14Disember2018

Mengintai kebangkitan BN di Parlimen Bandar Tun Razak

Wujud semangat kebangkitan untuk Barisan Nasional (BN) di Parlimen Bandar Tun Razak selepas dua penggal pengundinya memilih parti pembangkang.

Dengan penyandang Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan tidak bertanding, ramai melihat inilah masa yang sesuai untuk perubahan di kawasan tersebut.

Apatah lagi kawasan yang majoriti Melayu ini dinamakan sempena nama Perdana Menteri Kedua Tun Razak yang juga ayah kepada Datuk Seri Najib Razak.

Merampas semula kawasan Parlimen ini adalah untuk mengembalikan 'maruah yang tercalar, bukan sahaja untuk BN tetapi keluarga Najib secara peribadi.

Bagi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jentera BN Bandar Tun Razak tiada pilihan kecuali rampas semula kerusi Parlimen itu.
 
Beliau secara tegas, mahu jentera setiap parti komponen di kawasan parlimen berkenaan  bekerjasama bagi membolehkan kemenangan berpihak kepada BN.
 
“Sembilan tahun kita di dalam dakapan kesengsaraan, sembilan tahun kita dalam kepanasan, sembilan tahun kita dalam kehujanan, sembilan tahun kita di dalam penderitaan.
 
"Inilah masanya kita rampas semula kerusi Bandar Tun Razak dan hadiahkannya kepada BN,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Bandar Tun Razak di Laman Tun Razak, malam tadi.
 
Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor;  Ketua Bahagian UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar, pemimpin komponen BN dan jentera parti.
 
Menyingkap sejarah penubuhan Bandar Tun Razak, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, kejayaannya dipacu oleh program urbanisasi diwujudkan kerajaan BN bagi membantu penduduk kampung mencari rezeki di kawasan pinggir bandar.
 
Justeru, beliau mengingatkan masyarakat kawasan itu supaya berterima kasih dan tidak sesekali lupa kemajuan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan selama ini.
 
“Cuba kita ingat, bila kita pandu kereta di hadapan, ada cermin untuk kita lihat, untuk ke kanan, belok atau terus. Cermin itu adalah sejarah penubuhan Bandar Tun Razak dan kawasan sekitar, ia adalah jasa Umno dan BN.
 
"Cukuplah  sembilan tahun, kenangan itu (berada di bawah pembangkang) harus dipadamkan sejarahnya kerana kita mahu membalas budi apa yang dilakukan Umno dan BN serta Kerajaan Malaysia kepada penduduk Bandar Tun Razak ini”, katanya.

Untung juga bagi BN, selepas penyandang dua penggal kerusi tersebut Tan Sri Khalid Ibrahim tidak mahu lagi bertanding di situ.

Menurut Khalid yang dipecat daripada PKR tiga tahun lalu beliau mahu memberi peluang kepada orang lain dan menumpukan perhatiannya kepada kerja sosial selepas ini.
 
“Parti lama saya (PKR) pun ada jumpa saya, parti PAS pun ada tanya (berkenaan bertanding) tetapi saya buat keputusan untuk tidak bertanding,” katanya kepada pemberita di Dewan Rakyat.
 
Jelas Khalid, setelah dua penggal menjadi ahli Parlimen di Bandar Tun Razak, kawasan itu wajar mendapat nafas baru daripada pemimpin baru lebih muda dalam usaha menjaga kepentingan pengundi di situ.
 
“Jadi saya rasa sudah cukup masa dan ingin memberi peluang tugas ini kepada mereka yang berminat jadi ahli parlimen di kawasan tersebut,” katanya.

PKR dijangka mencalonkan bekas Setiausaha Agung PAS yang juga Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar sebagai calon menggantikan Khalid.

Kamaruddin yang menyertai PKR dua tahun lalu dilantik penyelaras Parlimen Bandar Tun Razak, satu isyarat bahawa beliau akan menjadi calon di situ.

BN pula walaupun kawasan tersebut sebelum ini ditandingi calon dari MCA, ada cakap-cakap, calon popular Ketua UMNO bahagian Datuk Rizalman Mokhtar bakal 'masuk gelanggang'.

Peluang BN dijangka lebih cerah jika Rizalman menjadi calon kerana majoriti orang Melayu di kawasan tersebut mengundi berdasarkan calon bukannya parti.

Kreadibiliti Rizalman diakui sendiri oleh Zahid dalam ucapannya yang menyifatkan Rizalman sebagai hero di parlimen itu.

“Hebat orang BTR (Bandar Tun Razak) dan cukup luar biasa malam ini. Saya sudah pergi banyak tempat, BTR luar biasa.

“Ini satu manifestasi BTR akan jadi milik BN. Sembilan tahun dalam dakapan sengsara, sembilan tahun kepanasan, kehujanan dan sembilan tahun dalam longkang penderitaan.

“Ini masa kita rampas balik untuk BN. Hero kita Datuk Rizalman,” katanya yang mendapat sorakan dan tepukan bergemuruh daripada hadirin.

Pada PRU12, Abdul Khalid yang bertanding di bawah tiket PKR menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Tan Chai Ho dengan majoriti 2,515.
 
Beliau kemudian mempertahankan kerusi itu pada PRU13 dengan menang majoriti 11, 832 undi dalam pertandingan empat penjuru antara BN, PKR dan dua calon Bebas.-13/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 509  tetamu dalam talian