21Mei2018

Mari intai apa cerita kerusi Parlimen PM di Pekan

Ketika panglima perang Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad masih belum lagi menentukan kubunya pada PRU14 – antara Langkawi,Kubang Pasu atau Putrajaya disebelah Barisan Nasional tiada teka teki mengenai Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dulu dan kini beliau kekal di Parlimen Pekan,Pahang.

Apa yang masih jadi tandatanya cuma siapa yang Pakatan Harapan nak hantar berentap dengan Perdana Menteri kali ini dan sejauh mana keutuhan kubu kuatnya itu.

Semua orang tentu ingat sejarah getir dilalui oleh Najib pada PRU tahun 1999 bilamana beliau cuma menang tipis 241 undi.

Beliau mendapat 13,148 undi manakala lawannya dari PAS Ramli Mohamad 12,907.

Ia berlaku ditengah kehangatan perang besar antara Dr Mahathir dengan gerakan reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disingkir kerana kes liwatnya.

Pada PRU14 senarionya ialah terbalik kot.Najib terpaksa berdepan dengan pakatan pembangkang diketuai bekas Perdana Menteri yang beliau dan BN pernah pertahankan dulu.

Biasanya dalam mana-mana perang panglimanya akan menjadi sasaran utama.

Namun semua orang tahu suasana di Pekan kini bukan lagi bukan lagi diselubungi oleh angin tahun 1999.

Najib sudah melangkah jauh dari majoriti kemenangan tipis 241 ke  majoriti 22,922 pada PRU 2004, 26,464 pada PRU 2008 dan 35,613 pada PRU 2013.

Pada PRU13 Najib dapat 51,278 undi menewaskan calon PKR Fariz Musa 15,665.

Melihat peningkatan demi peningkatan ini rasanya tidak perlu sebarang analisa mendalam.

Senang cakap siapa saja masuk di Pekan dikira macam suka-suka nak glamour sekejap untuk ‘bunuh diri’.

Apa lagi UMNO Bahagian Pekan awal-awal sudah pasang ‘ tirai besi’ bukan saja untuk memastikan Parlimen Pekan tidak bocor tetapi Najib selaku Ketua Bahagian itu dapat tambah lagi majoriti beliau pada PRU14.

Bercakap kepada wartawan ketika ditemui pada Jualan Sentuhan Rakyat di pasar raya Eng Hong Pekan dekat Pekan Ahad Timbalan Ketua UMNO bahagian Pekan, Datuk Seri Abu Bakar Harun kata sasaran mereka kali ini ialah majoriti 40,000.

Beliau optimis mampu meraih majoriti itu berdasarkan gerak kerja jentera parti selama ini.

"Kalau nak kira, memang boleh dapat majoriti undi 40,000...kita telah bekerja untuk rakyat bermula selepas PRU lepas lagi...semua jentera bekerja tanpa penat dan jemu,”katanya.

Beliau perinci sasaran mereka setiap kawasan Dewan Undangan Negeri akan bagi majoriti 10,000 undi.

“Tetapi macam kawasan di Peramu Jaya yang mempunyai ramai pengundi, kita sasar dapat lebih 15,000 undi, jadi dapat 45,000 undi," katanya.

Ditanya pula mengenai kemungkinan persaingan lebih dua penjuru di Parlimen Pekan, Abu Bakar berkata, UMNO tidak sesekali goyah kerana yakin rakyat di kawasan itu bijak menilai calon mana yang mampu dan ikhlas bekerja untuk rakyat.

"Kita tak kisah berapa penjuru...kalau pembangkang baru nak turun sekarang bagi bantuan, bagi sumbangan memang jelas lah mereka hanya nak raih undi.

Kita (BN) dah mula sejak lepas pilihan raya dulu dah, buat apa nak takut dengan persaingan daripada pihak pembangkang atau calon bebas? Lainlah kalau kita tak buat kerja, memang patut takut ," katanya.

Beliau berkata setakat ini UMNO telah menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh pengundi di kawasan itu.- 11/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1098  tetamu dalam talian