23November2014

Mari intai siapa agaknya bakal MB Selangor jika BN menang…

pru-najibselangorxx
Ketika teka teki siapa calon-calon mewakili Barisan Nasional (BN)  bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di  Selangor terjawab dengan pengumuman pada Selasa, persoalan siapa bakal dilantik sebagai Menteri Besar jika BN menawan semula negeri  itu pula menjadi bualan.

Teka teki pasal ini pasti berlegar lebih-lebih lagi melihat dua otai besar BN Selangor,Datuk Seri Noh Omar dan Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bertanding kerusi parlimen.Menteri Besar hanya boleh dipilih dikalangan mereka yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri.

Sebelum ini spekulasi itu hanya berkisar antara dua tokoh itu sahaja.

Selangor dikira negeri primadona dan sudah tentu ramai yang mengintai tercari-cari siapa dikalangan calon BN yang paling layak untuk jawatan berkenaan jika BN menang.

 Harapan wartawan untuk ‘jolok’ soalan panas itu kepada Pengerusi BN  Selangor, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri yang membuat pengumuman nama-nama calon di ibupejabat UMNO Selangor di Shah Alam tidak kesampaian apabila Perdana Menteri tidak buat sidang media selepas majlis itu.

 Akhirnya, Mohd Zin selaku Timbalan Pengarah Pilihanraya BN negeri jadi buruan dan sasaran wartawan untuk ‘dikorek’ rahsia siapa agaknya  bakal dilantik Menteri Besar.

 Beliau yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Sepang tidak  dapat mengelak menjawab soalan tersebut  dalam sidang media di akhir  majlis tersebut.

 Mohd Zin sendiri gelak besar bila ada wartawan sengaja ‘sakat’ beliau  kononnya ramai menjangkakan beliau akan bertanding kerusi DUN  sekaligus akan dilantik sebagai Menteri Besar.

 Katanya, BN sudah menyenarai pendek empat calon sebagai Menteri Besar  sekiranya parti itu merampas semula Selangor pada pilihanraya kali  ini.

 Bagaimanapun, identiti keempat-empat calon itu tidak akan didedahkan  kerana ia akan memberikan tekanan kepada mereka.

 “You all boleh teka dan cari sendiri...lihatlah calon-calon yang ada,” kata mantan Menteri Kerja Raya itu.

 Walaupun didesak berulang kali, Mohd Zin berkata, beliau tidak akan mendedahkan nama-nama tersebut tetapi mengalu-alukan media untuk terus membuat spekulasi.

 "Nama Menteri Besar ada dalam senarai calon. Anda boleh melihat nama-nama tersebut di sana," katanya.

 Pada pilihanraya kali ini, daripada 56 kerusi DUN, 22 kerusi ditandingi calon baru mewakili UMNO manakala 13 lagi adalah penyandang kerusi sedia ada atau calon dibawa masuk semula untuk bertanding.

 Ini sekaligus menjadikan 35 calon mewakili UMNO jika menang boleh dipilih ke jawatan itu.

 Beliau hanya bagi tips bahawa calon berpotensi itu haruslah seorang yang berwibawa, dinamik dan mempunyai pengalaman dalam menguruskan organisasi.

 "Saya tidak akan memberitahu secara spesifik kerana ia akan memberi tekanan terhadap mereka. Namun terdapat empat nama telah disenarai pendek," katanya.

 Namun, antara spekulasi hangat nama-nama dikaitkan dengan jawatan itu termasuk Datuk Subahan Kamal (Taman Templer), Ahmad Nawawi M. Zin (Batu Tiga) dan Datuk Dr Tengku Rethwan Tengku Mansor (Seri Setia).
 
Bagaimanapun, berdasarkan sumber dan penelitian ada pemerhati politik yang  menjangkakan nama paling atas untuk jawatan Menteri Besar adalah Datuk Muhammad Bushro Mat Johor (Paya Jaras), Datuk Shamsudin Lias (Sungai Burong)  dan Abdul Wahab Ibrahim (Taman Medan).

 Bushro dan Shamsudin adalah penyandang kerusi sekaligus memberi Kelebihan.

Ada yang menjangka kali ini Perdana Menteri besar kemungkinan akan tidak melantik muka baru mengisi jawatan penting itu memandangkan ia satu tugas besar untuk ‘memulihkan’ Selangor yang huru hara sejak ditadbir kerajaan PKR dan sekutu mereka.

 Bushro adalah seorang jurutera manakala Shamsudin pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah Petaling.

 Nama Bushro yang kemungkinan dilantik sebagai Menteri Besar sudah kedengaran sejak dua tahun lalu manakala nama Shamsudin mula jadi sebutan sejak akhir tahun lalu.

Namun ada juga sesetengah pihak yang tidak berani menutup terus pintu spekulasi pada muka-muka baru yang menjadi calon.

Ini mengenangkan sewaktu Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Datuk Seri Dr Khir Toyo dilantik ke jawatan itu dulu mereka dikira ' orang baru' yang baru sepenggal jadi ADUN dan langsung diluar jangkaan.

 Apapun sama ada Busho,Shamsudin atau sesiapa sahaja, cabaran utama kini adalah memastikan BN memenangi lebih 30 kerusi DUN bagi membolehkan BN membentuk kerajaan negeri.

 Pada PRU 2008, BN hanya dapat menawan 20 kerusi berbanding 36 yang dimenangi PKR, DAP dan PAS.

 Namun, Mohd Zin cukup yakin BN mampu membentuk kerajaan negeri dan sedang berusaha meningkatkan bilangan kerusi sehingga mencapai dua pertiga.

 Korek punya korek, akhirnya beliau akui BN dijangka memenangi sehingga 40 kerusi malah percaya Menteri Besar  Tan Sri Khalid Ibrahim yang bertanding di Pelabuhan Klang juga akan tewas.

 Sementara itu, terdahulu Najib dalam ucapannya berkata, selepas kekalahan mengejut pada tsunami politik 2008, BN Selangor berikrar mahu membetulkan kesilapan sekali gus merebut kembali Selangor dalam pilihan raya umum 5 Mei ini.
 
 Najib mengakui parti melalui perjalanan yang penuh berliku dan telah belajar daripada kesilapan yang dilakukan.
 
Beliau bagaimanapun percaya bahawa inilah masa yang sesuai untuk BN menebus kesilapan di mata rakyat.
 
Najib berkata beliau berazam untuk mengembali negeri itu kepada "kebaikan di bawah pemerintahan BN" bertentangan dengan apa yang didakwanya "janji-janji kosong" kerajaan Pakatan yang menerajui negeri itu sejak lima tahun yang lalu.
 
"Apa yang kita janji, kita akan tunaikan, ini adalah janji kami," katanya. – 16/4/2013- OLEH ROSLAN BIAN


Berikut adalah senarai calon-calon Barisan Nasional Selangor

P092 SABAK BERNAM
BN : Mohd Fasiah Mohd Fakeh

N1 SUNGAI AIR TAWAR
BN : Kamarol Zaki Abdul Malik

N2 SABAK
BN : Abdul Halim Udin

P093 SUNGAI BESAR
BN : Noriah Kasnon

N3 SUNGAI PANJANG
BN : Budiman Mohd Zohdi

N4 SEKINCHAN
BN : Kek Seng Hooi


P094 HULU SELANGOR
BN : P Kamalanathan


N5 HULU BERNAM
BN : Rosni Sohar

N6 KUALA KUBU BHARU
BN : Jessie Ooi

N7 BATANG KALI
BN : Mat Nadzari Ahmad Dahlan


P095 TANJUNG KARANG
BN : Noh Omar

N8 SUNGAI BURONG
BN : Mohd Shamsuddin Lias

N9 PERMATANG
BN : Sulaiman Razak


P096 KUALA SELANGOR
BN : Irmohizam Ibrahim

N10 BUKIT MELAWATI
BN : Jakiran Jacomah

N11 IJOK
BN : K Parthiban

N12 JERAM
BN : Amiruddin Setro


P097 SELAYANG
BN : Donald Lim Siang Chai

N13 KUANG
BN : Abdul Shukor Idrus

N14 RAWANG
BN : Lee Li Yew

N15 TAMAN TEMPLER
BN : Subahan Kamal


P098 GOMBAK
BN : Raman Ismail

N16 BATU CAVES
BN : N Rawisandran

N17 GOMBAK SETIA
BN : Said Anwar Said Ahmad

N18 HULU KLANG
BN : Abdul Rahim Pandak Kamruddin


P099 AMPANG
BN : Rozaidah Talib

N19 BUKIT ANTARABANGSA
BN : Mohamad Nadzim Ibrahim

N20 LEMBAH JAYA
BN : Baderisham Jolly


P100 PANDAN
BN : Lim Chin Yee

N21 CHEMPAKA
BN : Muhammad Faizal Sufar

N22 TERATAI
BN : Liew Pok Boon


P101 HULU LANGAT
BN : Adzhaliza Mohd Nor

N23 DUSUN TUA
BN : Ismail Sani

N24 SEMENYIH
BN : Johan Abd Aziz

N25 KAJANG
BN : Lee Ban Seng


P102 SERDANG
BN : Yap Pian Hon

N26 BANGI
BN : Mohd Zaidi Md Zain @ Zakaria

N27 BALAKONG
BN : Lai Kwong Choy

N28 SERI KEMBANGAN
BN : Chin Toong Kang


P103 PUCHONG
BN : A Kohilan Pillay

N29 SERI SERDANG
BN : Mohamad Yusof Mohamed Yassin

N30 KINRARA
BN : Wong Hock Aun


P104 KELANA JAYA
BN : Loh Seng Kok

N31 SUBANG JAYA
BN : Gan Meng Foo

N32 SERI SETIA
BN : Tengku Rethwan Tengku Mansor


P105 PETALING JAYA SELATAN
BN : Sheah Kok Fah

N33 TAMAN MEDAN
BN : Ab Wahab Ibrahim

N34 BUKIT GASING
BN : Juan Sei Chang


P106 PETALING JAYA UTARA
BN : Chew Hoong Ling

N35 KAMPUNG TUNKU
BN : Chong Seng Foo

N36 DAMANSARA UTAMA
BN : Lim Choon Kin


P107 SUBANG
BN : A Prakash Rao

N37 BUKIT LANJAN
BN : Francis Chong Tuck Chiew

N38 PAYA JARAS
BN : Muhammad Bushro Mat Johor

N39 KOTA DAMANSARA
BN : Halimaton Saadiah Bohan


P108 SHAH ALAM
BN : Zulkifli Noordin

N40 KOTA ANGGERIK
BN : Mohd Yusof Din

N41 BATU TIGA
BN : Ahmad Nawawi M Zin


P109 KAPAR
BN : A Sakthivel

N42 MERU
BN : Sukaiman Ahmad

N43 SEMENTA
BN : Md Ghazali Md Amin

N44 SUNGAI PINANG
BN : Lee Siew Chee

N45 SELAT KLANG
BN : Faisal Yahya


P110 KLANG
BN : Teh Kim Poo

N46 PELABUHAN KLANG
BN : Nassaruddin M Zin

N47 PANDAMARAN
BN : Ching Eu Boon

N48 KOTA ALAM SHAH
BN : Maglin Dennis Dcruz


P111 KOTA RAJA
BN : S Murugessan

N49 SERI ANDALAS
BN : T Mohan

N50 SERI MUDA
BN : Mohd Abdul Roaf Mokhtar


P112 KUALA LANGAT
BN : Sharuddin Omar

N51 SIJANGKANG
BN : Zurihan Yusop


N52 TELUK DATUK
BN : Tan Cheng Chai

N53 MORIB
BN : Hasiman Sidom


P113 SEPANG
BN : Mohd Zin Mohamed

N54 TANJONG SEPAT
BN : Nisman Yusof

N55 DENGKIL
BN : Shahrum Mohd Sharif

N56 SUNGAI PELEK
BN : Ng Chok Sin





Tiada kejutan dalam senarai calon PKR di Selangor...


Kalau tengok cara pergelutan dalaman PKR dok berebut kerusi sampai riuh sana sini nampak seolah ada berbagai kejutan dalam senarai calon.Rupa-rupanya macam selalu, gempak saja lebih.
 
Ini dapat dilihat dari pengumuman senarai calon kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Selangor oleh ketua umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim di padang AU2,Keramat dekat Kuala Lumpur Ahad malam.

Tiada apa sangat yang menarik dari senarai itu memandangkan status Selangor yang menjadi negeri primadona.
 
Ada kalangan wartawan yang hadir buat liputan kedengaran mengeluh buat penat saja tunggu sampai dekat waktu tengah malam sebab line-up calon PKR ini agak anti-klimaks dari segi berita.
 
Cuma nak buat gempak sikit,kira-kira 3,000 orang hadir di majlis pengumuman berkenaan.Namun didapati kebanyakan mereka adalah orang yang datang dari luar yakni dari cadang-cadang PKR seluruh Selangor.
 
Pengarah Pilihanraya PKR,Azmin Ali dalam usaha nak gambarkan majlis itu gah mendabik dada pemimpin UMNO akan panik lihat limpahan orang yang datang.
 
Sebaliknya sudah menjadi rahsia umum mana-mana ceramah pembangkang,orang luar yang lebih.Ini memang taktik perang saraf biasa mereka.
 
Satu-satunya analisis ringkas bila tengok senarai calon DUN di Selangor didapati orang-orang lama yang setia dengan Azmin nampaknya menguasai senarai calon.
 
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim nampaknya terpaksa bergantung kepada ehsan DAP dan PAS untuk kekal jadi MB, kalau pakatan kekal perintah Selangor, sebab kalau tengok senarai calon PKR, sah-sah Azmin akan ada kelebihan dari segi pengaruh untuk rebut jawatan itu kali ini.
 
Kalau dilihat dari gegak gempita pakatan dakwa konon boleh tawan Putrajaya kali ini sepatutnya Azmin fokus pada kerusi Parlimennya Gombak sahaja.
 
Namun beliau masih kekal mahu bertanding kawasan lamanya di kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa.
 
Khalid pula sah berpindah dari Ijok untuk bertanding di kerusi DUN Pelabuhan Kelang dan juga kekal bertanding kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
 
Diatas kertas kedua mereka seri 2-2 bertanding kerusi DUN dan Parlimen.
 
Apapun dalam nada sandiwara biasa,Azmin memuji melambung pentabiran Khalid dalam ucapannya.
 
Selain tidak ada kejutan, Anwar juga gagal umum siapa calon kerusi DUN Kota Damansara berikutan pertindihan dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM). Dulu Dr Nasir Hashim dari PSM bertanding guna lambang PKR dan menang.
 
Kini beliau tidak mahu menggunakan lambang PKR lagi, nak guna lambang PSM tetapi PKR tidak mahu lepas kerusi.
 
Manakala untuk DUN Semenyih, sudah pasti kini akan berlaku pertembungan antara parti pembangkang selepas PKR menamakan Hamidi Hassan sebagai calon mereka manakala PSM menamakan S Arutchelvan sebagai calon di situ.
 
Untuk calon parlimen, selain mengekalkan Azmin di Gombak, Zuraidah Kamarudin (Ampang), Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan), R Sivarasa (Subang), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kuala Langat), William Leong (Selayang).
 
Manakala untuk Hulu Selangor, bekas Pengerusi PKR Melaka, Khalid Jaafar dinamakan sebagai calon, Rafizi Ramli (Pandan).
 
Bagi Kelana Jaya, 'videoman' Loh Gwo Bourne digugurkan dan diganti dengan peguam Wong Chen.
 
Selain itu, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Dr Aziz Bari dinamakan calon PKR Sabak Bernam.
 
Untuk kerusi DUN pula, selain Azmin kekal di kawasan lamanya Bukit Antarabangsa dan Khalid berpindah dari Ijok ke Pelabuhan Klang,K. Ramachandran diumum bertanding DUN Batang Kali.
 
Mohd Yahya Mat Sahri (Pematang), Dr Idris Ahmad (Ijok), Tengku Maraziah Tengku Sulaiman (Kuang), Lee Chin Cheh (Kajang), Dr Daroyah Alwi (Sementa), Borhan Aman Shah (Dengkil).
 
Manakala bekas MP Kapar, S. Manikavasagam berpindah ke DUN Bukit Melawati.
 
Lain-lain kekal di kerusi masing-masing, Gan Pei Nei (Rawang), Amiruddin Shari (Batu Caves), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Dr Yaakob Sapari (Kota Anggerik), Rodziah Ismail (Batu Tiga), Dr Xavier Jayakumar (Sri Andalas), Mat Shuhaimi Shafiei (Sri Muda), Haniza Mohamed Talha (Taman Medan).-14/4/2013- OLEH HELME HANAFI
 


--------------------------------------------------------------------------------

Khalid pindah dari DUN Ijok ke Pelabuhan Klang
 

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan DUN Ijok sebaliknya akan bertanding di DUN Pelabuhan Klang.

 Berdasarkan akaun twitter rasminya, Khalid berkata, beliau telah diminta oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding di Pelabuhan Klang.
 DUN Perlabuhan Klang asalnya kerusi PKR sebelum bertukar menjadi Bebas selepas penyandangnya Badrul Hisham Abdullah mengumumkan keluar parti dan menjadi Bebas.
 
"Pucuk pimpinan PKR harapkan calon "heavyweight" untuk yakinkan pengundi Pelabuhan Klang dan saya diberi amanat pimpinan supaya bertanding di sana,"kata Khalid.
 
Menurutnya, beliau akan berjumpa dengan penyokong di Pelabuhan Klang esok.
 
"Jika mereka sokong saya bertanding, saya akan usahakan kejayaan lebih besar untuk PR,"katanya.
 
Sementara itu, untuk kerusi DUN Ijok, kata Khalid, "saya cadang seorang anak jati Jawa Ijok iaitu Dr Idris - seorang doktor pakar yg telah berjuang dalam parti sejak zaman reformasi,".
 
Dipercayai Dr Idris yang dimaksudkan Khalid adalah Ketua PKR Segambut Dr Idris Ahmad seorang pakar sakit puan yang mempunyai klinik persendirian di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
 
Agendadaily sebelum ini melaporkan Khalid dicadangkan bertanding di dua kerusi DUN selain Ijok berikutan 'prestasinya' di kawasan tersebut yang teruk.
 
Selain DUN Pelabuhan Klang, Khalid juga ditawarkan DUN Bukit Lanjang, berikutan penyandangnya Elizebert Wong dijangka bertanding kerusi Parlimen Petaling Jaya Selatan.
 
Sebelum ini Khalid dinamakan calon PKR untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang dimenanginya sebelum ini.
 
Walaupun perkembangan ini nampak memilih kepada Khalid, namun jawatan MB Selangor belum terjamin milik Khalid jika PR menang lagi, ini berikutan kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa parti tersebut mempunyai beberapa nama lain termasuk Khalid sebagai calon MB.
 
Malam esok, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan calon-calon PKR Selangor dalam satu ceramah di AU3 Keramat, Gombak, kawasan Ketua PKR Selangor Azmin Ali-13/4/2013



PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 573  tetamu dalam talian