17November2018

Najib tekad bersihkan nama, semua aliran duit di luar pengetahuannya

 
Datuk Seri Najib Razak bertekad untuk berada di Malaysia dan berjuang menentang tuduhan terhadapnya walaupun menghadapi kemungkinan dipenjarakan.
 
“Tidak, saya tidak pernah merancang untuk melarikan diri. Kerana jika saya pergi (meninggalkan Malayia), ada anggapan saya bersalah.
 
“Saya tidak boleh menjadi buruan untuk sepanjang hayat saya. Saya mahu membersihkan nama saya,” katanya kepada Reuters.
 
Dalam temubual berkenaan Najib buat pertama kali mengulas berkenaan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Najib berkata, beliau merasakan bahawa hubungan Low di Asia Barat terutamanya dengan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) boleh menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia.
 
Namun beliau tidak pernah mengarahkan Low untuk terbabit dalam urusan 1MDB dan tidak mempunyai kawalan ke atas apa yang dilakukannya.
 
“Saya tidak memberikan arahan kepadanya tetapi dia secara sukarela melakukan perkara tertentu yang menurutnya akan membantu 1MDB. Tetapi apa yang dilakukannya adalah tanggungjawab pengurusan dan lembaga pengarah,” katanya.
 
Najib turut menyifatkan hubungan anak tirinya, Riza Aziz dengan Jho Low adalah sebagai rakan tetapi tidak menyedari sebarang urusan yang membabitkan dana 1MDB dalam syarikat penerbitan filem milik Riza.
 
Ditanya sama ada beliau masih berhubung dengan Jho Low, Najib berkata:
 
“Kami sudah tidak berhubung lagi. Saya juga tidak tahu dia di mana. Peguamnya juga tidak memberi sebarang respon terhadap permintaan maklum balas,” katanya.
 
Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku dalam 1MDB.
 
Katanya wang AS$681 juta yang dipindahkan ke akaun bank peribadinya adalah derma dari Arab Saudi dan bukan seperti dakwaan dalam saman di Amerika Syarikat.
 
Najib berkata beliau diberi jaminan daripada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud yang negara itu akan menghantar derma.
 
“Apa yang saya tahu, saya terima ia datang dari Arab Saudi, atas arahan Raja Abdullah,” katanya.
 
Beliau berkata tidak tahu menahu sebarang urusniaga membabitkan akaun peribadinya kerana melantik Pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, satu unit dalam 1MDB, untuk menguruskannya.
 
SPRM mengeluarkan waran tangkap terhadap Nik Faizal tetapi tidak diketahui beliau berada di mana.
 
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak sepatutnya dipersalahkan terhadap skandal 1MDB yang membabitkan berbilion dolar, sebaliknya mendakwa tidak mengetahui apa-apa mengenai wang daripada dana itu yang muncul dalam akaun peribadinya.
 
Beliau juga mempunyai penjelasan mengenai sejumlah wang tunai, beg tangan mewah dan barang kemas yang dirampas dari rumahnya oleh pihak berkuasa baru-baru ini.
 
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa lalu memberitahu Reuters, pihak berkuasa mempunyai ‘kes yang hampir sempurna’ terhadap Najib atas tuduhan penggelapan, penyelewengan dan rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB.
 
Najib yang (partinya) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu selepas satu dekad berkuasa dipersalahkan kerana skandal 1MDB, malah digambarkan Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) Jeff Sessions sebagai ‘kleptokrasi paling buruk’.
 
Beliau dalam beberapa komennya mengenai skandal 1MDB berkata, tidak tahu jika beratus-ratus juta dolar yang bergerak melalui akaun peribadinya adalah daripada 1MDB dan sama ada wang daripada dana itu akhirnya dicuci untuk memperoleh aset secara global termasuk kapal layar, lukisan, permata dan hartanah mewah.
 
“Saya tidak berpesta dengan kapal layar, lukisan…Saya tidak pernah melihat lukisan itu.
 
“Saya tidak menyedari pembelian ini. Ia dilakukan tanpa pengetahuan saya. Saya tidak akan membenarkan dana 1MDB digunakan untuk mana-mana perkara ini.
 
“Saya sudah lama berkhidmat dalam kerajaan, saya tahu apa yang betul dan apa yang salah,” kata Najib dalam wawancara yang diadakan di sebuah vila mewah menghadap laut di sebuah hotel lima bintang di Langkawi.
 
Najib mendakwa lembaga pengarah 1MDB mempunyai tanggungjawab memberitahunya jika ada sebarang perkara yang salah.
 
Tambah Najib penyitaan beg tangan dan barangan mewah lain dari kediaman yang dikaitkan dengannya menimbulkan persepsi negatif kepadanya.
 
Katanya kebanyakan barang yang dirampas itu adalah hadiah yang diberikan kepada isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuannya yang tiada kaitan dengan 1MDB.
 
Beliau berkata, menantunya, Daniyar Nazarbayev, anak saudara Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev, juga memberi banyak hadiah kepada Rosmah.
 
“Orang mungkin sukar untuk memahami, tetapi menantu saya misalnya, dia mendapat Birkin daripada sumbernya, lima atau enam pada satu masa.
 
“Keluarganya mempunyai beberapa cara (mendapatkannya), jadi tidak ada kaitan dengan 1MDB jika ia (beg) berasal dari Kazakhstan,” katanya.
 
Penyiasat 1MDB percaya Najib dan Rosmah mengumpul banyak kekayaan menggunakan dana kerajaan.
 
Hampir 300 kotak beg berjenama dan berpuluh-puluh beg dipenuhi wang tunai dan barang kemas adalah antara barang yang dirampas polis dalam serbuan itu.
 
Barang itu termasuk beg tangan jenama Birkin daripada syarikat pengeluar barang mewah Hermes, masing-masing bernilai sehingga ratusan ribu dolar.
 
Najib juga berkata, wang RM114 juta yang ditemui di rumah keluarganya di Kuala Lumpur adalah dana kepunyaan UMNO, yang mana beliau selaku presiden sebelum meletak jawatan tidak lama selepas pilihan raya lalu.
 
UMNO adalah sebahagian daripada gabungan Barisan Nasional yang kalah dalam pilihan raya lalu.
 
Berkenaan berlian merah jambu, pendakwa Amerika Syarikat (AS) mendakwa lebih daripada AS$4.5 bilion dana 1MDB telah dibersihkan melalui urus niaga yang rumit.
 
Jabatan Kehakiman AS (DoJ) telah memulakan beberapa tindakan undang-undang untuk menuntut kira-kira AS$1.7 bilion aset yang didakwa dicuri daripada 1MDB.
 
Beberapa aset yang dicari termasuk lukisan Picasso, hartanah mewah di California Selatan dan New York, saham dalam syarikat produksi Hollywood dan kapal layar bernilai AS$265 juta serta barang kemas bernilai lebih daripada AS$200 juta – termasuk loket berlian merah jambu 22 karat.
 
Najib berkata, set barang kemas juga bertujuan untuk dijadikan hadiah kepada isterinya tetapi Rosmah tidak pernah menerimanya.
 
“Dan sehingga hari ini kita tidak tahu, dia (Rosmah) mengatakan barang itu tidak berada dalam simpanannya,” kata Najib yang santai dengan kemeja hitam dan seluar berwarna coklat berada di Langkawi bermain golf, menikmati makanan dan meluangkan masa bersama keluarganya.
 
Keluarga itu menempah vila berkenaan untuk meraikan hari raya bersama-sama.
 
Anak Najib termasuk anak tirinya Riza Aziz, yang juga seorang produser filem Hollywood, ada bersama dengannya minggu ini, pembantunya memberitahu Reuters.-21/6/2018
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 883  tetamu dalam talian