16November2018

Kes tanah Jalan Semarak…siasatan kini bertumpu pada ahli lembaga Felda dan FIC 2014

Mereka yang terlibat dalam isu pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak,Kuala Lumpur cara mencurigakan mulai tahun 2014 yang kini sedang dibina projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) nampaknya tidak akan terlepas dari tindakan.
 
Lembaga Felda yang adakan mesyuarat khas Khamis malam ekoran laporan audit forensik seperti diumum oleh kenyataan Jabatan Perdana Menteri pada sebelah siang dapati adanya kecuaian dan tidak ikut prosedur telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Siasatan.
 
Jawatankuasa Siasatan itu yang akan dibantu oleh sebuah firma undang-undang  diberi tempoh maksima tiga bulan selesaikan kerja.
 
Ia antara lain akan merumuskan dari segi perundangan tindakan tatatertib dan undang-undang yang akan diambil keatas mereka yang terlibat.
 
Bercakap dalam sidang akhbar selepas mesyuarat di Menara Felda di Kuala Lumpur,Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad bagaimanapun enggan sebut nama-nama mereka yang terlibat dalam kes itu.
 
"Jawatankuasa Siasatan Lembaga FELDA akan dibantu firma undang-undang untuk meneliti peruntukkan undang-undang yang boleh diambil bagi memenuhi permintaan Jabatan Perdana Menteri yang menyatakan perlunya tindakan tatatertib dan undang-undang diambil,”katanya.
 
Namun ketika didesak oleh kalangan wartawan beliau hanya menyebut keputusan mengenai tanah itu telah dibuat secara kolektif oleh kalangan ahli lembaga Felda dan ahli lembaga Felda Investment Corporation (FIC) pada tahun 2014.
 
Ditanya apakah ini termasuk bekas Pengerusi Felda ,Tan Sri Isa Samad, beliau menjawab: “Anda kena periksa sendiri siapa ahli lembaga waktu itu.”
 
Kepada soalan lain Shahrir kata semua ahli lembaga FIC tahun 2014 sudah bertukar manakala ahli lembaga Felda pula ada yang masih kekal dan ada yang sudah bertukar.
 
Apapun katanya samaada masih atau sudah tiada tindakan tatatertib dan undang-undang tetap boleh diambil.
 
Beliau menjelaskan cuma setelah Jawatankuasa Siasatan yang dipengerusikan oleh ahli lembaga Felda Datuk Dr Ahmad Kushairi Din selesai baru tindakan boleh diambil.
 
Katanya tempoh tiga bulan ialah had maksima jawatankuasa itu buat kerja.Namun beliau berharap ia dapat diselesaikan lebih awal.

Kepada soalan lain,Shahrir menjelaskan siasatan polis keatas kes ini akan terus berjalan.- 8/2/2018
 


PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 365  tetamu dalam talian