21Disember2014

Mustapha Ali perlu bersumpah dengan nama Allah itu bukan dia - Hasan Ali

hasan-mustapha2xx
Kita tahu dalam situasi ini apa saja kata Datuk Dr Hasan Ali akan dianggap keluar dari mulut musuh politik.Benar ke tidak benar itu sudah 'belakang kira'.

Sebaliknya jangan kata bekas pemimpin kanan PAS itu malah mana-mana 'orang tepi jalan' pun boleh ketawa melihat cara PAS kelam kabut cuba nak tutup segera isu pendedahan video seks paparan jelas mengaitkan Setiausaha Agung PAS,Datuk Mustapha Ali tanpa soal siasat.

Bos-bos PAS termasuk Presiden Datuk Seri Haji Hadi Awang terus sekata menjerit itu FITNAH.

Beliau berkata perkara itu tidak serius dan pemimpin kanan PAS yang dianggap mangsa fitnah itu tidak perlu memberi penjelasan kepada parti kerana banyak lagi perkara lain yang perlu dibuat ketika ini.

"Kita (PAS) anggap itu satu fitnah...lagi lama dia siar, lagi pahala banyak dapat kepada dia (pemimpin itu). Kita yakin benda itu tidak benar dan dia siar, dia berdosa, biarlah dia siar lagi luas lagi banyak dapat pahala," kata Haji Hadi kepada wartawan ketika ditemui di Rusila  dekat Kuala Terengganu Jumaat.

Presiden PAS itu berkata beliau hairan kenapa pemimpin terbabit menjadi mangsa kerana beliau bukanlah calon PAS untuk bertanding mana-mana kerusi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini.

Katanya PAS berserah kepada Tuhan untuk memberikan petunjuk dan setakat ini, beliau tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang bertanggungjawab membuat fitnah itu.

Mustapha sendiri setakat ini hanya menyerahkan isu itu ditangani oleh peguamnya.

Mengambil kira PAS - singkatan kepada Parti Islam SeMalaysia elok sangat nasihat siapa saja penyokong tegar parti itu yang ada darah tinggi atau lemah jantung tidak menonton klip video 11 minit 26 saat itu.

Ini kerana tinjauan rambang Agendadaily dikalangan sebilangan orang politik dan mereka yang kenal Mustapha cukup yakin lelaki dalam video itu adalah Mustapha.

Bagi mereka mati hidup balik PAS terpaksa main wayang mengunakan segala macam alasan untuk tutup pekong yang serius ini.

"Siapa yang nak mengaku.PAS nak cakap apa pun silakan...mata saya yang melihat sendiri video itu cukup kenal siapa lelaki itu.Nak cakap boleh tapi saya tidak boleh tipu diri sendiri," kata salah seorang dari mereka.

Sikap PAS ini memang tidak mengejutkan kalau diputar balik cara Haji Hadi mengambil pendirian pukul borong video itu besi dan tidak boleh jadi bukti dalam isu pendedahan video seks China Doll yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang Jumaat mengulas isu berkenaan,Dr Hasan Ali hairan PAS tidak berani siasat untuk menentukan kesahihan video itu.

"Adakah wajar paparan yang menyalahi syarak itu berlaku kepada pimpinan besar parti boleh ditolak tepi dan cuba dimatikan begitu sahaja?,"tanya beliau.

Apapun Presiden JATI dan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor itu yakin melihat kepada paparan imej-imej dalam video itu apapun alasan yang cuba diberi namun rakyat Malaysia yang rata-ratanya mempunyai ilmu dan pendedahan yang luas sudah mampu membuat rumusan dan keputusan bagi diri masing-masing.


BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH DATUK DR HASAN ALI :


PERLAKUAN SUMBANG YANG DIKATAKAN MELIBATKAN PIMPINAN TERTINGGI PAS

Kelmarin dunia siber digemparkan dengan paparan perlakuan seks yang dikatakan melibatkan pimpinan tertinggi PAS, Dato Mustapa Ali Setiausaha Agung Parti Islam itu. Video 11 minit 26 saat itu setakat ini tidak dapat diketahui siapa yang merakamnya digambarkan berlaku disebuah bilik hotel mewah dikatakan berlaku di ibu negara Kuala Lumpur.

Video tersebut diberitakan merakamkan adegan-adegan menjurus kepada perlakuan seks hinggalah hubungan seks yang sebenarnya. Paparan gambar secara berwarna disertai dengan rakaman video dan audio yang jelas dan terang menggambarkan dengan jelas siapa pelakunya.

Mereka yang telah melihat  akan terus dapat mengecam lelaki yang terlibat adalah dikatakan Dato Mustapa Ali. Sementara pasangan wanitanya kelihatan masih muda dan agak sofistikated.

Sejak dimuat naik di dalam blog, video itu terus disambut oleh para blogger yang lain yang kini menjadi paparan yang paling hangat dan dikembang luas hingga keperingkat menjadi “viral” yang sukar dibendung lagi.

Episod yang timbul dari sumber internet yang berkait dengan perlakuan seks serta melibatkan tokoh besar dalam sebuah Parti Islam sudah tentu menarik minat banyak pihak dan menjadikannya tarikan utama untuk ditonton. Itulah lumrah manusia.

Peristiwa ini meletup hanya tinggal 8 hari sahaja sebelum tarikh penamaan calon diikuti hari mengundi pada 5 Mei 2013. Sebelum ini PAS jenuh bersilat menepis beberapa isu besar yang para pemerhati politik merumuskan hampir semuanya tidak menyebelahi Parti Islam itu. Peristiwa pemecatan saya dan Ust Nasharudin Mat Isa, amanat Haji Hadi, doa menjahanamkan Umno, keceluparan Mursyidul Am, isu Kalimah Allah, penguburan negara Islam dan Hudud adalah di antara isu yang sukar di tebus kembali.

Video yang dikatakan melibatkan Dato Mustapa Ali ini dijangka akan memberi pukulan maut kepada PAS.

Dari paparan imejnya Presiden PAS tidak ada ruang lagi untuk sekadar mengatakan itu besi. Sementara pimpinan PAS sukar mencari alasan munasabah untuk meyakinkan ahli, penyokong dan pengundi Melayu Muslim khasnya bahawa video itu adalah bikinan musuh politik untuk melenyapkan PAS.

Melihat kepada paparan imej-imejnya, apapun alasan yang cuba diberi namun rakyat Malaysia yang rata-ratanya mempunyai ilmu dan pendedahan yang luas sudah mampu membuat rumusan dan keputusan bagi diri masing-masing.

Hari ini Naib Presiden PAS, Dato Husam Musa cuba menjadi jaguh tampil mengeluarkan kenyataan seolah-olah persetankan isu video itu sambil cuba berselindung bahawa paparan itu adalah palsu dan berniat jahat.

Beliau meminta supaya pimpinan PAS  tidak memberi perhatian kepada episod itu dan dengan angkuh mengatakan bahawa PAS tidak perlu menyiasat kesahihan video itu.

Kenyataan ini dilihat bertentangan sama sekali dengan akhlak seorang Muslim sepertimana yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran Surah Al-Hujurat ayat 6 yang meminta kita supaya menyelidiki dan menyiasat dahulu sesuatu berita yang dibawa walaupun daripada orang-orang yang fasik.   

Manakala pimpinan yang lain termasuk yang lebih tinggi daripada Husam sehingga ini membisu seribu bahasa. Mungkin masih terkejut dan belum pulih daripada igauan ngeri disebabkan yang terlibat adalah dikatakan Setiausaha Agung parti yang kehadirannya dalam politik sinonim dengan perkembangan parti itu sendiri.

Ada beberapa perkara yang perlu direnungkan :

Adakah wajar paparan yang menyalahi syarak itu berlaku kepada pimpinan besar parti boleh ditolak tepi dan cuba dimatikan begitu sahaja?

Apakah dengan menolak tepi dan mematikan episod ini selari dengan tindakan-tindakan disiplin yang pernah di ambil kepada pimpinan dan ahli sebelum ini?

Apakah tidak wujud double standard dan pendakwaan berpilih. Ada yang anak emas dan ada yang  anak tembaga dalam sebuah parti yang berlandaskan Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas?

Apakah dengan pendapat Husam itu akan melegakan pengundi dan penyokong serta bakal pengundi yang sebelum ini parti Islam itu tidak mampu lagi menanggung beban isu besar yang tidak terlerai?

Apakah cadangan Husam itu akan diterima oleh rakan sejawat PAS di dalam dan di luar negara kerana paparan online realtime itu dapat ditonton sama sekelip mata dimana sahaja?

Saya masih ingat peristiwa yang mengakibatkan pemecatan seorang ahli parlimen PAS, Hashim Gera. Dalam satu majlis beliau telah dilihat menari lucu-lucuan. Pimpinan ketika itu yang tegas dan decisif telah bertindak memecat Hashim Gera daripada menjadi ahli parti.

Manakala dalam kes saya pula, sehingga hari ini saya tidak tahu apa kesalahan saya yang sebenarnya lantaran tidak ada pertuduhan yang dibuat ke atas saya. Saya telah dipecat daripada ahli parti tanpa diberi peluang untuk membela diri.

Ahli serta penyokong PAS dan bakal pengundi di negara ini juga sedang memerhatikan gelagat pimpinan PAS. Setakat kenyataan yang dikeluarkan oleh Husam Musa pada hemat saya tidak mampu menembusi minda masyarakat Malaysia yang berilmu dan begitu celik politik.

Saya cenderung untuk mengaitkan episod yang ramai menganggap sebagai peristiwa hitam ini dengan keputusan PAS menjalin hubungan kerjasama politik dengan DAP dan PKR.

Rekod PKR yang tercemar dengan berbagai peristiwa yang hampir-hampir sama dengan kes yang dikatakan melibatkan Dato Mustapa Ali ini. Mungkin jangkitan langsung daripada pergaulan intim yang berlaku di antara pimpinan atasan dalam Pakatan.

Saya bimbang kalau jangkitan ini akan menimbulkan penyakit yang lebih besar dan serius yang berkait langsung dengan aqidah yang selama ini menjadi agenda induk kepada perjuangan PAS.

Bagi saya persoalan yang besar di hadapan Parti Islam itu tidak lain daripada persoalan maruah. Imej yang mesti dipaparkan mewakili imej perjuangan Islam.

Apa yang boleh diketengah PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam kalau hal yang seserius ini cuba ditangani secara sambil lewa sahaja. Mana dia dosa dan pahala dan mana dia syurga dan neraka yang sering dihujahkan oleh pimpinan-pimpinan besar PAS.

Sekurang-kurangnya bagi saya langkah seperti berikut harus di ambil :

Dato Mustapa Ali sebagai orang yang dikatakan terlibat dalam perlakuan sumbang di dalam video tersebut harus tampil ke hadapan menafikan atau mengiyakannya;

Sekiranya Dato Mustapa Ali menafikannya, beliau perlu sekurang-kurangnya bersumpah dengan nama Allah bahawa individu yang telibat dalam video tersebut bukan dirinya;

Pimpinan PAS terutamanya AJK PAS Pusat atau Majlis Syura PAS perlu menyiasat dengan terperinci video tersebut dan tuduhan yang dilemparkan ke atas Setiausaha Agung parti Islam itu;

Sekiranya selepas siasatan terperinci dilakukan mendapati orang yang terlibat melakukan perlakuan seks itu adalah Dato Mustapa Ali, maka Jawatankuasa Disiplin parti harus mengambil tindakan segera memecat keahlian beliau.

Cuma eloklah sekiranya sebelum dipecat, beliau dipanggil untuk membela diri. Janganlah diulangi kezaliman yang pernah berlaku ke atas diri saya dan Ust Nasharudin yang tidak pernah langsung dipanggil untuk membela diri.      

Sekiranya saranan seperti yang dikemukakan ini tidak dilakukan, saya berkeyakinan bahawa PRU yang ke 13 nanti akan menjadi antara PRU yang terburuk dalam sejarah PAS akibat penolakan pengundi-pengundi terutamanya pengundi Melayu Muslim yang sudah hilang keyakinan kepada integriti dan kredibiliti parti Islam itu.

Maka akan tercatitlah nanti dalam sejarah politik tanahair seorang pemimpin besar yang menghabiskan masa muda dan tuanya memperjuangkan parti akhirnya menjadi petualang yang menyebabkan parti itu tersembam menyembah bumi.

DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Tmn Tun Dr Ismail, KL
12 APRIL 2013

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 592  tetamu dalam talian