16Oktober2018

Najib berdepan 25 lagi tuduhan harap perbicaraan dapat bersih namanya dari isu RM2.6 billion

Jumlah pertuduhan yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Sesyen Jalan Duta Kuala Lumpur pada Khamis bukan sedikit.
 
Semuanya 25 pertuduhan yakni empat berkaitan salah guna kedudukan dan 21 aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion.
 
Namun beliau kelihatan tenang sahaja ketika ditemui puluhan wartawan selepas mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu dan minta dibicarakan.
 
Najib menilai perbicaraan kes yang dihadapinya akan membuka peluang beliau membuktian tidak bersalah.
 
“Saya gembira kerana sekarang saya ada peluang untuk membersihkan nama saya dari isu RM2.6 billion,"katanya.
 
“Seperti mana kita sedia maklum, isu RM2.6 bilion telah digunakan secara habis-habisan untuk mengutuk, memburuk dan untuk mencerca saya habis-habisan selama ini.
 
“Dengan pertuduhan-pertuduhan pada hari ini akan memberi peluang kepada saya untuk membersihkan nama saya bahawa saya bukan seorang pencuri.
 
“Mudah-mudahan perjalanan dalam mahkamah ini akan berkesudahan untuk menegakkan kebenaran dan melenyapkan isu RM2.6 bilion ini sama sekali,” katanya.
 
Mengulas lanjut, Najib turut menjelaskan bahawa pertuduhan-pertuduhan hari ini terbahagi kepada tiga peringkat iaitu dana yang diterima, dana yang digunakan dan dana yang telah dipulangkan sebaik sahaja selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13.
 
“Jadi kalau kita ambil kira segala-galanya, kita boleh membuat kesimpulan. Dan mudah-mudahan kesimpulan yang memihak kepada kebenaran akan timbul dalam perbicaraan yang saya sedang hadapi ini,” katanya.
 
Pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.
 
Mahkamah kemudian membenarkan Najib diikat jamin sebanyak RM3.5 juta dengan dua orang penjamin.
 
Pendakwaan diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai barisan pembelaan.
 
Pengurusan kes ditetapkan pada 16 November depan. 
 
Bagi pertuduhan pertama hingga kesembilan, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram yang kesemuanya berjumlah RM2,081,476,926 daripada akaun bernombor 8550299001 milik Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke dalam akaun AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022009694 miliknya.
 
Beliau didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 22 Mac hingga 10 April 2013.
 
Bagi pertuduhan ke-10, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu dengan memindahkan hasil daripada aktiviti haram sejumlah RM652,600,000 daripada akaun AmIslamic Bank bernombor 2112022009694 miliknya ke dalam akaun bernombor 8550299001 milik Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura.
 
Najib didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama pada 2 Ogos 2013.
 
Bagi pertuduhan ke-11 dan ke-12, beliau didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu dengan menggunakan hasil daripada aktiviti haram, masing-masing RM20,000,000 melalui cek AmIslamic Bank Berhad bernombor 571854 untuk pembayaran kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan RM100,000 melalui cek AmIslamic Bank Berhad bernombor 571857 untuk pembayaran kepada UMNO Bahagian Batu Kawan.
 
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini pada 2 Ogos dan 7 Ogos 2013.
 
Bagi pertuduhan ke-13, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menggunakan hasil daripada aktiviti haram sejumlah RM246,000 melalui cek AmIslamic Bank Berhad bernombor 571858 untuk pembayaran kepada Lim Soon Peng, 63, di tempat sama pada 7 Ogos 2013.
 
Bagi pertuduhan ke-14, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menggunakan hasil daripada aktiviti haram sejumlah RM2,000,000 melalui cek AmIslamic Bank Berhad bernombor 571859 untuk pembayaran kepada ORB Solutions Sdn Bhd di tempat sama pada 12 Ogos 2013.
 
Bagi pertuduhan ke-15, tertuduh didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu dengan menggunakan hasil daripada aktiviti haram sejumlah RM303,000 melalui cek bernombor 571856 untuk pembayaran kepada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd di tempat yang sama pada 14 Ogos 2013.
 
Bagi pertuduhan ke-16 hingga ke-19, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu memindahkan hasil daripada aktiviti haram yang kesemuanya berjumlah RM1,381,750,000 daripada akaun AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022009694 miliknya ke dalam akaun bernombor 8550299001 milik Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura.
 
Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di tempat sama pada 15 Ogos hingga 23 Ogos 2013.
 
Bagi pertuduhan ke-20 dan ke-21, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM162,436,711.87 daripada akaun AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022009694 miliknya ke dalam satu lagi AmIslamic Bank miliknya bernombor 2112022011880.
 
Kesalahan dilakukan di tempat sama pada 27 Ogos dan 30 Ogos 2013.
 
Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-20/9/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 452  tetamu dalam talian