19Disember2014

Muhyiddin: Lumrah pembangkang hambur fitnah menjelang PRU-13

bn-muda5
Menjadi lumrah pembangkang menghambur pelbagai bentuk fitnah terhadap kerajaan serta menabur janji untuk meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, yang semakin hampir, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga naib presiden Umno, berkata kerajaan pula akan sibuk memberi penjelasan kepada rakyat agar tidak terpedaya dengan taktik pembangkang.

Beliau merujuk Buku Jingga PAS yang didakwa parti itu mengandungi perancangan lebih baik berbanding Belanjawan 2013 kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membangunkan negara serta memastikan kebajikan rakyat terjamin.

"Kita telah kaji dan teliti satu persatu perancangan yang terkandung dalam Buku Jingga mereka. Kita ada hitam putih (pembentangan belanjawan). Jika dilaksanakan rancangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara boleh bankrap pada 2015.

"Dakwaan Anwar defisit negara meningkat dan kerajaan tiada wang adalah tidak berasas dan pembohongan besar. Dia buat dosa kering sahaja," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Rakyat 1Malaysia Gelombang Biru di Dataran Datuk Sheikh Ahmad,Kangar Khamis malam, yang dihadiri hampir 6,000 orang.

Hadir sama Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Naib Presiden MCA Datuk Seri Chor Chee Heung dan wakil komponen BN.

Muhyiddin berkata kerajaan mampu melaksana pelbagai bantuan kepada rakyat pada awal tahun, antaranya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta bantuan awal persekolahan tanpa meminjam wang, dan ini bermakna tohmahan pembangkang tidak benar dan satu pembohongan.

"Dia (Anwar Ibrahim) marah pada kerajaan, dia pergi luar negara memburukkan negara. Ini adalah sifat pengkhianat. Buruk-burukpun Malaysia negara kita," katanya.

Beliau berkata kerajaan BN serius membela nasib setiap kaum dan melakukan yang terbaik untuk masa depan negara.

"Niat baik kerajaan BN ini tidak berlaku di Selangor, yang diperintah pakatan pembangkang, yang menolak peruntukan RM660 juta bagi membina loji air Langat II untuk membekalkan air secukupnya kepada rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Saya nak lihat sama ada Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim), yang merupakan bekas ahli korporat, akan meletakkan kepentingan politik beliau mengatasi keperluan rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menawarkan pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat Perlis berharga di bawah RM150,000.

"Sekiranya kerajaan negeri berhajat, carilah tapak, kita akan bina," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.- 7/2/2013



Malaysia maju sebab dasar kerajaan BN betul - Muhyiddin

Dasar yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak merdeka meletakkan Malaysia pada landasan betul untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata dasar-dasar tersebut mewujudkan iklim ekonomi yang baik sehingga pelabur asing memilih Malaysia untuk membuat pelaburan.

"Dengan dasar yang jelas, keadaan dalam negara stabil dan tiada ganggu-gugat oleh kumpulan tertentu, pelabur asing memilih Malaysia untuk membuat pelaburan mencurah-curah.

"Malaysia hanya sebuah negara kecil tetapi nilai perdagangan kita mencecah RM1.4 trilion," kata Muhyiddin semasa berucap pada perjumpaan bersama rakyat di Dewan 2020 di sini, sempena lawatan kerja sehari beliau di Perlis, Khamis.

Hadir bersama hampir 10,000 orang itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Yazid Mat serta dua bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Muhyiddin berkata Malaysia terpaksa bersaing dengan negara-negara pengeksport namun berjaya kerana dasar yang dilaksanakan selain penekanan terhadap kualiti produk supaya diterima dalam pasaran negara maju.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mencapai lima peratus adalah baik berbanding Amerika Syarikat, Jepun dan United Kingdom tetapi pembangkang menyatakan ekonomi negara menurun dan bangkrap, kata Muhyiddin.

Katanya kajian badan-badan antarabangsa meletakkan Malaysia antara 10 negara paling berdaya saing di dunia untuk membuat pelaburan dan tempat ketiga memiliki nilai-nilai hidup lebih baik dan selamat didiami bakal pesara dan pesara warga asing berbanding ratusan negara lain.

"Pembangkang mendakwa ekonomi negara jatuh dan negara menuju kebangkrapan. Tuduhan ini tidak betul kerana ekonomi kita berkembang lebih cepat.

"Sesiapa tidak bersetuju dengan saya boleh mencabar saya. Kerajaan BN telah berusaha membuat yang terbaik untuk seluruh rakyat negara ini.

"Saya akui ada kelemahan dan banyak lagi perlu dibuat. Kita ada perancangan dan kelemahan boleh diatasi dan dilaksanakan dengan mandat baru daripada rakyat, kata Muhyiddin.

Beliau memberi contoh kelemahan dalam sistem pendidikan akan dilaksanakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan sehingga 2025.

Katanya pihak-pihak yang beria-ia hendak mengambil alih tidak pula menjelaskan perancangan mereka kepada rakyat sebagai pelan transformasi yang dilaksanakan kerajaan BN.

Di akhir ucapannya Muhyiddin meluluskan bantuan kewangan RM2.77 juta bagi membaikpulih dan menaiktaraf Masjid Al-Mursyid, Pauh (RM200,000); pembinaan dewan serbaguna DUN Kuala Perlis (RM1.85 juta); menaiktaraf pasar borong Kangar (RM500,000); pasar tapak malam Titi Chai, Tambung Tulang (RM200,000) dan Majlis Belia Negeri Perlis (RM20,000).

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 100 penerima.-7/2/2013

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 702  tetamu dalam talian