25September2017

Kenyataan Anwar yang ancam saksi RCI - Panel Pemikir JASA

Kenyataan yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat 'berat' dan menepati tafsiran kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 kerana mengancam saksi Suruhanjata Siasatan Diraja berkaitan urusniasa matawang asing Bank Negara.

Ahli Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA),  Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kenyataan Anwar yang disiarkan portal Malaysiakini bertajuk 'Anwar tuntut hak jawab 'tuduhan jahat' Murad', nada dan dakwaan yang diberikan menepati deskripsi kesalahan di bawah Seksyen 12(2), iaitu mencela mana-mana orang kerana telah memberikan keterangan, atau disebabkan oleh keterangan yang telah diberikan di hadapan Pesuruhjaya.

"Malaysiakini melaporkan reaksi balas Anwar terhadap kenyataan yang dibuat oleh bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid semasa prosiding suruhanjaya siasatan diraja (RCI) pada 21 Ogos. Anwar mendakwa kenyataan Murad adalah "palsu belaka".

"Selain mendakwa Murad menipu, Anwar turut mendakwa bahawa, "kenyataan Abdul Murad itu bernada sindiran, berniat jahat dan menunjukkan seolah-olah mahu kerugian dialami Bank Negara ditutup daripada pengetahuan ramai."

"Anwar sekali lagi menyerang Murad dan menggambarkan beliau sebagai penipu apabila menyatakan "Abdul Murad mulai memusuhi saya (Anwar) secara peribadi sejak 1999 apabila beliau membuat akuan berkanun palsu terhadap saya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan peguam Anwar Datuk Seri Gopal Sri Ram, bahawa kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendatangkan kesalahan mengancam, menghina atau mencederakan saksi berhubung isu forex.

Sebelum ini, Mohd Puad dikatakan mengeluarkan kenyataan dianggap 'mengancam, menghina atau mencederakan' walaupun sebenarnya beliau hanya bertanya, "apakah penjelasan Nor Mohamed Yakcop kepada RCI melalui kenyataan bertulisnya itu menandakan bahawa dia bersedia menjadi kambing hitam dalam skandal yang sudah lama tertutup?"

Tun Faisal berkata, pertanyaan Mohd Puad adalah siapa yang layak dan berkuasa memberi kelulusan kepada seorang pengurus bahagian biasa di BNM membuat dagangan melebihi had lebih AS$1 bilion sehari berdasarkan kenyataan saksi, Azman Mat Ali.

Beliau turut menyenaraikan keterangan saksi kepada suruhanjaya siasatan yang menyokong kenyataan Ketua Pengarah JASA itu.

"Bukankah semua kenyataan saksi sama sekali tidak menyebelahi Nor Mohamed. Mohd Puad hanya mahu tahu siapa yang layak dan berkuasa memberi kelulusan kepada Nor Mohamed," katanya.

Katanya lagi, Anwar pada sidang Parlimen 24 September 2012 turut mendakwa Gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Jaafar Hussein memaklumkan kegiatan urus niaga mata wang asing dikendalikan Nor Mohamed dengan kelulusan Menteri Kewangan ketika itu, Tun Daim Zainuddin dan Dr Mahathir.

Suruhanjaya itu memulakan sidang 21 Ogos lalu dan sudah mendengar keterangan 21 saksi. Ia akan menyambung sidang selama tiga hari lagi bermula 18 September ini sebelum laporan akhir dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum 13 Oktober.-11/9/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 459  tetamu dalam talian