22Disember2014

Nak jadi Datuk pun tak boleh ke Karpal?

karpaldap513
Kalau diibaratkan pertandingan tinju 15 pusingan, kedudukan kini  seri 1-1 antara Karpal Singh dengan Pengerusi DAP Perak Ngeh Koo Ham dan Speaker DUN Selangor Teng Chang Khim dalam isu terbaru yang dicetuskan Pengerusi DAP Kebangsaan itu.

Pengadil atau refree, Lim Guan Eng, pada ketika ini macam menjauhi diri dari kontroversi yang membabitkan Karpal dengan dua ADUN parti itu—kedua-duanya adalah “blue eye boy”nya.

Belum ada tanda-tanda salah seorang dari ketiga-tiga mereka bakal kalah atau diambil tindakan kerana “ia isu dalaman yang hanya orang dalam saja arif tentang apa yang berlaku.”

Perbalahan yang dicetuskan Karpal membabitkan soal prinsip kerana sebagai seorang peguam, Karpal sering mengutamakan prinsip dan keadilan seperti tergambar dalam motto perjuangannya.

Sejauh mana motto ini berjaya dipikul banyak bergantung kepada sokongan Guan Eng dan rakan-rakan dalam Jawatankuasa Kerja DAP atau CEC.

Dari segi saiz sokongan, jika perkara ini dibawa ke CEC,Karpal mungkin tewas serta DAP akan memasuki episod baru. Adalah dijangkakan DAP akan membenarkan wakil-wakil rakyat serta ahli-ahlinya menerima anugerah atau darjah kebesaran.

Ini dapat dibayangkan melalui kenyataan Teng Chang Khim, ADUN Sungai Pinang  bahawa”tidak salah menerima anugerah dari Sultan dan kita harus menghormati anugerah itu.”

Bagaimanapun sebelum isu ini dibawa ke meja perbincangan, Karpal berpendapat anugerah datuk yang diterima dua ADUN DAP itu bertentangan keputusan dibuat hampir 20 tahun lalu.

Ketika itu DAP yang belum memerintah mana-mana negeri  melarang ahli-ahlinya  menerima sebarang anugerah semasa berkhidmat.

Karpal merujuk kepada keputusan pada tahun 1990an yang melarang ahli-ahlinya menerima sebarang pingat atau anugerah.

Mengikut pendapat Karpal, Ngeh dan Teng tak sepatut menerima kerana telah ada persetujuan untuk mana-mana pemimpin Dap bergelar wakil rakyat menolak anugerah datuk.

Tetapi tentu saja komen terbaru Karpal dibalas oleh kedua-dua wakil rakyat DAP itu. Merekapun ada pendapat serta sebab untuk menyokong keputusan mereka menerima gelaran Datuk.

Untuk rekod, Ngeh menerima anugerah DPMP atau Darjah Paduka Mahkota Perak  dari Sultan Perak pada tahun 2008 manakala Teng dari Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2010.

Isu ini bukanlah isu besar yang boleh menenggelamkan kareer Karpal ataupun dua ADUN berkenaan. Ianya adalah “non issue” tapi kerana ia ditimbulkan Karpal maka isu ini tidak boleh lagi “disapu bawah tikar.”

Untuk rekod  jika kita baca hujah Ngeh dan Teng, dalam media (termasuk blog-blog) nyata kedua-dua pihak cuba menegak benang basah.

Ngeh dan Teng mendakwa mereka bukan memohon gelaran datuk tapi dianugerahkan oleh sultan.

Ngeh yang juga ADUN Sitiawan dan ahli parlimenBeruas mempertikai kenyataan Karpal kerana katanya CEC memberikan  beliau kebenaran untuk menerima anugerah tersebut.

Kata Ngeh wujud dua kumpulan bertentangan pendapat mengenai  isu anugerah datuk ketika isu ini diperbincangkan dalam CEC-satu menyokong Karpal manakala satu kumpulan lagi menentang.

Ngeh berpendapat gelaran itu tidak menyebabkan beliau berubah, malah masih makan nasi campur dengan rakyat serta tidak melupakan tanggungjawab membela nasib mereka.

Beliau tidak memohon anugerah DPMP tetapi setelah namanya dihantar Menteri Besar Perak ( Nizar Jamaluddin), ia diperkenankan Sultan Perak.Masa itu Ngeh ialah EXCO kanan kerajaan Pakatan Rakyat.

Selain Ngeh, Teng  juga dipetik mempertikai kenyataan Karpal. Beliau kesal Karpal masih mengungkit isu lama.  Bagi Teng, tidak salah  mana-mana ADUN termasuk dirinya menerima anugerah bergelar datuk dari Sultan Selangor.

Beliau juga mendakwa tidak membuat permohonan. Apabila  Sultan Sharafuddin Idris Shah menganugerahnya “datukship” , ia harus diterima dengan penuh hormat.

Isu anugerah datuk mula timbul semasa DUN Selangor bersidang. ADUN kawasan Sekinchan, Ng Suee Lim meminta Dap mengkaji semula peraturan ini. Ia satu peraturan tidak bertulis melarang mereka menerima pingat dan darjah kebesaran dari Istana.

Ng berpendapat, anugerah itu tidak salah dan harus diterima oleh wakil-wakil Dap bagi menangkis tomahan bahawa parti itu anti-Melayu.

Reaksi  Guan Eng ketika mengulas cadangan Ng bunyi begini iaitu belum tiba masanya DAP membincangkan soal penerimaan anugerah Istana.

Beliau dipetik berkata,”kita berjuang dalam politik demi rakyat, bukan kerana gelaran.Itu bukan tujuan kita.”

Guan Eng enggan menjawab secara muktamad mengenai isu ini kerana dikhuatiri memberi gambaran yang salah kepada umum.”Kalau saya kata ya (boleh terima), nampak macam saya mahu pingat.”

Sebelum itu Perkasa Selangor dalam satu kenyataan meminta Ngeh memulangkan semula anugerah DPMP. Kata Ngeh “saya tidak ada ulasan lanjut. Saya telah keluarkan kenyataan semalam dan apa-apa sila rujuk kenyataan itu”komennya.-29/12/2012OLEH YUSOF HARUN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 670  tetamu dalam talian