14Disember2018

PAS mahu himpunan bantah ICERD di KL 8 Disember jalan terus selagi kerajaan PH tidak bagi jaminan...

PAS berpendirian rancangan himpunan mega di Kuala Lumpur pada 8 Disember ini harus diteruskan kerana setakat ini kerajaan Pakatan Harapan tidak memberi sebarang jaminan bahawa Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak akan diratifikasi.
 
Ini ditegaskan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah kepada wartawan ketika ditemui selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Bharu Rabu.
 
Katanya “daripada kenyataan PM dan Datuk Seri Anwar pun cuma kata sukar tetapi tiada satu kenyataan yang tegas bahawa kerajaan tidak akan ratifikasi.
 
“Jadi dari segi kita ada kebimbangan.Sebab itu himpunan 8 haribulan ini perlu diteruskan bagi menyatakan pendirian dan memberi signal rakyat tentang pendirian rakyat.”
 
Menurutnya dalam konteks kerajaan dan parti sudah semestinya mereka mengharapkan satu kenyataan yang tegas dari pimpinan kerajaan terutama Perdana Menteri.
 
“Dia kata sukar tetapi tidak ada kata tak nak buat,”katanya.
 
Pengumuman mengenai himpunan 8 Disember dibuat semasa himpunan mega bantah ICERD di Pasar Salak pada malam 17 November yang dihadir bersama oleh pimpinan UMNO dan PAS.
 
ia diumum Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dalam ucapan beliau yang turut dihadiri oleh Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang.
 
Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi kata ahli UMNO akan turut serta dalam himpunan itu.
 
Selepas itu Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar semasa menghadiri sidang APEC di Port Moresby di Papua New Guinea berkata ICERD mustahil dilaksana kerana akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
 
Perdana Menteri memberitahu majoriti dua pertiga anggota parlimen diperlukan untuk melaksanakan perkara itu.
 
Katanya hampir mustahil berikutan komposisi semasa anggota Dewan Rakyat daripada kerajaan dan reaksi bantahan yang ditunjukkan berhubung perkara itu daripada pihak pembangkang serta anggota kerajaan.
 
Menjawab soalan lain,Nik Mohd Amar kata beliau mendokong penuh kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy harus letak jawatan.
 
Katanya menteri itu telah menimbulkan banyak keresahan dikalangan masyarakat dan dalam komen komen pun ramai orang bukan Melayu sendiri tidak setuju dengan pendiriannya.
 
Menurut beliau berdasarkan keadaan dalam negara selama ini dari segi layanan dan peluang kerja kepada bukan Melayu keperluan pada ICERD itu tidak ada.
 
Nik Mohd Amar mengakui parti ini kini berkongsi pandangan dengan pelbagai pihak kebelakangan ini wujud keadaan keadaan yang membimbangkan dalam negara.
 
“Orang sudah mula pertikai banyak perkara termasuk perkara yang sudah diterima dalam Malaysia.Perkara yang fundamental pun sudah dipertikaikan.Sudah tentu akan mencetuskan satu pertembungan,”katanya.
 
Beliau berpendapat sepatutnya perkemaskan apa yang perlu dan jangan ambil Barat sebagai panduan seolah Barat itu sempurna.
 
“Orang bukan Islam pun hidup di Malaysia sepatutnya berfikir dalam kerangka negara ini,Kenapa semua benda nak rujuk kepada Barat.Janganlah apa yang dicakap di Barat semuanya kita (ikut) cakap.
 
”.Jangan kita jadi macam beruk dapat bunga.Beruk dapat bunga habis dikoyaknya,”katanya.
 
Mengenai hubungan PAS-UMNO beliau menjelaskan kerjasama antara dua parti itu kini hanya terhad kepada isu ICERD dan himpunan 8 Disember.
 
“Dari segi lain tidak ada…kita tidak ada perbincangan apa apa.Ini lebih kepada isu bersama…kita bersamalah,”katanya.- 21/11/2018
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 309  tetamu dalam talian