23September2018

Kertas siasatan isu tanah Felda ke Peguam Negara minggu depan

Kertas siasatan berhubung isu pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak di sini dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara selewat-lewatnya minggu depan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata setakat ini polis telah selesai memanggil dan merakam keterangan beberapa saksi berhubung kes itu.

"Saya tidak boleh mendedahkan jumlah saksi yang dipanggil kerana siasatan masih dijalankan," katanya pada sidang media bersempena Perasmian Pejabat Sekretarliat Aseanapol dan Serah Terima Tugas Pengarah Eksekutif Sekretariat Aseanapol, di sini hari ini.

Mohamad Fuzi diminta mengulas perkembangan terkini berhubung kes itu yang didedahkan oleh sebuah akhbar harian berbahasa Melayu pada 21 Dis lepas.

Antara lain, laporan akhbar itu menyebut Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di sini yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik melalu transaksi meragukan sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama yang turut diberikan surat kuasa wakil penuh untuk membangunkan kawasan itu pada 3 Jun 2014.

Mengulas perkembangan seorang rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Pakistan selepas disyaki cuba menyeludup keluar senjata api di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi pada 22 Dis lepas, Mohamad Fuzi berkata pihaknya masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa negara itu.

"Kami telah menghubungi mereka (pihak berkuasa Pakistan) untuk perkembangan kes ini tetapi mereka masih belum memberi maklum balas," katanya.

Media antarabangsa melaporkan pemuda berusia 20 tahun itu dijadualkan menaiki pesawat Thai Airways TG 342 ke Bangkok, Thailand, sebelum dia ditahan di lapangan terbang berkenaan.

Suspek yang berasal dari Sarawak dilaporkan cuba menyeludup keluar empat pistol, lapan kelopak serta 70 butir peluru yang disembunyikan di dalam bagasi dan tapak kasutnya.

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyaksikan Jen Inspektor Polis Indonesia Yohanes Agus Mulyono menyerahkan tugasnya selaku Pengarah Eksekutif Sekretariat Aseanapol kepada Kol Polis Vietnam Kenechanh Phommackhack, berkuat kuasa hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye.-12/1/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 322  tetamu dalam talian