17September2014

Mari intai aksi bakal Ketua Menteri Melaka...

pru-idrisharon1xx513
pru-idrisharon2xx
idrisharon-pejabat
melakaxx513
idrisharon1xx
Walaupun namanya disebut-sebut sebagai pengganti Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebagai Ketua Menteri Melaka, Datuk Ir Idris Haron langsung tidak ambil pot hal itu .

Membilang hari ke 5 Mei,tumpuan utama beliau kini ialah kempen dan terus kempen agar bendera BN terus berkibar di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang - kawasan beliau jadi calon  pada pilihanraya umum ini.

Kepada Idris memenangi pilihanraya kali ini adalah keutamaan bagi memastikan nasib dan masa depan rakyat terus terbela di bawah kerajaan BN sama ada diperingkat negeri mahupun Pusat.

Pada PRU12 beliau telah menang selesa di kerusi Parlimen Tangga Batu.

DUN Sungai Udang juga terletak di dalam kawasan parlimen Tangga Batu.Idris juga adalah Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.

Idris sebelum ini adalah seorang Ahli Parlimen BN yang digeruni pembangkang di Dewan Rakyat.

Ini diakui oleh ramai pihak termasuk kalangan wartawan bila melihat beliau tangkas berentap dengan Ahli Parlimen pembangkang semasa perdebatan.

Pengumuman beliau pindah kawasan bertanding dari Parlimen ke DUN dan serentak dengan Mohd Ali tukar DUN ke Parlimen terus menguatkan desas desus beliau dijangka akan dilantik sebagai orang nombor satu di Mekala nanti.

Kawasan Tangga Batu memang dikenali sebagai salah satu kubu kuat di Melaka.Ini berdasarkan keputusan pilihanraya umum 2008 dan sebelumnya.

Apapun  kejayaan rakannya,Datuk Yaakob Md Amin memperolehi majoriti 8,005 undi pada 2008 di kerusi DUN Sungai Udang yang kini ditandinginya  bukan bermakna Idris boleh goyang kaki.

Bagi bekas timbalan menteri Pengajian Tinggi dan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada 5 Mei ini, sama ada suka atau tidak, rakyat kena memutuskan kerajaan yang mereka pilih untuk masa depan.

Menurut Idris dalam situasi sekarang berdepan dengan pembangkang begitu bercita-cita hendak menawan Putrajaya, untuk BN mencapai kemenangan pada PRU 13 bukan mudah atau seperti ianya ‘gugur dari langit’.

Tambahan pula, Sungai Udang sinonim dengan kem tentera dan undi mereka sering dianggap sebagai undi penentu kepada calon yang bertanding.

Apatah lagi, Idris dicabar bekas pegawai tentera yang bertanding atas tiket PKR, Asri Buang – sekaligus tentu ujud cakap-cakap undi tentera di kem Sungai Udang akan menyebelahi calon pembangkang itu.

DUN Sungai Udang mempunyai 17,693 pengundi dengan 68 peratus pengundi Melayu, 25 peratus Cina dan baki kaum-kaum lain.

Bagaimanapun, Idris beruntung kerana Asri yang bakal menentangnya bukanlah bekas tentera yang dikagumi malah bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Borhan Ahmad menyifatkan Asri bukan seseorang yang boleh dipercayai.

Borhan tampil dengan kenyataan itu selepas Asri dalam kempennya ‘menjual’ nama beliau semata-mata untuk meraih sokongan dan mendapatkan undi pasukan keselamatan di Kem Sungai Udang.

Sedikit sebanyak pengakuan Borhan mengenai sikap Asri mendedahkan pembohongan calon PKR itu.

Apapun, Idris cukup percaya warga tentera di Sungai Udang bijak mengenal mana kaca, mana permata dalam menentukan wakil rakyat yang lebih layak di DUN berkenaan.

Dalam pada itu, Idris melihat kelebihan tentera yang ada pada Asri juga ada padanya.

“Beliau (Asri) bekas tentera. Saya masih lagi Mejar Kehormat Askar Wataniah dan masih berkursus dua minggu setahun bagi mengekal keupayaan sebagai tentera. Saya juga johan menembak. Saya fikir daripada pilih bekas tentera, baik pilih saya yang sedang pegang Mejar Kehormat,” katanya.

Malah menurut Idris, beliau yakin pengundi tentera bukan sahaja mahu tentera tetapi wakil rakyat yang ada kredibiliti serta tiada sejarah menipu.

“Saya yakin tentera bijak menilai kaca dan permata. Selama 12 kali PRU, tentera tak pernah kecewakan calon BN baik di Sungai Udang mahupun parlimen Tangga Batu,” katanya kepada Agendadaily.

Tegas beliau, jangan rendahkan keupayaan tentera dan pandang rendah mereka.

“Mereka cukup bijak menilai kerajaan manakah yang boleh memberikan harapan atau  satu mimpi serta kerajaan manakah boleh menepati janji,” ujarnya..

Mengenai dakwaan beliau bertanding di DUN Sungai Udang kerana kawasan itu ‘selamat’ kerana wakil rakyat lalu dapat majoriti bear, Idris menyelar pihak terbabit yang membuat ohmahan itu sebagai ‘tak ada otak’.

“Bukan saya yang pilih atau tentukan di mana akan bertanding. Pucuk pimpinan tentukan kita sama ada dicalon atau tidak dan di kawasan mana. Saya berikrar dengan pucuk pimpinan apa saja ditentukan,”

“Saya percaya semangat dengar dan taat itu bawa kejayaan cemerlang pada parti. Kebetulan sya di tempatkan di DUN Sungai Udang..saya ingin kekalkan kecemerlangan jika terus diberikan kepercayaan,” tegas Idris.

Lagipun katanya, hanya UMNO digelar parti keramat bukannya PAS, PKR atau DAP yang ditubuh kerana sikap dendam atau sakit hati.

Bagi Idris, menggalas cabaran di Sungai Udang bukan seringan mata memandang kerana bekas wakil rakyat lalu, Yaakob yang juga anggota Exco kerajaan negeri cukup cemerlang.

JKKK kawasan itu pula terbaik memenangi Anugerah Desa Cemerlang peringkat Kebangsaan.

Sesuai seloka Sasterawan Osman Awang yang kerap diucapkan setiap kali Idris turun berkempen,”Baik-baik menebang jati, biar rebah jangan tumbang, baik-baik cari pengganti,biar lebih  jangan kurang,”.

Dibahu Idris, cabaran itu harus digalas walaupun amat sukar bagi mengekalkan prestasi wakil rakyat sebelum ini. – 27/4/2013 - OLEH ROSLAN BIAN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 774  tetamu dalam talian