14Disember2018

Kerajaan nak buat perubahan sistem pendidikan jika menang PRU14

Sekiranya diberi mandat oleh rakyat untuk terus memerintah selepas pilihanraya umum akan datang (PRU-14), kerajaan akan membuat beberapa perubahan kepada sistem pendidikan untuk membantu golongan muda menyiapkan diri menghadapi cabaran revolusi industri digital.
 
"Ini adalah keutamaan saya selepas PRU-14, dengan syarat rakyat masih beri mandat kepada kita," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
 
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan semasa sesi perjumpaan dengan Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta kakitangan Axiata dan Celcom di Bukit Jalil, Jumaat.
 
Najib berkata perubahan pada sistem pendidikan itu perlu bagi memastikan bakal-bakal graduan mempunyai kemahiran  untuk menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.
 
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Bhd, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.
 
Ditanya pendapatnya tentang perpaduan kaum di Malaysia, Najib berkata ia berbeza dibandingkan dengan generasi sebelum ini.
 
Katanya walaupun mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa, rakyat Malaysia memang hidup harmoni.
 
Begitupun Najib mengakui sistem pendidikan sewaktu zamannya dia tidak "terpisah" (compartmentalise) berbanding sekarang. Katanya perubahan sistem pendidikan telah memisahkan pelajar berdasarkan kaum.
 
"Kita lihat hari ini, pelajar Melayu bersekolah di sekolah kebangsaan dan pada masa sama ada sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah agama.
 
"Kita telah melalui perubahan struktur dan sistem pendidikan begitu "terpisah" (compartmentalise).
 
Najib berkata isu itu masih belum ada penyelesaian segera dan sistem pendidikan sedia ada lebih menitikberatkan penerapan nilai-nilai murni untuk memudahkan interaksi dan saling menghormati di kalangan golongan muda.
 
Perdana Menteri berkata faktor yang paling menyerlahkan perpaduan kaum di Malaysia ialah sukan. 
 
Beliau memberi contoh ketika Datuk Lee Chong Wei bertanding di Sukan Olimpik, rakyat Malaysoa pelbagai kaum telah bersatu padu memberi sokongan kepada pemain badminton itu.
 
"Kita kena hasilkan lebih banyak saat-saat seperti ini," katanya.
 
Selepas sesi perjumpaan itu tamat Perdana Menteri telah melancarkan sistem e-wallet Boost yang diilhamkan oleh Axiata.- 23/2/2018- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 364  tetamu dalam talian