20Jun2018

Kejayaan bangunkan negara hasil kerja berpasukan kerajaan BN - Salleh

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pembangunan pesat dan kemakmuran negara yang dinikmati hari ini serta kejayaan mendapat banyak pengiktirafan antarabangsa adalah hasil kerja berpasukan yang dipraktikkan kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN).
 
Salleh berkata pencapaian berkenaan juga adalah hasil kesatuan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini yang terus memberi mandat kepada BN untuk mentadbir negara sejak mencapai kemerdekaan pada 1957 bagi Semenanjung dan 1963 bagi Sabah dan Sarawak.
 
"Apa yang kita nikmati hari ini bukan hasil kerja satu orang, tetapi adalah hasil kerja berpasukan. Alhamdulillah, kita menjadi sebuah parti pemerintah. Kita telah memerintah sejak merdeka lagi.
 
"Semua ini (kemajuan negara dan kemakmuran rakyat) kita peroleh kerana apabila kita diberi kuasa, kita guna kuasa sebaik-baiknya untuk membangunkan (negara) dan negeri Sabah," katanya.
 
Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Dewan Terbuka Dataran Kampung Salimpodon, di Pitas,Sabah sempena sambutan Pesta Tahun Baharu Cina (PTBC) 2018 Khamis.
 
Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas Datuk Bolkiah Ismail dan Pengerusi PTBC Datuk Seri Dr Ruddy Awah.
 
Bagaimanapun, Salleh kesal kerana ada pihak tertentu khususnya parti-parti pembangkang yang dipimpin oleh 'pemimpin U-turn' cuba menafikan kejayaan kerajaan pimpinan BN berkenaan dengan berbohong kononnya Sabah dianak tirikan dan janji-janji semasa pembentukan Malaysia tidak ditunaikan.
 
"Ini semua bohong semata-mata. Sejak kita menubuhkan Malaysia, kita ada Perjanjian Malaysia, kita ada Perlembagaan negara yang melindungi kepentingan kita sebagai orang Sabah."
 
"Dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi pengakuan secara umum, dia kata sekiranya ada (hak Sabah) yang terambil, dia akan kembalikan. Apa lagi masalah," katanya.
 
Berikutan perakuan Najib itu kata Salleh, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji mana-mana perkara yang perlu dipertimbangkan semula.
 
Justeru, Salleh menganggap 'pemimpin U-turn' termasuk bekas menteri dan timbalan menteri yang membangkitkan isu berkenaan adalah untuk tujuan politik peribadi semata-mata bagi meraih sokongan terutama ketika musim pilihan raya sudah hampir tiba.- 22/2/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 488  tetamu dalam talian