25September2018

Langkah PD: Johari sanggah kenyataan Zuraida

Ahli Parlimen PKR Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menyanggah kenyataan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang mendakwa langkah mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson tidak diputuskan melalui saluran yang betul.
 
Menurut Johari, perkara tersebut sudah dibincangkan terlebih dahulu di peringkat Biro Politik parti sebelum pengumuman mengenainya dibuat Rabu semalam.
 
Malah ujar beliau, Zuraida dan beberapa pimpinan lain seperti Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden Tian Chua tidak hadir pada mesyuarat tersebut.
 
“Apa yang dicakap benda itu tidak dibincangkan adalah tidak betul. Sebab Biro Politik pada hari Selasa yang lepas membincangkan tentang tindakan kita. Cuma dia tidak hadir, Azmin tidak hadir, Tian Chua tidak hadir.
 
“Jadi adakah perlu kita bawa mereka ini secara mendukung bawa ke mesyuarat Biro Politik?” katanya kepada BNPPortal.com, Khamis.
 
Tambah beliau, notis sudah dikeluarkan kepada semua yang terlibat dengan mesyuarat biro politik seperti yang dibuat sebelum-sebelum ini.
 
“Semuanya ada notis, cumanya dia tidak hadir,” katanya.
 
Selain itu, Johari turut membandingkan ‘langkah PD’ itu dengan tindakan Azmin membuat keputusan melantik Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor yang langsung tidak dibincangkan dengan Biro Politik parti.
 
“Saya juga nak sebut di sini, at least kita bincang. Kita bincang dan akhirnya kita buat keputusan dalam mesyuarat Biro Politik itu.
 
“Berbanding dengan keputusan yang dibuat oleh Azmin untuk meletakkan Amirudin Shaari sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan tempatnya.
 
“Langsung tidak dibincangkan dengan Biro Politik. Jadi saya nak sanggah kenyataan beliau (Zuraida),” katanya.
 
Zuraida semalam dalam satu kenyataan mendakwa langkah mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson tidak diputuskan melalui saluran yang betul.
 
Tindakan yang dibuat sesetengah pemimpin PKR itu katanya dilihat dangkal kerana tidak dilaksanakan secara musyawarah untuk mendapat sokongan seluruh anggota parti.
 
Beliau berkata kelakuan seperti itu mungkin menimbulkan tanggapan PKR kini dimanipulasi sesetengah kelompok.
 
Semalam, penyandang kerusi Parlimen Port Dickson, Datuk Daniyal Balagobal Abdullah mengumumkan peletakan jawatannya untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kemunculan semula di Dewan Rakyat.
 
Sidang media pengosongan kerusi parlimen Port Dickson itu turut disertai calon timbalan presiden Rafizi Ramli, Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution, Johari dan naib presiden Dr Xavier Jayakumar. – Oleh AIDIL SYUKRI- 13/9/2018
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 430  tetamu dalam talian