19Julai2018

MB Selangor: Dr Idris ‘kena game’ dalam percaturan politik PKR...

Ketika Amirudin Shari masuk pejabat untuk mula tugas sebagai Menteri Besar Selangor pada Rabu…isu lantikan ADUN PKR Sungai Tua itu masih lagi menjadi polimek dikalangan penyokong Pakatan Harapan dalam media sosial.
 
Malah ramai juga yang kurang yakin dengan kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali bahawa soal lantikan itu dibuat atas konsesus pimpinan Pakatan Harapan dan ikut prosedur.
 
Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tampil meminta semua sokong lantikan Amirudin.
 
Ini gara-gara dakwaan ADUN PKR kawasan Ijok bahawa asalnya beliau adalah satu-satunya calon untuk jawatan itu yang dipersetujui oleh semua pimpinan Pakatan Harapan.
 
Mereka yang mengenali perwatakan Dr Idris berpendapat tidak mungkin beliau nak cetuskan kekecohan tidak tentu pasal mengenai soal yang serius itu.
 
Beliau bukan sahaja low profile kebelakangan ini malah dikenali sebagai orang yang ‘straight foward’ dalam politik.
 
Lagipun perlu apa beliau hendak langgar tembok lawan tauke dalam soal lantikan itu kalau tidak ada sesuatu yang membuat dirinya ‘ membara’.
 
Jangan kata Dr Idris malah siapa saja yang berdepan situasi sepertinya akan rasa terkilan.
 
Ikut pandangan sumber dalaman Pakatan Harapan langkah segera pimpinan PKR membuat kenyataan ‘mendokong’ lantikan Amirudin dipercayai untuk mengelak merebak kontroversi mengenainya.
 
Pakatan Harapan kini sedang berusaha untuk memaparkan imej ‘ baik-baik’ dalam segala hal untuk membuktikan ia gabungan parti yang padu.
 
Dari rentak menjelang lantikan Amirudin sukar untuk sembunyi wujudnya dua kem bersaing untuk letak orang mereka pada jawatan nombor satu di Selangor.
 
Jangan lupa yang sebut nama Dr Idris turut dikemukakan oleh parti untuk ditimbang bagi dilantik ke jawatan itu ialah Wan Azizah.  
 
Penguasaan negeri itu sangat strategik dari segi politik.
 
Sebab itu tidak hairan jika Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berhempas pulas memastikan orang kuatnya yakni Amirudin dapat jawatan itu.
 
Mereka yang faham sepak terajang dalaman politik PKR mungkin tersenyum melihat drama itu.
 
Apapun bagi mereka mahu tidak mahu Dr Idris kena telan ‘game’ politik yang beliau hadapi ini dan anggap saja bukan rezekinya – 20/6/2018
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 682  tetamu dalam talian