25Mei2017

PANAS…PAS Permatang Pauh pula ‘mengamuk’ desak putus hubungan dengan PKR

 
Nampaknya makin hari makin panas.
 
Jumaat malam lalu Pemuda PAS Tumpat,kawasan diketuai Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob lulus usul putus hubungan dengan PKR…Ahad,PAS Permatang Pauh,kawasan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail juga mahu bercerai.
 
Ia bukan keputusan semborono sebaliknya dibuat dalam mesyuarat agung PAS kawasan itu.

Mereka bersetuju membawa usul memutuskan hubungan dengan PKR pada muktamar parti itu di Kedah hujung April ini.
 
Bukan setakat itu, Yang dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan ( gambar atas sedang pegang mikrofon) dalam satu kenyataan media rembat sakan PKR termasuk mendakwa ia tidak menghormati prinsip setiakawan.
 
Semua orang tahu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dalam penjara kerana bersalah meliwat dan isterinya Wan Azizah selama ini terus menerus berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh atas sokongan PAS di kawasan itu.
 
Kini dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Permatang Pauh dua kawasan yakni  Seberang Jaya dan Penanti dipegang oleh PKR manakala Permatang Pasir, PAS.
 
Omar juga mendakwa PKR cuba menjejaskan kedudukan PAS dalam kalangan pengundi Melayu-Islam di sana menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.
 
Beliau juga mendakwa PKR tidak menghormati PAS sebagai rakan kerjasama kerana mereka mengekalkan kerjasama dengan DAP dan PAN untuk menyerang mereka.
 
“PKR didapati sewenang-wenangnya menggunakan sebilangan ahli PAS untuk kepentingan politik PKR tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan PAS,” katanya .
 
Katanya lagi, lebih memudaratkan apabila ahli PAS mengadu PKR meminta mereka keluar parti bagi tujuan memegang jawatan tertentu dalam kerajaan negeri Pakatan Harapan.
 
“Sifat tidak bertanggungjawab oleh PKR ini menunjukkan PKR sangat tidak menghormati prinsip setiakawan dan boleh menjejaskan PAS,” katanya.
 
Omar menuduh PKR gagal mempertahankan Islam di Pulau Pinang, mendakwa parti itu menurut kehendak DAP mencampuri urusan penfatwaan.
 
“Terdapat beberapa fatwa yang dilengahkan/ditangguhkan oleh PKR dan DAP melalui exco agama,” katanya.
 
Pada 31 Januari, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusof mendakwa kerajaan negeri mengarahkan semua fatwa melalui majlis mesyuarat kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum ia diluluskan sebagai undang-undang.
 
Di bawah undang-undang negeri, Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang boleh mengeluarkan fatwa untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipersetujui, untuk kemudiannya diwartakan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2004.- 19/3/2017
 
 
 
 
 
Pemuda PAS Tumpat mahu hubungan politik dengan PKR diputuskan terus...
 
Menjelang Muktamar PAS yang akan menentukan hubungan parti itu dengan PKR April ini... gendang perang sudah mula dipalu.
 
Macam biasa yang mula berperang ini orang muda, tapi agak menarik melihat Tumpat menjadi tapak untuk melancarkan serangan terhadap PKR.
 
Tumpat bukan bahagian yang biasa bagi PAS Kelantan, YDP PAS Tumpat adalah Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob yang bertanding salah satu DUN dalam kawasan Parlimen Tumpat.
 
Ahmad Yaakob bukan sahaja MB Kelantan tapi juga Timbalan Muryidul Am PAS Malaysia dan Jumaat malam Mesyuarat Dewan Pemuda PAS Tumpat sebulat suara meluluskan usul tergempar membatalkan kerjasama politik dengan PKR dan memutuskan hubungan dengan parti berkenaan.
 
Bagi yang faham 'bahasa politik', usul yang dibawa Pemuda PAS Tumpat ini usul yang serius, terutama sekali di Kelantan.
 
Usul tersebut dikemukakan oleh Perwakilan Cabang Empat Kedai, Ahmad Fadli Abu Bakar dalam mesyuarat kali ke-40 yang berlangsung di Wisma I’baadurrahman turut mahu kerusi yang dipinjamkan parti itu kepada PKR pada pilihan raya umum lalu diambil balik.
 
Ketika membentangkan usul tersebut, Ahmad Fadli berkata, langkah itu perlu dilakukan memandangkan PKR yang mengaku mempunyai hubungan tahaluf siyasi dengan Pas namun dalam masa mengekalkan kerjasama dengan musuh parti itu iaitu DAP dan PAN.
 
Menurutnya, PKR juga menunjukan sifat biadabnya apabila menerima keahlian Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang menang atas tiket PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
 
“Dengan itu, saya mengusulkan kepada Dewan Pemuda PAS negeri untuk dipanjangkan kepada Dewan Pemuda PAS dan PAS Pusat supaya memutuskan segera hubungan dengan PKR secara menyeluruh termasuk tidak lagi membantu mereka pada pilihan raya,” katanya yang dipetik Utusan.
 
Perwakilan Telaga Manis, Sharul Munir Husien yang menyertai sesi perbahasan menyokong dan meminta semua ahli perwakilan turut menyokong usul berkenaan.
 
Semua perwakilan yang berada di dalam dewan mesyuarat tersebut berlangsung kemudian dengan sebulat suara menyokong usul tersebut.
 
“Saya menyokong 100 peratus usul tersebut berdasarkan beberapa perkara. Pertama PKR ingat hubungan dengan PAS ini perkara main-main. Waktu mereka suka mereka datang kemudian boleh bersama musuh kita mengkritik PAS, “ katanya.
 
Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudin yang turut dihadiri Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri, Nazman Che Iberahim dan Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan Tumpat, Mohd Hushaimi Hussain (gambar).
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata parti itu memang tidak akan kerjasama dengan mana-mana parti yang berhubungan dengan PAN dan DAP.
 
Difahamkan badan pemikir parti itu, Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP), sudah merangka simulasi strategi yang membolehkan PAS bertanding secara bersendirian dan memenangi kerusi-kerusi yang ditandingi dalam PRU14.
 
Pengarah operasi PPP, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata beliau berkata, hubungan PAS dengan PKR mungkin akan diputuskan pada Muktamar PAS yang akan berlangsung akhir bulan depan.
 
"Memang ada usul yang meminta hubungan antara keduanya (PAS dengan PKR) dibincangkan. Saya rasa keputusannya sudah ada, cuma akan diumumkan pada muktamar nanti," katanya lagi.
 
PKR sebelum ini mengambil pendirian tidak bersama dengan PAS dan pihak-pihak lain dalam perhimpunan RUU 355 baru-baru ini.
 
Ini memberi tafsiran tersendiri mengenai hubungan PAS-PKR di Selangor dan di Malaysia kerana majoriti penyokong PKR di Selangor adalah orang Islam.
 
Kalau berlaku keretakan hubungan kedua-duanya di Selangor, ini sesuatu yang dijangka.
 
Lebih-lebih lagi Haji Hadi telah mengambil pendirian menentang kumpulan politik yang bersama dengan DAP.-18/3/2017
 
 
 
 
 
 

loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1159  tetamu dalam talian