21September2017

Pakatan tiga nakhoda akan tenggelam di lautan politik….-TPM Zahid

Satu kapal tiga nakohda.Itu nampaknya menjadi istilah popular sejak Pakatan Harapan umum barisan pimpinan baru Khamis malam yang membuatkan ramai bingung bagaimana mereka hendak bergerak satu arah sekalipun matlamat bersama hendak jatuhkan Barisan Nasional.
 
Sejak dalam kerajaan sebelum dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dulu cara pemikiran Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah berbeza dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini Pengerusi Pakatan.
 
Datuk Seri Wan Azizah Ismail yang jadi Presiden Pakatan Harapan pula diketahui umum hanya ikut apa kata suaminya yang kini dalam penjara kerana bersalah meliwat.
 
Ini belum kira lagi Timbalan Presiden ada tiga orang Tan Sri Muhyiddin,Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu yang juga lain rentak dan gerak langkah politik.
 
Malah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi menyifatkan satu gabungan parti politik yang diketuai oleh tiga orang serentak adalah di luar lingkungan pemikiran kewarasan manusia biasa.
 
"Lazim hukum akal, kapal yang ada tiga nakhoda akan terumbang ambing (kerana) ada yang mahu ke kanan dan ke kiri, (akhirnya) kapal akan tenggelam. Pakatan tiga nakhoda akan tenggelam di lautan politik.
 
"Kita bukan mahu mempertikaikan soal dalaman mereka, tetapi mahu rakyat analisis jika hala tuju berbeza ke mana haluan mereka. Lihat rekod kejayaan kita (Barisan Nasional) yang mampu membela rakyat hasil konsep perkongsian kuasa," katanya.
 
Beliau menyatakan demikian di majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ledang di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Tangkak Sabtu.
 
 Zahid berkata melalui konsep perkongsian kuasa yang dilaksanakan, BN terbukti berjaya membela nasib rakyat dan UMNO sebagai sebuah parti utama pakatan itu tidak pernah melupakan perjuangannya demi orang Melayu dan agama Islam.
 
"UMNO perjuangan Melayu dan Islam tidak dilupakan tetapi dalam masa sama bukan Melayu dan bukan Islam juga tidak pernah kita lupakan atas dasar perkongsian kuasa BN," katanya.
 
Beliau berkata Tsunami Melayu yang dicanang pihak pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 hanyalah sebuah perang psikologi demi mendapatkan sokongan rakyat.
 
"Mereka mengajak orang Melayu wujudkan satu gelombang sokongan kepada mereka walapun tahu sokongan (kepada) mereka adalah pada tahap minimum. Pilihan raya bukan berasaskan kajian tetapi kerja sebenar parti justeru kita harus memenangi minda dan hati pengundi," katanya.
 
Sementara itu, dalam sidang media kemudian, Zahid berkata beliau percaya Pakatan Harapan akan mendaftar sebagai entiti politik dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan akhirnya meletakkan calon-calon dengan lambang yang sama untuk pilihan raya umum yang akan datang.
 
Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) supaya memastikan ia komited untuk memenuhi peraturan Akta Pertubuhan 1966 sebagai sebuah entiti gabungan parti-parti politik.
 
"Tentunya ROS akan bertindak profesional mengikut perundangan yang ada seperti yang diperuntukan dalam akta pertubuhan 1966 serta meneliti perlembagaan parti berkenaan," katanya.
 

loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 850  tetamu dalam talian