23Ogos2014

Ibu kanak-kanak malang nafi terima bantuan Air Asia...

mazidul-airasia
mazidul-airasia
Penumpang malang pesawat tambang murah AirAsia, Izan Suhaila Mohd. Ali, 36, menafikan menerima sebarang bantuan daripada syarikat penerbangan itu selepas dia dan anaknya Maryam Sofea Mohd. Reza, 14 bulan, dihalang menaiki pesawat di Ho Chi Minh, Vietnam untuk pulang ke tanah air baru-baru ini.

Malah, kata Izan Suhaila, dia kecewa dengan sikap lepas tangan AirAsia ketika berada di Vietnam dan berasa dipermainkan selepas hanya menerima panggilan daripada syarikat penerbangan itu yang menawarkan tiket percuma selepas selamat tiba di negara ini.

"Saya tegaskan di sini, tiada apa bantuan pun diperoleh daripada syarikat AirAsia selepas saya dihalang menaiki pesawat penerbangan itu. Tiada siapa yang membantu saya daripada syarikat berkenaan.

"Mereka (AirAsia) tidak langsung menawarkan sebarang bantuan, malah saya terus mengambil teksi pada pukul 11 malam di negara berkenaan," katanya.

Utusan melaporkan kenyataan Izan Suhaila itu berbeza dengan penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar yang mendakwa, ibu malang berkenaan menolak bantuan pihaknya kerana sudah menerima bantuan daripada pihak lain.

Aireen seperti laporan Buletin Utama di TV3 malam tadi berkata: "Pihak kami telah tawarkan bantuan kepada Suhaila Mohd. Alian, termasuk balik dengan percuma pada ketika ini (itu), tetapi saya rasa puan Izan (Izan Suhaila) telah dapat uruskan dengan pihak lain, jadi kami hormati bantuan diberi pada masa dan hari yang sama."

Sementara itu, Izan Suhaila berharap kejadian yang menimpa dia dan anaknya tidak berlaku kepada individu lain pada masa akan datang.

"Saya sedih dan tidak mahu bercakap mengenai AirAsia lagi. Apa yang berlaku ini sesuatu yang tidak dapat diterima. Saya harap perkara ini tidak berlaku kepada orang lain.

"Mujurlah saya ada ahli keluarga yang dapat membantu ketika saya dan anak berada dalam kesulitan. Tetapi cuba bayangkan jika individu yang terkandas itu tidak mengenali atau mempunyai sesiapa di negara orang yang boleh diminta bantuan atau dihubungi," katanya.

Pada 18 Mei lalu, Izan Suhaila dihalang menaiki pesawat tambang murah AirAsia, AK 1455 untuk pulang ke negara ini dari lapangan terbang Ho Chi Minh, Vietnam dengan alasan anaknya, Maryam Sofea menghidap demam campak.

Ibu berkenaan dan anaknya berjaya dibawa pulang ke tanah air selepas dibantu Malaysia Airlines System Berhad (MAS) dan Tourism Malaysia.

Sebelum ini, kakak Izan Suhaila, Norhamiza mempersoalkan kewajaran AirAsia memaksa adiknya itu tinggal selama lima hari di Vietnam sedangkan mereka langsung tidak memantau tahap kesihatan Maryam Sofea apatah lagi membawa anak saudaranya ke hospital tempatan untuk rawatan lanjut.-22/5/2013

LAGI CERITA LANJUT DI SINI


Wakil Air Asia berulangkali hubungi mangsa kes di Vietnam...

Ini perkembangan terbaru membabitkan kejadian penumpang syarikat penerbangan murah Air Asia yang dihalang menaiki pesawat di lapangan terbang Ho Chin Min City Vietnam Sabtu lalu.

Menurut wartawan TV3, Mazidul Akmar Sidik, beliau kakak mangsa, Norhamiza Mohd Ali memberitahu wakil Air Asia berulang kali menghubungi mangsa untuk mendapat penjelasannya.

Mazidul dalam psoting terbaru diblognya berkata wujud persoalan jika bayi tersebut disyaki membawa demam campak berjangkit, mengapa semua penumpang tidak dikauntin?

Berikut kami siarkan semula tulisan Mazidul di blognya.

Saya dihubungi oleh kakak Izan Suhaila, Norhamiza Mohd Ali pada kira-kira jam 3 petang tadi.

"Memang Air Asia tidak membantu adik saya sewaktu mereka diarahkan keluar dari lapangan terbang di Ho Chi Minh pada 18 Mei lalu. Mereka sendiri menahan teksi dan pergi balik ke hotel kami tinggal masa bercuti, May Flower Hotel," kata Norhamiza melalui telefon.

"Ya, seperti puan katakan sewaktu kita berjumpa di LCCT," balas saya.

Norhamiza menghubungi Izan di Ho Chi Minh tatkala tiba di LCCT sebelum bertemu saya di tempat menuntut bagasi.

Difahamkan, hari ini wakil Air Asia berulang kali menghubungi Izan kerana ingin bertemu dia untuk mendapatkan penjelasannya.

"Sepatutnya, Asia Asia patut memberikan penjelasan berhubung kejadian berlaku, bukan adik saya," ujar Norhamiza lagi.

Timbul persoalan ...

Jika Maryam Sofea disyaki membawa demam campak berjangkit, mengapakah saya dan semua penumpang berada di sekitar bayi itu tidak dikuarantin sewaktu berada di ruang menunggu lapangan terbang?

Mungkin jangkitan memilih bulu.

Hakikatnya, pihak membantu Izan, Maryam ditemankan oleh dua saudara lelaki mereka, Tourism Malaysia New York, Amerika Syarikat, Tourism Malaysia Vietnam, Kedutaan Malaysia di Vietnam, MAS dan kakitangan Hong Leong Bank.

Saya difahamkan, wakil Air Asia hanya menghubungi kakak Izan setelah dia dan anaknya tiba di KLIA diterbangkan oleh MAS.-21/5/2013


Air Asia kantoi...? Tiada saksi nampak bayi diperiksa 'doktor'...

Dalam usaha untuk buat damage control, syarikat penerbangan tambah murah Air Asia mengatakan kejadian ibu dan anak dihalang dari menaiki penerbangan berikutan "doktor lapangan terbang bertugas yang mengisytiharkan bayi tersebut tidak sihat untuk terbang."

Bagaimanapun, wartawan TV3 Mazidul Akmar Sidik yang merupakan saksi mata kejadian tersebut berkata bayi malang 14 bulang itu hanya diperiksa oleh wanita warga Vietnam yang berpakaian seperti jururawat dan tidak boleh berbahasa Inggeris.

Menurut Mazidul, doktor perubatan berbangsa Melayu, berkebetulan penumpang penerbangan sama, memperkenalkan diri  dan memaklumkan ground staff Air Asia, melalui pengamatan beliau,  Maryam  selamat untuk  diterbangkan.

"Namun, kenyataan doktor itu  tidak diambil kira. Doktor terbabit TIDAK bertugas di lapangan terbang,  beliau berstatus  pelancong di negara asing itu, cuma cuba ingin membantu menyelesaikan  masalah timbul,"

"Melalui pengamatan saya dan keluarga Izan,  TIADA  doktor   Vietnam  membuat  pemeriksaan terhadap  Maryam  di sekitar pintu 18   lapangan terbang. Hanya jururawat  ditugaskan  mengambil bacaan suhu badan Maryam.  Ditanya oleh ahli keluarga Maryam mengenai bacaan  suhu badan bayi berusia 14 bulan terbabit,  jururawat  warga asing  itu hanya membisu.

"Jika benar status kesihatan Maryam  membahayakan penumpang lain,  bagaimanakah  bayi  itu   DIBENARKAN  oleh ground satff  Air Asia di LCCT  untuk menaiki pesawat ke Vietnam  pada 15  Mei tetapi  kemudian  dinafikan penerbangan empat hari kemudian oleh ground staff di Ho Chi Minh?"

Kisah ibu dan bayi malang yang terdampar di lapangan terbang Ho Cin Min itu menarik perhatian warga Malaysia berikutan tindakan 'lepas tangan' Air Asia.

Ramai yang setuju mengenai ikut undang-undang bayi tersebut dan ibunya tak boleh naik pesawat, tapi mereka mempersoalkan prosedur yang digunakan oleh Air Asia.

Mengapa bayi tersebut boleh menaiki pesawat dari Malaysia ke Vietnam tetapi tidak boleh balik semula ke Malaysia dan perlu tunggu lima hari?

Juga mengapa keluarga malang tersebut hanya ditinggalkan di stesen teksi lapangan terbang dengan hanya ungkapan 'sorry'.

Ikut tinjauan Agendadaily di media sosial, ramai bersungut mengenai kurangnya sikap kemanusian dikalangan staf penerbangan murah itu.

Air Asia selepas dikritik hebat di media sosial mengeluarkan satu kenyataan di facebook menyebut, tindakan itu bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada penumpang lain.

“AirAsia mengikuti piawaian kesihatan global di mana para tetamu yang menghidapi demam campak hanya dibenarkan menaiki pesawat sekurang-kurangnya selepas 5 hari dari tarikh mula muncul ruam ditubuh. Ini perlu disokong oleh sijil perubatan atau surat pengesahan layak untuk terbang dari doktor bertauliah.

“Mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), untuk mengurangkan risiko jangkitan; penumpang yang tidak sihat, terutamanya jika mereka demam, harus menangguhkan perjalanan mereka sehingga mereka sembuh. Penumpang dengan penyakit berjangkit aktif tidak dibenarkan menggunakan pengangkutan udara,”.

AirAsia bagaimanapun dalam kenyataannya menegaskan bahawa tetamu tersebut tidak dibenarkan menaiki pesawat disebabkan demam campak.

“Hal ini telah disahkan oleh doktor lapangan terbang bertugas yang mengisytiharkan bayi tersebut tidak sihat untuk terbang.

“Seterusnya, AirAsia telah membuat persediaan untuk menerbangkan kembali ibu, bayi serta 2 orang dewasa secara percuma, setelah bayi itu diisytiharkan boleh menaiki pesawat oleh doktor,” jelas kenyataan tersebut.

Untuk rekod, ibu malang serta bayi tersebut telah selamat tiba di Malaysia dengan penerbangan MAS petang Ahad.

Staff MAS telah pergi ke hotel dan membawa ibu serta anak tersebut ke hospital bagi pemeriksaan perubatan.

Hasilnya satu sijil perubatan telah dikeluarkan dan demam campak yang dihidapi oleh bayi tersebut disahkan tidak lagi berjangkit.

Berikutan itu, dengan kerjasama Tourism Malaysia, MAS dan pihak kedutaan, ibu dan bayi malang tersebut berjaya dibawa pulang tanpa sebarang masalah.-20/5/2013

UNTUK MEMBACA KRONOLOGI KEJADIAN DAN GAMBAR-GAMBAR MENARIK LAYARI BLOG BERSAMA MAZIDUL


Kisah benar dialami rakyat Malaysia di Vietnam angkara Air Asia...

Ketika bos Air Asia X Azran Osman Rani yang dibelasah depan belakang dalam soal 'kemelayuannya', rakyat Malaysia pada Ahad dikejutkan dengan satu kejadian malang penumpang syarikat penerbangan murah tersebut.

Ini bukan konspirasi, tapi kisah benar menimpa seorang wanita rakyat Malaysia bersama bayinya yang terdampar dibumi asing berikutan sikap kurang mesra pelanggan syarikat penerbangan Air Asia di Vietnam malam Sabtu lalu.

Untuk rekod, selepas ding dong dan segala macam masalah, wanita malang itu bersama anaknya dibawa pulang oleh penerbangan MAS petang Ahad.

Siapa tahu mungkin kisah begini sudah selalu berlaku cuma semalam di Ho Chin Min, kebetulan ada wartawan TV3 Mazidul Akmar Sidik yang menyaksikan dengan mata kepala sendiri apa yang berlaku dan melaporkannya dalam blog beliau.

Kisah tersebut kemudian tersebar di facebook dan twitter. Sepantas kilat, berbagai reaksi kemarahan rakyat Malaysia dihemburkan kepada pengurusan Air Asia.

Bosnya Tan Sri Tony Fernandes dalam satu kenyataan di twitter kata beliau kini berada di Jepun dan sedang meneliti laporan kejadian. Manakala beliau mengarahkan pekerjanya untuk mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian di Vietnam itu.

Ceritanya mudah, ibu muda berusia 36 tahun, Izan  Suhaila Mohd Ali bersama bayinya Maryam Sofea Mohd Reza, 14 bulan bersama rombongan telah pergi bercuti di Vietnam menggunakan perkhidmatan Air Asia.

Bayi kecil itu demam campak sebelum itu, tapi doktor di Malaysia kata tidak ada masalah dan boleh pergi bercuti sejak Rabu 15 Mei lalu.

Cuma ketika hendak pulang, mereka ditahan oleh kakitangan Air Asia dan diberitahu tidak boleh naik kapal terbang tersebut selain kena tunggu di situ selama lima hari lagi.

Ada doktor yang kebetulan dok tunggu penerbangan yang sama periksa bayi malang itu dan dapati ia tidak demam lagi, cuma kesan hitam akibat campak saja yang kelihatan.

Beliau dan bayinya dipisahkan dari kumpulan, tanpa beg baju dan barang keperluan lain yang telah masuk dalam pesawat.

Kasihan melihat kesusahan yang dihadapi oleh si ibu dan anak, orang ramai pakat-pakat hulur duit untuk pasangan tersebut.

Berdasarkan cerita yang dipetik dari blog Mazidul, kakaitangan Air Asia yang mengiringi pasangan itu ke stesen teksi sambil meminta maaf.

Dan wanita itu serta anaknya terpaksa pergi beli baju sendiri selain balik ke hotel yang pernah mereka huni.

Cuma hari ini, cerita yang kecil sudah jadi besar, sampaikan melibatkan pihak kedutaan dan wakil tourist Malaysia juga syarikat penerbangan MAS.

Menurut Mazidul, kakitangan MAS telah ke hotel tersebut dan membawa keluarga malang itu ke hospital untuk pemeriksaan.

Dan pada petang Ahad, ibu dan anak itu sudah selamat mendarat di KLIA menggunakan pesawat MAS.

Di bawah kami siarkan semula cerita yang dipetik dari blog Mazidul.


IBU DAN BAYI SENGSARA DI VIETNAM : AIR ASIA USAH LEPAS TANGAN

Kira-kira  jam 8.45 malam tadi (Sabtu),  mengikut  waktu tempatan di  Vietnam, saya terlihat penumpang pesawat  AK 1455,    warga  Malaysia  dihampiri oleh  kakitangan  lelaki Air Asia. Penerbangan  pulang ke Kuala Lumpur  dijadualkan  berlepas pada jam  9 malam ( 10 malam waktu  Malaysia ).

Setelah  beberapa minit  berlalu, perlahan  saya  kemudian  mendekati kumpulan penumpang itu  dan mengajukan soalan.

"Ada masalah apa puan?"

"Kakitangan  Air Asia ini berkata,  anak saya  dilarang  menaiki pesawat  kerana dia  demam campak.   Kami  sekeluarga,  dua belas orang,  datang  ke Ho Chi  Minh  pada hari Rabu lalu.  Kami memang  ada  membawa bekalan ubat demam,  jadi bagi kepada dia kalau dia  demam.  Dia  sudah  tidak demam lagi,"  ujar  ibu bayi,   Izan  Suhaila Mohd Ali,  36 tahun.

"The  mother and the baby had to stay here  for  five days. They cannot  board the aircraft," arah  kakitangan Vietnam Air Asia berdiri di sebelah saya.

Mereka  bimbang sekiranya deman terbabit  menjangkiti penumpang lain.

Menurut ahli  keluarga  Izan, semua  beg pakaian  mereka telah dimasukkan ke dalam pesawat.  Setelah  bercuti  selama empat hari,  kandungan beg  bercampur aduk dan barangan  keperluan  asas Izan dan anaknya,  Maryam  sukar dipisahkan. 

Bayi,  Maryam  Sofea Mohd Reza, berusia 14 bulan.

Lalu saya terangkan keadaan sebenar kepada kakitangan  syarikat  penerbangan  tambang murah itu.

"So, all twelve had to stay  then ,"  balasnya.

"I understand the situation, law is a law but  don't  forget, these are human beings not dogs or cats. If she  were going to stay here for another five days, she and the baby need  cloth to wear.  Please refer this matter  to your superior again before making  further decision," balas saya.

Tidak lama kemudian,  muncul seorang penumpang MELAYU memperkenalkan dirinya  sebagai  pegawai perubatan ( medical doctor )  datang menghampiri dan menyentuh  tubuh Maryam.

"Dia  kena chicken pox tetapi sudah tidak demam lagi. Hanya  tinggal kesan tompokan hitam sahaja di tubuh,"  ujar doktor terbabit.

Namun kenyataan beliau tidak dihiraukan oleh petugas di situ.

Beberapa minit  kemudian  tampil  pula jururawat wanita tempatan dan pantas menyelitkan jangka suhu di bawah  ketiak bayi itu sebanyak dua kali.

"Apabila  kita  bertanya,  berapakah suhu  badan  Maryam,  dia membisu,"  ujar kakak  Izan,  Norhamiza.

Saya  perhatikan,  airmata  jernih mula bergenang  di bawah  dua kelopak mata Izan sambil dia terus  mendakap  erat  anaknya mengalami sindrom down.

Barangkali   dia  bak  tidak mampu  mempercayai  cabaran didepaninya tatkala itu amat getir. Tambahan pula suami tersayang  tidak bersamanya untuk mengharung detik hitam tidak mungkin dapat dilupakan sepanjang hayatnya itu.

Keputusan muktamat  telah  dibuat  oleh kakitangan Air Asia berpenampilan bongkak  biarpun tidak  dipersetujui ramai penumpang lain.

"The captain  doesn't  allow this baby on board," ujar pegawai sama kepada kami.

Warga Malaysia berkunjung ke bandaraya  Ho Chi Minh untuk membeli-belah. Lazimnya, ramai tidak  membawa  baki wang  tunai tatkala  pulang ke Malaysia.

Di saat perpisahan hampir menjenguk,  Izan dipeluk erat  oleh ahli keluarganya. Mereka juga  tidak berupaya  menahan  deraian  airmata tumpah di pipi.

"Ibu ini diarahkan untuk  tinggal  bersama anaknya selama lima hari lagi di sini. Barangkali dia tidak  mempunyaii wang tunai mencukupi.   Kalau  hati terbuka untuk menghulurkan bantuan, dipersilakan,"  kata saya spontan kepada semua penumpang sedang  beratur untuk menaiki pesawat.

Tidak semena-mena,  warga Malaysia pelbagai bangsa,  Melayu, Cina dan India, tergesa-gesa, tanpa berfikir panang, mengeluarkan  matawang  pelbagai jenis dari poket serta  beg duit  mereka dan pantas  menghulurkan  kepada Izan.

Hebat  sungguh warga Malaysia. Memori  sebegitu  bakal terus  terpahat  di minda saya, selagi hayat  dikandung  badan.

Saya berasa amat kagum.

Biarpun mereka tidak mengenali Izan dan keluarga,  fakta  itu diketepikan.  Saya melihat lelaki Cina bertubuh tinggi menyeluk saku lalu menghulurkan  sejumlah wang kepada Izan, berdiri di elevator. 

Kakitangan Air Asia bertugas bak  tidak sabar untuk membawa Izan,  Maryam dan dua anak buahnya  keluar daripada kawasan itu.

Sebelum beredar, Izan  sempat dipeluk oleh  beberapa wanita Melayu tidak pernah dikenalinya. Sebilangan wanita lain, berlari mendapatkan ibu bertugas sebagai kakitangan Hong Leong Bank itu dan mendermakan  wang tunai.

Saya  berasa amat  terharu menyaksikan  detik memilukan itu tetapi gagal untuk  tidak mengizinkan kejadian itu berlaku.

Untuk rekod, beberapa petugas, lelaki dan perempuan  kelihatan  berdiri di kaunter Air Asia.  Gambar mereka saya rakamkan.  Siapapun sekali mereka, kumpulan itu dilihat  mewakili  syarikat  penerbangan terbabit.

Andai  kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan  Air Asia,  Tan Sri  Tony  Fernandes  tiba-tiba berkebetulan   muncul  di lokasi itu,  pasti saya  tidak segan  untuk merayu ...

"Tan Sri,  tolong  hulurkanlah  sedikit  bantuan.  Mungkin kakitangan  Air Asia boleh  mencarikan hotel untuk mereka menginap kerana Vietnam, negara asing bagi mereka. Lagipun kini hampir jam 10 malam.  Pengguna  perkhidmatan  syarikat Tan Sri itu  juga BUKAN  orang kaya  dan ternama  seperti Tan Sri.  Apapun,  hakikatnya, Izan dan anaknya adalah pelanggan Air Asia dan mereka telah membayar tambang  untuk pulang. Jika  penumpang tidak mengenali mereka,  sudi membantu,  inikan pula Tan Sri,  individu  tersohor di mata rakyat  Malaysia"

Malangnya  saya tidak berpeluang  bersemuka dan meluahkan rayuan itu kepada  Tony  tatkala beliau  diperlukan.

Saya  bukan Richard Branson and I don't wear skirt.

Lupakan Tony  tetapi saya  berharap  selepas  membaca entri ini,  beliau  dan kakitangan Air Asia  akan  mengambil tindakan segera menangani  kesengaraaan  bakal ditempuh  penumpang  malang  pesawat Air Asia terbabit. 

Tony,  just like what   I have told your staff  in Vietnam, Izan and Maryam are humans.

Sekitar  jam 9.30 malam,  kami  semua  hanya mampu menjadi penonton  ketika ibu dan anak itu  diarahkan  keluar dari pintu 18,  lapangan terbang.

Pesawat  AK 1455  terbang  pada kira-kira jam 10 malam   waktu Vietnam,  terlewat kira-kira sejam  berbanding masa sebenar. Lebih MENAKJUBKAN,  tiada sebarang permohonan maaf diumumkan kepada penumpang berikutan kelewatan berlaku.

Sebaik menaiki  pesawat,  saya menceritakan  butiran  kejadian kepada ketua pramugari, Kasturi, sedang berdiri  berhampiran  pintu  utama pesawat.  Melihat reaksi  wajahnya gadis berpakaian  serba merah itu,  saya dapat  menjangkakan  kes itu  terlalu  asing  bagi dirinya.

"Tolong maklumkan kepada kapten dan ground  staff Air Asia di LCCT supaya Izan dapat dibantu,"  pinta saya.

Setelah menjamah  nasi lemak tidak berapa enak dipesan, saya sekali lagi kembali menghampiri Kasturi.

"Saya dimaklumkan,  ibu dan anak itu telah dibawa ke hospital oleh ground staff kita," kata gadis  tinggi lampai itu.

"Adakah  kapten mengetahui kejadian itu?  Kerana  ground staff   tadi  memaklumkan saya dan  keluarga  Izan,  kapten  tidak membenarkan Mariam  menaiki pesawat," soal saya.

"Kapten hanya tahu sebentar tadi setelah saya maklumkan,"  akui Kasturi.

Kapten  bertugas,  Ariffin Bakar.

Sebenarnya, tiada individu bijak gemar bertindak melanggar undang-undang. Jika kehadiran Maryam di dalam pesawat  ternyata  membahayakan nyawa semua penumpang, molek jika bayi itu dirawat dengan kadar segera  di hospital di Ho Chi Minh  terlebih dahulu.

Sewaktu  tiba di LCCT,   saya mendapatkan  berita terkini melalui Norhamiza dan ahli keluarga lain termasuk ibunya, Zaiton Baharom, 71 tahun.

"Memang kami terkejut," komen Zaiton terkilan.

"Tadi sewaktu saya hubungi melalui telefon,  Izan berkata,  kakitangan  Air Asia itu menghantar mereka sampai ke stesyen  teksi dan berkata, I am sorry.  Izan kemudian  terpaksa pergi membelikan baju Mariam dan dua pasang baju dia sendiri kemudian pergi balik ke May  Flower  Hotel,  tempat kami menginap  sebelum ini. Bayarannya,  USD60 semalam. Hujung minggu, banyak hotel penuh dan terpaksa tinggal di situ. Ini trip   pertama Izan ke Vietnam," tambah  Norhamiza.

"Jadi  tidak benarlah kenyataan  mereka  kononnya Maryam telah dihantar ke hospital oleh kakitangan Air Asia bertugas di lapangan terbang?,"  tanya saya kepada ahli perniagaan itu.

"Tidak," balasnya ringkas.

"Apakah  pesanan puan kepada Air Asia?," soal saya.

"Periksa secara teliti  terlebih dahulu sebelum  membuat keputusan.  Jika Maryam  membawa penyakit,  sudah pasti kami antara individu paling awal  dijangkiti kerana kami bercampur-gaul dengan dia.  Saya sendiri  tidur sebilik  dengan Maryam,"  luah Norhamiza, kecewa.

Apakah bakal berlaku kepada Izan dan Maryam? Adakah mereka mempunyai wang mencukupi  untuk Maryam melakukan pemeriksaan  darah di hospital di Vietnam?  Wajarkah Air Asia lepas tangan dalam kes ini?.

POSTING SAMBUNGAN

MAS MEMBANTU MEMBAWA PULANG KE MALAYSIA PENUMPANG AIR ASIA DIDAKWA BERMASALAH

Jam 1.30  tengahari  tadi saya menghubungi  adik  Izan Suhaila Mohd Ali,  Saiful Riza, 31 tahun, berada  di Paroi, Seremban, Negeri Sembilan.

"Saya  berasa musykil. Maryam kena chicken pox kira-kira seminggu sebelum berangkat ke Ho Chi Minh,  Vietnam,  pada hari Rabu, 15 Mei 2013.  Doktor di Malaysia telah mengesahkan tahap  kesihatan  Maryam baik sebelum kami terbang, malah  malam sebelum ke sana,  Maryam  sekali lagi dibawa  menjalani pemeriksaaan doktor. Berikutan  pengesahan itu berstatus sama,  kami membawa  Maryam  bersama," ujar Saiful.

Memang Air Asia berhak melarang penumpang untuk tidak  menaiki pesawat jika didapati membahayakan  nyawa penumpang lain. Maklumat itu  tercatat di salinan  terma dan syarat  perincian penerbangan.

"Masalahnya,  sehingga malam tadi,  kami sekeluarga masih  lagi kabur,  mengapakah Maryam tidak  dibenarkan pulang? Dia tidak demam dan apabila ditanyakan kepada kakitangan Air Asia di lapangan terbang Ho Chi Minh,  mereka tidak langsung memberikan penjelasan. Jururawat memeriksa suhu badan Maryam hanya membisu. Mungkin kerana dia tidak mampu berbahasa Inggeris," kata kakitangan agensi pelancongan itu.

"Jauh  bezanya berbanding kemahiran bahasa Inggeris Tony Fernandes," celah saya.

Di  ruangan  komen entri terdahulu, muncul kenyataan, petugas melarang Maryam menaiki penerbangan,  BUKAN  kakitangan Air Asia tetapi pekerja  lapangan terbang.

Jika kenyataan itu sahih,  di manakah wakil  Air Asia di Ho Chi Minh?  Wakil bertugas untuk membantu  sekiranya penumpang mendepani masalah?  Adalah kebajikan mereka diserahkan  sepenuhnya  kepada ground staff,  didakwa pekerja lapangan terbang? 

Adakah  kejadian   berlaku,  bukti  nyata  nasib  penumpang  sah  pesawat Air Asia   boleh  diperkotak-katikkan  sesuka hati?  Jika wanita  di dalam gambar  di atas TIDAK  terbabit   dengan syarikat  penerbangan  tambang murah itu,  mengapakah mereka  bertugas di pintu 18  terpampang logo  Air Asia?

Maaf,  kerana saya  amat jarang menaiki pesawat  Air Asia,  justeru  memerlukan  sedikit pencerahan.

"Seperkara lagi,  sewaktu  kami menaiki  pesawat Air  Asia di LCCT pada jam 7 pagi Rabu lalu  untuk ke Ho Chi Minh,  tidak pula timbul sebarang masalah.  Tidak pula Maryam ditahan dan dilarang menaiki pesawat sewaktu check in.  Sedangkan pada ketika itu Maryam  mengalami   chicken pox dalam  tempoh  kira-kira seminggu.  Apapun,  dia tidak demam lagi," jelas Saiful.

"Adakah  wakil Air Asia Malaysia  menghubungi setakat ini?," soal saya.

"Tidak,"  responnya  pantas.

Ayah  Maryam,  Mohd Reza Mat Jan dijangka bakal  terbang ke Ho Chi Minh  petang esok.

"Pada mulanya dia ingin ke sana hari ini.  Dia bimbang mengenangkan nasib isteri dan anaknya  tetapi paspot  Reza  disimpan di peti keselamatan bank. Oleh itu penerbangan terpaksa ditunda esok," kata Saiful.

Jam 3.15 petang,  saya menghubungi Norhamiza.

"Saya  menelefon  adik, Ahmad Johanis, kini  bertugas dengan Tourism  Malaysia di New York, Amerika  Syarikat. Dia kemudian  menghubungi Tourism Malaysia di Vietnam. Wakil Tourism  telah bercakap dengan kakitangan  Kedutaan Malaysia di Vietnam. Staf MAS baik budi, menjemput Izan, Maryam dan dua saudara kami dan membawa mereka ke hospital. Mereka ke hospital kerajaan,  caj  hanya  USD20 untuk pemeriksaan Maryam. Hospital swasta mengenakan caj lebih mahal, USD200.  Wakil Hong Leong Bank di sanapun menghubungi Izan, menawarkan tempat tinggal, jika tiada. In Shaa Allah, andai tiada aral melintang MAS  akan menguruskan penerbangan balik mereka  hari ini juga," jelas kakak Izan itu, tenang.

Justeru itu,  ayah  Maryam membatalkan hasratnya untuk terbang  ke Ho Chi Minh.-19/5/2013

Untuk membaca keseluruh kisah dan gambar-gambar sila layari Bersama Mazidul

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 429  tetamu dan tiada rakan dalam talian