16Disember2017

Kerajaan Selangor gagal cabar SPR berhubung persempadanan semula

Mahkamah Tinggi pada Khamis menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan Kerajaan Selangor untuk mencabar persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Selangor oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
 
Hakim Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu selepas mendapati mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu persempadanan semula di Perak dan Melaka.
 
Dalam penghakimannya, Azizul Azmi berkata Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai hak dari segi perlembagaan untuk mencabar kewajaran cadangan persempadan semula.
 
Pihak yang mengemukakan permohonan semakan kehakiman mengikut Perintah 53 Peraturan 2(4) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, katanya, perlu membuktikan ia terjejas teruk akibat keputusan atau tindakan berkaitan fungsi dan tanggungjawab awam.
 
Selain itu, Azizul Azmi berkata pemohon (kerajaan Selangor) turut mendakwa proses persempadanan semula itu cacat kerana terdapat 136,272 pengundi tidak mempunyai alamat.
 
Namun, beliau berkata walaupun daftar pemilih tidak mempunyai alamat pengundi, ia mempunyai kod lokaliti dan berkemungkinan alamat itu sudah sedia ada pada SPR apabila kod lokaliti ditempatkan.
 
"Walaupun pemohon menyatakan alamat itu hilang ketika pengundi berpindah (walaupun isu itu dibantah SPR), saya berpendapat bahawa perkara itu tidak menjejaskan proses persempadanan semula ,"katanya.
 
Berhubung isu sama ada ketepatan daftar pemilih boleh dicabar, hakim itu berkata isu berkenaan telah selesai kerana ketepatan daftar pemilih tidak boleh dicabar walaupun alamat pengundi tidak lengkap.
 
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Datuk Dr Cyrus Das yang mewakili kerajaan Selangor untuk menggantung proses inkuiri tempatan bagi kawasan Parlimen dan DUN Negeri Selangor sementara menunggu rayuan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
 
Selain Cyrus, kerajaan Selangor turut diwakili peguam Datuk S. Ambiga manakala Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh, Shamsul Bolhassan dan Azizan Md Arshad mewakili SPR, Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh selaku responden.
 
Pada 19 Okt tahun lepas, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mewakili kerajaan negeri, memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN di Negeri Selangor oleh SPR.
 
Dalam permohonannya, Mohamed Azmin menuntut satu deklarasi bahawa cadangan untuk persempadanan kawasan pilihan raya oleh SPR pada kajian 2016 adalah tidak berperlembagaan kerana tidak selaras dengan Fasal 113(2) dan Seksyen 2(c) dan 2(d) Jadual Ketiga Belas kepada Perlembagaan Persekutuan, tidak sah dan terbatal.
 
Beliau turut memohon perisytiharan bahawa kegagalan SPR untuk menggunakan daftar pemilih terkini dalam persempadanan semula itu adalah tidak berperlembagaan, tidak selaras dengan Fasal 3 Jadual Tiga Belas Perlembagaan, dan oleh itu, adalah batal dan tidak sah.
 
Mohamed Azmin turut meminta SPR memperbetul dan mengemas kini alamat 136,272 pengundi di Selangor, yang alamat mereka tiada dalam daftar pemilih itu.
 
Beliau memfailkan permohonan atas alasan SPR bertindak tidak mengikut perlembagaan, tidak munasabah dan tidak logik bertentangan dengan Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan.
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1100  tetamu dalam talian