Kha02232012

Kemaskini terakhir09:45:03 AM GMT

Back Arkib Arkib Agenda Daily Berita Muka Hadapan Muka Hadapan Semakin ramai yang sedar 'wajah' sebenar Anwar..

Semakin ramai yang sedar 'wajah' sebenar Anwar..

  • PDF

anwarpening513Laporan sebuah majalah yang diterbitkan di England, the Economist, adalah permulaan kepada usaha barat menjarakkan diri dari Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim. Dari aspek apapun, Anwar kini dilihat tidak lagi releven kepada barat dan kepentingan mereka malah ia dianggap liabiliti buat pembangkang dan rakyat yang memperjuangkan keadilan.

Dulu, hal ini seperti suatu yang aneh kerana barat melalui media dan kuda- kuda tajaan, menggunakan platform media untuk menggerakkan pendapat pro Anwar. Maka kita lihat publisiti yang Anwar perolehi menjulang nama dan menaikkan imejnya menjadikan beliau seorang “tokoh reformasi” yang paling berpengaruh di dunia sebelah sini.

Amat jarang dan jauh sekali tokoh yang dipuja barat selama ini tiba-tiba dicemuh walhal bintang pujaan mereka itu baru saja dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi dari tuduhan meliwat bekas pembantunya.

Penyokong Anwar mengharapkan reaksi positif dari the Economist bukannya dibalas dengan tuduhan dan tulisan yang dianggap tidak senonoh.

Kerana tergugat dengan perkembangan ini, ada penulis pro Anwar cuba memperkecilkan kewibawaan majalah berkenaan serta menganggap tulisan itu tidak boleh mempengaruhi pemikiran arus perdana rakyat Malaysia.

Macam kebanyakan daripada kita, Anwar tentu terkedu kerana tulisan itu bukan saja keras dan bernas, ia seperti ada persamaan dengan pendapat rakyat kebanyakan mengenainya.

Justeru boleh kita katakan the Economist membantu 'mentalkinkan' pengaruh Anwar di barat terutama di kaki lima rumah putih, di Washington D.C.

Laporan majalah berkenaan tempoh hari seperti dipendua dari pendapat tokoh-tokoh yang pernah mengenali dan menyokong Anwar tapi kini memilih menjadi seterunya.

Majalah berkenaan antara lain menganggap Anwar sebagai pemimpin yang tidak boleh dipercayai serta PKR kini dikuasai kaum keluarganya dan pada masa sama gagal “nuture” golongan muda parti.

Dulu kita membaca komen Prof Dr.Chandra Muzaffar, mantan Timbalan Presiden PKR mengenai Anwar. Cendiakawan macamnya tak balun Anwar dengan dakwaan kosong serta mengaitkan dengan elemen-elemen nakal.

Ini bukan cerita kedai kopi kerana Chandra, macam juga Zulkifli Nordin (peguam dan kini Datuk), Datuk Zaharin Hashim dan bekas pimpinan-pemimpin lain PKR, tahu luar dalam cerita Anwar.

(Zaharin pernah mendedahkan di Parlimen Anwar memberi briefing mengenai skandal video “bogel” Elizabeth Wong dan mahu wakil PKR itu digugurkan dari EXCO tapi hingga sekarang tak jadi digugurkan).

Komen Chandra beralaskan pengalaman sebagai rakan dan sebagai timbalan presiden parti melalui parti yang ditubuhkan semata-mata memperjuangkan nasib Anwar.

Apabila sudah bercerai talak, barulah Chandra menyifatkan Anwar sebagai  “dia ni (Anwar) manusia yang banyak kelemahan . .'' .tapi pada masa sama Chandra juga menganggap Anwar sebagai '‘satu malapetaka.”

Budak-budak PKR marahkan Chandra kerana tokoh akademik itu memperlekehkan bos mereka dengan kata-kata seperti “kita jangan taksub dengan pemimpin (merujuk kepada Anwar).”

Mereka berbeza pendapat dengan Chandra kerana puak-puak ni mencanang sana sini Anwar (ketika itu) adalah wira bakal menyelamatkan Malaysia.

Chandra dikatakan tidak senang pemimpin dipuja begitu rupa tanpa fakta serta tidak berasaskan realiti.

Hari ini jika dilihat semula, apa yang ditulis the Economist, ada persamaan dengan apa yang dicakapkan Chandra beberapa tahun lalu.

Sejarah tidak pernah menipu dan berubah cuma manusia yang gelojoh saja tak mahu belajar membaca buku-buku sejarah dan mencermin kesalahan diri sendiri.

Sejak 1998 dan sebelum dari itu lagi, Anwar telah diberi ruang dalam pelbagai media dan majalah serta juga program tv di luar negeri.

Dunia waktu itu mencemuh Tun Dr.Mahathir Mohamed kerana dasarnya yang dilihat anti-barat namun sebaliknya Anwar selaku Menteri Kewangan mendapat tempat istimewa di dalam ruang-ruang akhbar dan kaca tv.

Semuanya gara-gara barat tidak tahan dengan kelantangan Perdana Menteri ke4 Malaysia itu yang tidak memberi muka kepada mereka sejak hari pertama menyandang jawatan berkenaan.

Dasar Buy British Last tentu saja tidak dilupakan oleh pembuat dasar di England serta sekutu mereka.

Kritikan terhadap Zionist serta yahudi Amerika Syarikat yang bersekongkol dengan Israel adalah sekadar beberapa contoh sikap Dr. Mahathir.

Kata-kata Dr.Mahathir bahawa Yahudi bukannya ramai di dunia tapi berjaya menguasai Amerika dan dunia serta kritikan terhadap “holocaust” masih diingat Yahudi dan barat hingga sekarang.

Bagi mengimbangi pengaruh Dr.Mahathir serta pada masa sama mempelopori jalan penggulingan Perdana Menteri (melalui pilihanraya), barat mencipta pelbagai isu yang boleh menjejaskan imej Dr.Mahathir.

Malaysia termasuk di dalam senarai negara-negara kurang disenangi AS dan Eropah serta dasar luar Malaysia sering dilihat sebagai anti-barat.

Produk kayu kayan dan juga minyak kelapa sawit dikategori sebagai tidak mesra alam dan tidak selamat untuk dimakan berbanding minyak kacang soya.

Dr.Mahathir memilih mendekati Rusia (dulu Soviet Union) serta negara-negara membangun di benua Afrika dan Asia sebagai helah untuk mencari kekuatan sendiri.

Bagi penganalisis politik, walaupun Dr.Mahathir dilihat macam ”odd couple” dengan Amerika dan barat, mereka mengaguminya kerana kejayaan membangunkan Malaysia dan menjadkan negara ini sebuah negara Maju (menjelang 2020).

Pengalaman Mahathir kini dilalui Chavez, Presiden Venezuela yang cuba dipinggirkan Amerika dan barat. Perang proksi melihat barat macam berusaha mengajar Venezuela supaya tidak “menentang mereka.”

Anwar bukanlah pilihan baik buat barat kerana latarbelakang lslamnya. Barat melihat Anwar macam mana mereka melihat Muammar Ghadafi, Ayatollah Khomeini dan beberapa pemimpin lslam yang dilihat lebih mirip sebagai “Islamic fundamentalist.

Anwar memilih menyertai UMNO, bukannya PAS seperti diuar-uarkan dan sekaligus naik mendadak sehingga ke jawatan Timbalan Perdana Menteri hasil tajaan Dr. Mahathir.

Barat memberi reaksi positif kerana Anwar berjaya menukar imej dari seorang yang dilihat fundamentalis kepada seorang yang berfikiran liberal atau sederhana.

Anwar melalui zaman payah di peringkat awal kerana banyak kaki dipijak dan ramai menjerit kerana dipinggirkan Dr.Mahathir yang sedang “mabuk” mempersiapkannya sebagai bakal Perdana Menteri.

Kawan-kawan yang mengenali Anwar sejak 1970-an lagi dapat melihat perubahan pada watak dan tokoh rakan seacuan sejak zaman ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia).

Anwar yang dipecat dari UMNO kerana isu moral mendapat pentas baru melalui rakan-rakan di seberang laut.

Semasa dihadapkan ke mahkamah kerana tuduhan liwat (1998), Madeleine Albright, Setiausaha Negara AS dipetik menyebut Anwar sebagai “highly respectable leader who was entitled to due process and a fair trial.

Semasa melawat Malaysia, Naib Presiden AS, Al Gore (di depan Dr. Mahathir) berkata “we continue to hear calls for democracy including among the brave people of Malaysia.”

Ini dilihat sokongan terbuka AS kepada Anwar di saat-saat menghadapi penghakiman kepada kes pertama.

Al Gore juga dipetik menyokong gerakan reformasi di negara ini seperti berikut:” Democracy confers a stamp of legitimacy that reforms must have in order to be effective. And so, among nations suffering economic crises, we continue to hear calls for democracy, calls for reform, in many languages—people power, doi moi, reformasi. We hear them today-right here, right now-among the brave people of Malaysia.”

Semasa dalam tahanan surat-surat Anwar tersiar di pelbagai akhbar di luar negara. Pendapatnya memperlihatkan insan ini ada idealisme dalam mencari dahan baru untuk berpaut.

Keberanian AS memperjudikan hubungan dua hala dengan Malaysia semata-mata kerana mahukan kemenangan Anwar sekaligus melihat
Dr.Mahathir jatuh tersungkur sebagai balasan kerana keceluparannya.

Serentak dengan itu media di luar negara seperti US News and World Report menganggap perbicaraan Anwar sebagai “tawdry spectacle”.

Dr. Mahathir juga menyaksikan campurtangan AS melalui lawatan Albright mengunjungi isteri Anwar, DS Dr.Wan Azizah—ia dilihat sokongan moral AS secara terbuka kepada Anwar dan gerakan reformasi.

Macam mana Anwar boleh diberi ruang dalam media barat serta menjalin hubungan mesra dengan tokoh-tokoh tertentu seperti Paul Wolfowitz (bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan AS) bukan suatu yang aneh.

Ada pendapat melihat Anwar yang pernah dilabel “fundamentalist” oleh barat tiba-tiba menjadi seorang yang liberalis berpunca dari tulisannya dalam majalah Time bertarikh 15 Oktober, 2001—selepas trajedi Sep 11.

Rencana Anwar bertajuk Who hijacked lslam? dimulakan dengan ayat seperti berikut:”Never in lslam’s history have the actions of so few of its followers caused the religion . . .”

Ringkasnya rencana itu antara lain menyalahkan Osama dan Atta sebagai pengganas yang menyebabkan serangan ke atas WTC. Jelas pemikiran Anwar melalui tulisan itu sealiran dengan dasar dan pendapat pembuat dasar di rumah putih.

Anwar tidak peduli reaksi masyarakat lslam serta tokoh-tokoh lslam yang pernah dikenali berhubung tulisannya. Matlamatnya jelas bahawa ada pihak di AS akan memberi layanan positif kepada kerjaya politiknya kelak.

Dengan sokongan barat, Anwar melihat jalan ke Putrajaya lebih mudah dari sekadar dikagumi masyarakat lslam yang cenderung menganggapnya sebagai tokoh fundamentalist.

Yang penting impian menjadi Perdana Menteri bukan lagi angan-angan mat jenin.

Sebagai penutup, disiarkan petikan ucapan Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden ABIM di DTC, Universiti Malaya pada 9 Ogos, 1981 sempena muktamar ke10 ABIM, bertajuk Membina Generasi—Satu Gagasan.

Antara lain Anwar mengecam politik PAS dan politik pemerintah (UMNO) seperti berikut: "Istilah-istilah perpaduan umat, jihad, persaudaraan, persamaan dan keadilan merupakan slogan kosong untuk mengisi perbendaharan kata dalam rumusan, manifesto dan perisytiharan. Perkembangan mulai melahirkan kekecewaan di kalangan rakyat dan tambah mengukuhkan cemuhan umum terhadap politik sebagai permainan kotor dan pemerintahan mungkin merupakan "uncharismatic low-morale proffesion".21/1/2012- OLEH YUSOF HARUN