03September2014

Penyertaan Nasharudin ke Gaza model kerjasama Hamas - Fatah: Dr M

nashacccxx
KEMASKINI:PAS perlu melihat penyertaan bekas timbalan presiden parti itu, Nasharuddin Mat Isa ke Gaza sebagai model kerjasama antara kerajaan dan pembangkang sebagaimana harapan melihat kerjasama antara Hamas dan Fatah, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, beliau berkata PAS tidak seharusnya mengutamakan politik sehingga mengambil keputusan memecat Nasarudin, yang juga Anggota Parlimen Bachok, daripada Majlis Syura PAS.

Katanya ia seharusnya dijadikan model kerjasama untuk orang melihat umat Islam Malaysia walaupun pembangkang tetapi boleh bekerjasama dengan kerajaan demi membawa mesej keamanan sejagat.

"Sebaliknya PAS tak suka lihat ada orang PAS bekerjasama dengan BN (Barisan Nasional) untuk jadi contoh dua pihak (Fatah dan Hamas)...kalau kita sendiri tak boleh berdamai macam mana kita nak suruh orang berdamai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku 'Malaysia-Thailand Joint Authority (MTJA)-Strength In Collaboration' di Kuala Lumpur Selasa.

Ditanya jika Nasharudin perlu mengubah platform perjuangan iaitu keluar daripada PAS, Mahathir berkata: "Itu terpulang kepada dia."

Ahad lepas, Setiausaha Majlis Syura Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata Nasharuddin digugurkan kerana didapati melanggar peraturan berjamaah seperti ditetapkan Majlis Syura, dan keputusan dibuat pada 13 Jan lepas dalam mesyuarat yang dipengerusikan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.-29/1/2013


Nasharudin baru tahu dipecat dari Majlis Syura PAS menerusi media...perjuangan jalan terus!

Jika ada pemimpin PAS sudah tak ambil pusing apa dilakukan Nasharudin Mat Isa dan anggap pemecatan bekas timbalan presiden itu daripada  keahlian Majlis Syura Ulamak tidak menjejaskan PAS, beliau juga  macam tidak kisah lagi terhadap parti yang kononnya memperjuangkan  Islam.

 Bagi Ahli Parlimen Bachok,Kelantan itu, sama ada berjawatan  atau tidak, perjuangan untuk mendaulatkan Islam mesti diteruskan.

 Malah, tegasnya beliau akan terus berikan sumbangan terbaik  kepada  mana-mana pihak yang ingin mendaulatkan Islam.

 Itu kenyataan pertama Nasharudin sejak berita pemecatannya daripada Majlis Syura tersiar pada Ahad dan kemudian disahkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Agendadaily..

 Dalam teks pesanan ringkas kepada Agendadaily petang Isnin, Nasharudin atau ustaz Nasha menjelaskan, beliau hanya tahu mengenai keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Majlis Syura pada 13 Januari lalu melalui media  bukannya saluran rasmi parti.

 Pengakuan itu bertentangan dengan apa dijelaskan Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh bahawa surat pemecatan sudah diserahkan kepada  ustaz Nasha selepas mesyuarat tersebut.

 Apa yang hendak diselindungi PAS dalam isu pemecatan beliau jika dakwaan ustaz Nasha itu benar?

 Sebab itulah agaknya selepas mesyuarat pada malam 13 Januari lalu, semua pemimpin PAS cabut lari ikut pintu belakang enggan berdepan wartawan yang menunggu di lobi depan pejabat parti.

 Malah, menurut Nasharudin, ketika mesej SMS ini dihantar pada Agendadaily, beliau belum menerima sebarang surat menyatakan perlucutan jawatan tersebut.

 Namun, ustaz Nasha seakan-akan tidak peduli juga dengan tindak tanduk parti terhadapnya.

 “Berorganisasi hanyalah wadah tetapi berpegang pada prinsip adalah satu tuntutan,” itu antara mesejnya kepada Agendadaily bagi menjawab isu pemecatannya itu.

 Beliau mengakui menerima ratusan sms, email dan panggilan telefon sejak berita pemecatan itu dan mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan yang memberi sokongan kepadanya.

 Katanya, jawatan tersebut adalah lantikan parti, “Bukan pilihan saya. Jika parti ambil kembali jawatan itu, itu adalah hak parti,” katanya.

 Dengan pemecatan daripada badan tertinggi organ PAS itu, Nasharudin kini hanyalah ahli biasa parti itu.

 Ada pihak melihat tindakan itu sebagai usaha memudahkan tindakan lanjut PAS terhadapnya kerana selagi menganggotai Majlis Syura, PAS Pusat tidak boleh mengambil tindakan terhadapnya.

 Ustaz Nasha sudah menjadi figura parti kerana kenyataan keras beliau meminta PAS mengkaji semula hubungi dengan PKR dan DAP ekoran kenyataan Pengerusi DAP  Karpal Singh yang dikatakan menghina hudud dan anti Islam.

 Dalam pimpinan PAS Pusat ramai yang dikenali geng Anwarinas tidak senang hati dengan beliau ekoran isu itu termasuk mendakwa ustaz Nasha adalah perancang mewujudkan kerajaan perpaduan antara PAS dengan UMNO.

 Dengan hanya ahli biasa, PAS lebih mudah mengambil tindakan terhadap Nasha selepas ini termasuk memecatnya daripada parti – tindakan sama pernah diambil terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang tidak senang hati PAS menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terpalit isu moral.

 Ini juga membuka jalan PAS menggugurkan Nasharudin daripada terus bertanding mewakili parti itu dalam PRU 13.

 Sama ada ini jadi kenyataan dan memang benar PAS tak ambil pusing dan tak pening kepala dengan pemecatan ustaz Nasha – jawapannya hanya diketahui pada pilihanraya akan datang kerana orang ramai kini sudah nampak arah tuju sebenar politik PAS.

 Jika dalam PKR ramai pemimpin termasuk wakil rakyat meninggalkan parti tetapi dalam PAS, pemimpin yang menuntut kebenaran akan dipecat.

 Tindakan terhadap ustaz Nasha dan Dr Hasan adalah contoh tindakan berpilih PAS kerana ramai lagi pemimpin yang sudah melanggar peraturan berjamaah tetapi kerana mereka masih setia kepada Anwar dan Musyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mereka masih kekal dalam parti.

 Namun, ada yang melihat PAS ibarat sebuah kapal yang hampir karam. – 28/1/2013- OLEH ROSLAN BIAN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 606  tetamu dan tiada rakan dalam talian