan kata PAS kerjasama dengan UMNO,” katanya.

Nik Abduh menyarankan parti berkenaan berusaha sendiri jika mahu memerintah negeri berkenaan.-21/3/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 518  tetamu dalam talian