25Oktober2014

Hai obat, hai obat...mar?i beli obat, kalau salah obat 4N melompat!

nga-ngeh-nik513
KEMASKINI:Ingat lagu Obat dalam kisah Do Re Mi?  Kisah P.Ramlee, AR Tompel dan Ibrahim Din jual ubat tipu...Bayangkan dalam versi baru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ngeh Ko Ham dan  Ngeh nyanyi lagu tu...korusnya berbunyi:
 
Hai obat hai obat mari beli obat  Kalau lambat-lambat tak dapat Hai obat hai obat mari beli obat  Kalau salah obat melompat
 
Memang betul, Muryidul Am PAS dan dua saudara dalam DAP Perak itu  boleh melompat kalau silap jawab isu Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Meng  dapat lebih 4 ribu hektar daripada kerajaan PAS Kelantan pimpinan Nik  Aziz.
 
Menteri Besar itu sudah jawab kononnya berita yang mula didedahkan blog Pisau,net fitnah.
 
Peliknya, dalam jawaban, Nik Aziz tidak nafipun apa didedahkan.

Setakat tuduh berita itu fitnah yang dilemparkan kepada dirinya semata-mata tak cukup TUAN GURU Nik Aziz!
 
Mengulas lanjut tuduhan tersebut Nik Aziz memberitahu dakwaan salah guna kuasa terhadap beliau itu dilakukan oleh orang-orang yang jahat.
 
"Kerja memfitnah ini dilakukan oleh orang jahat. Kerja orang yang jahat ini adalah mereka yang memuja nafsu dan bukannya puja ALLAH SWT.
 
"Sebab itu saya sebut kalau berita yang dikeluarkan oleh akhbar terbabit kita kena berhati-hati," katanya.
 
Ini jawaban standard yang orang ramai dah boleh agak.
 
Memang TUAN GURU Nik Aziz boleh nafi, tuduh semua itu fitnah dan ugut nak ambil tindakan mahkamah.
 
Tetapi orang ramai khususnya rakyat Kelantan dan Perak yang sokong pembangkang pasti nak tahu cerita sebenar pasal tawaran tanah seluas  4,259.9 hektar di Relai, Chiku, Gua Musang kepada Ngeh yang juga  Pengerusi DAP Perak, setiausaha parti itu,  Nga untuk menerima wakil PAS, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak  pada 2008.
 
Laporan blog itu mendakwa tawaran tanah bernilai lebih RM30 juta itu  berlaku ketika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum ke-12  (PRU12).
 
Rakyat Kelantan yang selama ini sanggup hidup susah, tolak pembangunan  semata-mata rasa hormat, cinta dan taksub pada TUAN GURU Nik Aziz  tentu nak tahu kisah sebenar.
 
Mustahil Mursyidul Am PAS nak berbohong kerana Ngeh sudah buat  kenyataan ‘angin’ pada PAS yang didakwanya membocorkan rahsia itu.
 
Ngeh, Adun Sitiawan dan ahli parlimen Beruas hairan dokumen itu boleh  BOCOR kerana ia adalah maklumat SULIT antara mereka dan pemimpin PAS.
 
BOCOR dan SULIT?...apakah bermaksud apa didedahkan itu benar...dan  jika BENAR, kenapa TUAN GURU Nik Aziz kata semua itu fitnah?
 
Ngeh pun sama macam Nik Aziz dalam usaha cover up dirinya.

Beliau mengaku seumur hidup tak pernah beri satu sen rasuah atau terima.

Alasannya, kerana pengalaman beliau sebagai pemimpin bagi sebuah  gereja Methodist tidak lama dahulu telah membantu mendisiplinkan  dirinya dalam isu berkenaan..
 
“Malah, guru penasihat saya di gereja berkenaan juga terpaksa  menduduki ujian memandu sebanyak tujuh kali semata-mata tidak mahu  terlibat dalam gejala rasuah yang berleluasa  pada ketika itu.
 
“Dengan berpandukan prinsip inilah saya dapat menikmati hidup yang  selesa  dan diberkati Tuhan sehingga ke hari ini,” katanya pada sidang  media, Khamis bagi menjawab dakwaan Adun Slim, Datuk Mohd Khusairi
 Abdul Talib mengenai isu berkenaan.
 
Hadir sama pada sidang media itu, Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming;  Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; Adun Teja,  Chang Lih Kang; Adun Tebing Tinggi, Ong Boon Piow dan Adun Buntong, A Sivasubramaniam.
 
Tak cukup dengan itu, Ngeh guna pendapat rakan-rakan yang beragama  Islam (mungkin Nizar) bahawa, fitnah itu adalah lebih besar dosanya  daripada membunuh.

“Oleh itu, pihak yang memfitnah saya itu perlu bertaubat,” katanya.
 
Tak mengapalah TUAN GURU Nik Aziz, Ngeh dan Nga...mungkin boleh terima jawaban mereka bahawa semua itu fitnah dan bukan rasuah.
 
Cuma minta tolong jelaskan kenapa tanah bernilai RM30 juta itu jadi kepunyaan syarikat milik Ngeh dengan Nga.
 
Ini untuk berlaku adil. Manalah tau, biasanya UMNO dituduh jahat dan sanggup buat fitnah.
 
Jadi tidak salah kalau 4N – Nik Aziz, Ngeh, Nga dan Nizar beri penjelasan terperinci supaya semua orang senang hati dan mereka tak payah melompat.
 
Kalau susah sangat TUAN GURU Nik Aziz dan Nizar boleh bersumpah di masjid manakala Ngeh dan Nga pula bersumpah dalam gereja sesuai ajaran guru penasihatnya dulu.
 
Cuma nak pesan. Berhati-hatilah kerana takut jadi macam nyanyian AR Tompel dalam lagu Obat:
 
Obatlah ini buat dari akar kayu Jika salah sapu badan licin tumbuh bulu.....
 
Jadi jangan salah jawab sudahlah...21/12/2012 - OLEH ROSLAN BIAN


Isu tanah: Nik Aziz dan Ngeh nafi...dakwa itu fitnah

Kedua-puak pihak yang didakwa terbabit dalam isu pemberian tanah di Kelantan yakni Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP Perak,Datuk Ngeh Koo Ham telah nafi dan menyifatkan dakwaan itu sebagai satu fitnah.

Nik Aziz yang ditemui wartawan selepas satu majlis di rumahnya di Kota Bharu,Rabu tidak memberi penjelasan terperinci untuk mengulas dakwana itu kecuali meminta pegawainya mengambil tindakan undang-undang.

"Sebenarnya benda ini fitnah",katanya yang memberitahu sudah membaca laporan tentang dakwaan beliau menawarkan tanah seluas 4,259.9 hektar di Relai, Chiku, Gua Musang kepada Ngeh dan Setiausaha, Nga Kor Ming untuk menerima wakil PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak pada 2008.

Waktu itu DAP tidak boleh lantik orangnya jadi Menteri Besar kerana tiada ada wakil rakyat Melayu.

PKR yang mempunyai kerusi lebih dari PAS tidak mempunyai calon berkelayakan untuk jadi Menteri Besar.

Akhirnya Nizar dari PAS dipilih ke jawatan nombor satu di negeri itu.

Ngeh dalam sidang akhbarnya mengulas dakwaan berkenaan mendakwa bukan menjadi amalan hidupnya memberi atau menerima rasuah.

“Saya harap penafian ini akan turut membersihkan nama Kerajaan Kelantan kerana tuduhan berkenaan adalah satu fitnah,"katanya.-21/12/2012


Mengapa Nik Aziz lulus 10,526 ekar tanah pada dua ADUN DAP di Perak?

Betulkah kerajaan Kelantan pimpinan Datuk Nik Aziz Nik Mat lulus pemberian tanah seluas 10,526 ekar atau 4,259.9 hektar di negeri itu kepada dua tokoh DAP di Perak?

Jika betul dakwaan yang heboh sekarang ...agak ironi tanah seluas itu tidak diluluskan kepada mantan Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin ataupun tokoh-tokoh PAS dari Perak. Juga jika betul...lebih menyedihkan pihak lstana serta kerabat diraja lain juga tidak berpeluang memiliki tanah seluas ini.  Pemiliknya mampu mengusahakan tanaman getah atau sawit bagi tujuan pertanian.

Dengan harga sawit dan getah tinggi melambung, tuanpunya tanah berkenaan boleh goyang kaki dan hidup dengan bertilamkan timbunan wang ringgit.
 
Tanah yang terletak di mukim Ciku didakwa diberikan kepada Pengerusi DAP negeri Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming, ADUN Pantai Remis yang juga Setiausaha DAP negeri.
 
Sehingga berita ini ditulis, Kerajaan PAS Kelantan belum mengeluarkan kenyataan rasmi menafi ataupun mengesahkan serta penjelasan sebab tanah seluas itu diberikan pada dua ADUN berkenaan.
 
Datuk Hamidah Osman (BN-Sungai Rapat) ketika mencelah semasa ADUN Slim Datuk Khushairy Talib berucap berkata “search” (pencarian) dibuat pagi tadi (Khamis) menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati pemilik tanah itu terdiri dari Ngeh dan Nga.
 
Tanah itu mengikut rekod yang didedahkan di DUN Perak (semalam dan Khamis) terletak di Mukim Chiku,Gua Musang—yang pasti ia sangat jauh dari rumah pemiliknya di Sitiawan.
 
Harga pasaran bagi tanah ini ialah RM30 juta.
 
Yang pasti Nik Aziz kena jawab dengan segera dan jelas dakwaan ini jika tidak besar kemungkinan ramai ahli parti itu yang akan naik angin.
 
Selain dari itu jalan PAS ke Putrajaya bersama-sama regunya PKR dan DAP nampak lebih suram dan malap ibarat bulan dibungkus gerhana.
 
 Rakyat Kelantan walaupun setaksub mana dengan Tok Guru  mereka juga sayangkan negeri. Tanah Kelantan adalah untuk orang-orang Kelantan, bukan sebaliknya.
 
Mereka tentu nak tahu mengapa Menteri Besar Kelantan bertindak seperti yang didakwa itu.
 
Ataupun mungkinkah setelah 20 tahun berkuasa, Menteri Besar sudah tidak peduli dengan sensitiviti rakyat.
 
Apakah pemberian tanah sebesar ini kepada pemimpin parti yang menolak hudud dan pembentukan sebuah negara lslam dilihat adil kepada rakyat di negeri itu yang tidak bertanah?.
 
 Bukan ini saja yang mengelirukan akal orang ramai. Jika betul . . . tentu mereka nak tahu lagi mengapa kerajaan negeri begitu berahsia (hampir empat tahun) sehingga pemberian itu dibuat secara penuh rahsia.
 
Atau seperti kata pepatah masakan tempua bersarang rendah atau takkan pokok bergoyang kalau tidak ada angin . . .
 
Persoalan lain apakah Ngeh dan Nga saja dapat tanah di Kelantan, macam mana pula dengan orang-orang dalam PKR?
 
Nik Aziz mungkin pening lalat dengan isu ini lebih-lebih lagi tuan empunya diri, Ngeh dalam satu ulasan di Ipoh membidas pemimpin PAS yang membocorkan rahsia pemberian tanah.
 
Ngeh, ADUN Sitiawan dan ahli parlimen Beruas hairan dokumen itu boleh bocor kerana ia adalah maklumat sulit antara mereka dan pemimpin PAS.
 
Kini tuduh menuduh antara satu sama lain dijangka menjadi aturcara utama pembankang, ADUN Slim,  Khushairy Talib meminta kerajaan Kelantan menjelaskan kelulusan tanah yang diberi itu.
 
Beliau ditemui wakil Agendadaily selepas mengadakan sidang media di Ipoh meminta penjelasan  kerajaan negeri Kelantan mengenai isu ini bagi tujuan menjelaskan  kekeruhan yang berbangkit.
 
 Isu tanah di Kelantan mula ditimbulkan beberapa blog khusus pisau.net kemudian dipetik oleh banyak laman sesawang lain.
 
Dalam sidang DUN Perak pagi tadi (Khamis) Khushairy yang turut membahas bajet 2013 menunjukkan beberapa dokumen menyokong dakwaannya bahawa tanah itu dilulus kepada Ngeh dan Nga.
 
Nga yang  berada di dalam dewan mencabar ADUN Slim membuat dakwaan itu diluar dewan malah wakil DAP pun sanggup membawa bersama Khushairy ke balai polis  DAP untuk membuat laporan.
 
 Khushairy tidak menunggu lama sebelum memanggil sidang media serta mengulangi dakwaannya. Kini apakah Nga yang akan mengunakan saluran undang-undang terhadap Ketua UMNO bahagian Tanjung Malim itu?
 
 DUN Perak yang berjalan pagi tadi bermula “sejuk” menjadi panas apabila ADUN Slim membuat pendedahan sehingga ucapannya diganggu oleh Nga dan beberapa wakil DAP.
 
PAS nampaknya seperti berkecuali melainkan Nizar yang berhempas pulas cuba mempertahankan diri dan juga partinya.
 
Ketika perhatian tertumpu kepada isu tanah di Kelantan, tidak semena-mena Nizar mendakwa dia diumpan jawatan Menteri Besar Perak oleh Dr.Zambry jika beliau bersetuju menyertai UMNO.
 
Dr.Zambry yang berada dalam dewan bangun menuntut penjelasan. Malah Menteri Besar bersumpah bahawa dia tidak pernah melakukan seperti yang dituduh Nizar.
 
ADUN Pengkalan Hulu Tan Sri Tajol Rosli bangun mencelah dengan penjelasan. Beliau hairan kerana ketika itu beliau masih Pengerusi Perhubungan UMNO.

Katanya Dr.Zambry ketika itu tak ada hak untuk membuat “offer.”
 
Bagaimanapun Tajol menjelaskan bahawa apa yang beliau anjurkan ialah penubuhan kerajaan perpaduan antara UMNO dan PAS. Tajol bersetuju calon PAS dilantik Menteri Besar jika cadangan ini dapat dilaksanakan.
 
 Ucapan Khusairy diselang seli bantahan wakil-wakil DAP.  Keadaan panas itu mendapat perhatian wakil BN yang bangun bertanyakan fakta yang didedahkan wakil Slim.
 
ADUN Pengkalan Baru, Datuk Hamdi Abu Bakar juga ingin tahu nilai tanah serta wakil rakyat yang diberikan tanah berkenaan.
 
Tajol bangun semula  mencelah dengan bertanyakan wakil Slim. . . .”Saya di luar dewan tadi . . .tak dengar . . .apakah RM 9juta . . .”
 
 “What wrong with that . . .orang tak boleh berniaga ka” pintas seorang wakil DAP, cuba membela dua adik beradik itu.
 
Menurut Khushairy Upaya Padu Plantation Sdn. Bhd. dimiliki hampir 100 peratus oleh Ngeh dan syarikat berkenaan  yang memiliki 10,526 ekar, dimiliki oleh Efektif Kirana Sdn. Bhd. dan Ngeh Koo Ham.

Katanya Efektif Kirana memegang saham 51% bernilai RM16 juta dan Ngeh Koo Ham 49% bernilai RM15 juta.

"Siapa pula yang punya Efektif Kirana? Carian SSM menunjukkan Efektif Kirana dimiliki oleh Ngeh Koo Ham 53,678 sher, Lina Faridah 1 sher dan Norhayati 1 sher, bermakna syarikat Upaya Padu ini dimiliki hampir 100% oleh Ngeh Koo Ham,’’ katanya.    

DUN Perak hari ini juga panas mengenai isu tanah. Adun bebas yang menyokong BN, Keshvinder Singh (Malim Nawar) mendedahkan pemberian tanah semasa Nizar jadi MB kepada seorang individu bergelar.
 
 Tanah seluas 547.2 ekar yang dimaksudkan terletak di Tanjung Tualang dalam DUN Malim Nawar yang diwakilinya. Beliau menceritakan tanah itu diberikan kepada kroni Nizar.
 
Katanya kerajaan Pakatan Rakyat meluluskan tanah itu secara senyap-senyap tanpa pengetahuannya.
 
Beliau hanya mendapat tahu setelah penduduk kampung mengadu padanya.  Mereka berkata tanah itu dilulusan kepada “kaum kerabat diraja.”
 
Tanah itu dipagar dan dipacak dengan kayu berbalut kain kuning. Ini disaksinya sendiri apabila pergi ketempat berkenaan untuk menyiasat.
 
Dengan nada kecewa dan geram Kesh, yang juga seorang peguam berkata”

“Saya amat terkejut sekali. Ini bukan lagi jahat tapi worse than jahat (lebih teruk daripada jahat).”-20/12/2012 OLEH YUSUF HARUN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1453  tetamu dalam talian