23Februari2018

Khazanah dan Temasek berjaya siapkan projek ikonik Singapura

Khazanah Nasional Bhd dan Temasek Holdings (Private) Ltd hari ini meraikan kejayaan menyiapkan dua projek pembangunan bersama ikonik di Singapura, dengan pelancaran rasmi Marina One dan DUO oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Kejayaan menyiapkan dan pelancaran rasmi Marina One dan DUO, yang memiliki gabungan nilai pembangunan kasar kira-kira S$11 bilion (S$1=RM3), adalah hasil kerjasama antara Malaysia dan Singapura yang dimanfaatkan daripada hubungan dua hala yang kukuh dan telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

"Kejayaan menyiapkan projek pembangunan bersama bertaraf dunia oleh Khazanah dan Temasek membuktikan apa yang kita boleh capai menerusi kerjasama dan perkongsian erat yang memanfaatkan kekuatan dan faktor-faktor saling melengkapi antara kedua-dua negara, dalam hal ini gabungan kekuatan dan nilai-nilai kompetitif Iskandar Malaysia dan Singapura," kata Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan, di sini.

Marina One dan DUO juga menjadi bukti kerjasama erat antara Khazanah dan Temasek, serta komitmen dan keupayaan mereka untuk memajukan bersama dua projek ikonik utama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Pembangunan Marina One dan DUO, yang masing-masing terletak di Marina South dan Ophir-Rochor dibangunkan oleh M+S Pte Ltd, yang dimiliki 60:40 oleh Khazanah dan Temasek.

M+S ditubuhkan pada 2011 untuk membangunkan tanah di kawasan Marina South dan Ophir-Rochor susulan pelaksanaan penuh Terma-Terma Perjanjian (POA) antara Malaysia dan Singapura pada 2011.

Selain itu, Khazanah dan Temasek melaksanakan pembangunan bersama di Iskandar Malaysia menerusi Pulau Indah Ventures Sdn Bhd, usaha sama 50:50 yang membangunkan projek kesihatan bersepadu Afiniti Medini dan Avira.

Afiniti Medini disiapkan pada 2016.

"Kami sangat gembira dengan siapnya dua projek M+S, Marina One dan DUO di Singapura yang menandakan pencapaian penting dalam pembangunan bersama di Singapura dengan Khazanah. Ini disokong oleh perkongsian erat dan kerjasama lancar antara kedua-dua pasukan Khazanah dan Temasek.

"Kami berharapkan kejayaan berterusan projek-projek itu," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Temasek International, Lee Theng Kiat.

Marina One dan DUO adalah pembangunan bersepadu dengan komponen pejabat, runcit dan kediaman dan telah memenangi pelbagai anugerah serta mendapat pengiktirafan termasuk bagi reka bentuknya yang mesra alam dan lestari.

Kedua-dua projek itu berkedudukan baik untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan berterusan sektor hartanah dan komersial dan telah menarik minat besar pasaran serta mencatatkan kadar pembelian tinggi bagi komponen kediaman dan perniagaan dan memperoleh penyewa utama termasuk syarikat multinasional global.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai sama ada peranan M+S Pte Ltd akan diperluaskan lagi selain daripada dua pembangunan di Singapura itu, Azman berkata : " Masih terlalu awal untuk menyatakan pada tahap ini."

Azman berkata demikian ketika ditemui selepas acara pelancaran tersebut di sini.

"Sama ada akan ada lagi bukan terpulang kepada kami untuk menyatakannya kerana kami ada perjanjian pemegang saham untuk melaksanakan ini. Tetapi untuk melaksanakan ini bukan bermakna hanya pembangunan, ia juga tentang pengurusan hartanah kerana kami perlu mengekalkan sewaan, pajakan dan penyewa...yang berterusan." katanya.

Beliau menambah M+S Pte Ltd akan meneruskan peranannya sebagai pengurus hartanah bagi pembangunan ini untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.-16/1/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 575  tetamu dalam talian