20September2018

Malaysia diiktiraf negara paling berjaya bantu golongan miskin

Malaysia diiktiraf sebagai negara paling berjaya di dunia dalam soal membantu golongan susah dan berpendapatan rendah menerusi pelbagai dasar yang telah dilaksanakan kerajaan sejak dahulu hingga sekarang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Perdana Menteri berkata dasar itu dilaksanakan secara konsisten sejak zaman pemerintahan Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein iaitu ayahanda beliau sendiri dengan mewujudkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutan (Felda).
 
Katanya ia diikuti dengan penubuhan pelbagai agensi lain seperi Felcra, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tekun Nasional (Tekun), dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 1987 yang menjadi antara medium untuk golongan itu mengubah corak kehidupan mereka.
 
"Sebagai sebuah kerajaan, saya berpegang kepada prinsip dan falsafah yang merupakan kesinambungan perjuangan ayahanda saya yang menjadi pencetus serta mengilhamkan Dasar Ekonomi Baharu sebagai penggerak utama pembangunan luar bandar."
 
"Dalam perjuangannya, antara yang menjadi perhatian utama ialah bagaimana nak mengubah dan menolong orang kampung dan miskin. Hal ini tidak dapat dinafikan apabila kedudukan golongan miskin terutama di kawasan luar bandar mulai berubah bertitik tolak daripada situ."
 
"Saya sebagai anakandanya, sudah tentu saya ingin melihat landasan yang telah dimulakan diteruskan sampailah hari ini sehingga segala-gala yang diimpikan dan menjadi aspirasi serta cita-cita Allahyarham akan menjadi kenyataan, " kata perdana menteri.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Himpunan Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Parlimen Pekan di Pekan Ahad.
 
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan Datuk Seri Abu Bakar Harun dan Pengerusi Eksekutif AIM Datuk Dr Zubir Harun.
 
Katanya hasil bantuan dan pinjaman yang diberikan oleh AIM sejak ditubuhkan, seramai 726, 891 peminjam telah mendapat faedah melibatkan pinjaman RM19.2 bilion.
 
"Kadar kemiskinan negara secara mutlak juga telah menjadi sifar, manakala kadar kemiskinan secara relatif menurun daripada 3.8 peratus pada tahun 2009 kepada 0.4 peratus pada 2016."
 
"Sementara kadar pendapatan isi rumah bulanan bagi kumpulan B40 telah meningkat daripada RM1,400 sebulan kepada RM2,848 dalam tempoh yang sama."
 
"Pinjaman yang disediakan ini ibaratnya seperti bayi yang mula bertatih, kemudiannya berjalan dan berlari begitu juga kita ada pinjaman asas seperti disediakan AIM kemudian oleh MARA, Tekun dan Bank SME untuk kembangkan perniagaan.
 
"Bayangkan, jika tiada bantuan sedemikian, bagaimana mereka mahu mulakan perniagaan mungkin jadi mangsa ceti haram atau ah long, " kata perdana menteri.
 
Katanya telah banyak contoh kejayaan usahawan AIM yang dapat disaksikan di seluruh negara termasuk seorang daripada (mereka) hanya seorang suri rumah dari Kelantan yang pada mulanya hanya peniaga ayam, kini menjadi seorangan usahawan berjaya dengan memiliki aset yang banyak.
 
"Dia berjaya kerana bantuan yang diberikan oleh AIM, ini contoh yang boleh dijadikan sebagai rangsangan untuk Sahabat AIM untuk turut berjaya dan meningkatkan taraf hidup mereka, " katanya.
 
Sementara itu, pada majlis berkenaan, Najib turut mengumumkan penambahan peruntukan khas kepada AIM sebanyak RM100 juta pada tahun ini bagi menambah had pembiayaan pinjaman I-Sejahtera daripada RM10,000 kepada RM15,000.
 
Dalam masa yang sama had pinjaman I-Wibawa turut ditingkatkan daripada RM5,000 kepada RM15,000.- 15/4/218
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 646  tetamu dalam talian