Rab05162012

Kemaskini terakhir06:09:10 AM GMT

Back Arkib Arkib Agenda Daily Berita Muka Hadapan Muka Hadapan Isu Dr Hasan Ali: Ada yang belum beres

Isu Dr Hasan Ali: Ada yang belum beres

  • PDF

hasan-selesaiKEMASKINI:  Sayang sikit Datuk Dr Hasan Ali tidak mengadakan sidang akhbar kali ini.Jika ada senang wartawan bertanya langsung kepadanya tentang kisah pemergiannya ke Kota Bharu Selasa malam.

Kali ini beliau memilih untuk menulis satu kenyataan akhbar sahaja.

Menariknya kenyataan akhbar itu dikeluarkan pada lewat Rabu malam selepas petangya tersebar berita memetik Datuk Nik Aziz Nik Mat memberitahu media bahawa Dr Hasan meminta maaf kepadanya  berhubung kenyataannya terhadap parti  dalam satu pertemuan di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan itu di JKR 10, Kota Bharu.

Pertemuan Selasa malam itu turut dihadiri oleh Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang,Timbalan Musyridul Am PAS Datuk Haron Din dan bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa.

Komposisi personaliti yang hadir dalam pertemuan itu adalah yang tertinggi  dalam hiraki kepimpinan PAS - yang jelas membayangkan isu ' pemberontakan' Dr Hasan dan Nasharudin amat terdesak untuk diselesaikan.

Semua media termasuk Harakahdaily memetik kata-kata Nik Aziz semasa beliau bercakap dengan wartawan di Bachok pagi Rabu memberitahu isu Dr Hasan sudah selesai ekoran pertemuan itu.

Menteri Besar Kelantan itu berkata ini kerana kedua-dua mereka  terutama Dr Hasan telah meminta maaf kepada parti dalam satu "pertemuan muhibah" itu.

"Ini tanda kelakian dan anak jantan kerana dia ikhlas menarik balik kenyataan dan memohon maaf. Ini ajaran agama dan bukan senang untuk mana-mana yang buat salah untuk minta maaf dan menarik balik," kata Nik Aziz.

Soalnya sekarang kenapa Dr Hasan terdorong untuk mengeluarkan kenyataan media itu yang antara lain menghentam Harakahdaily yang didakwanya kerapkali memutarbelit fakta.

Ini kali kedua beliau menghentam Harakah. Sebelum ini dalam sidang akhbar di rumahnya.

Perangnya dengan Harakah jelas masih membara. Ekoran kenyataan akhbar beliau, Harakahdaily telah menyiarkan transkrip penuh perbualan Nik Aziz dengan media di Bachok sebagai berita utama Khamis untuk membuktikan ia tidak diputarbelit.

Sekilas dapat dibaca ...mesti ada yang Dr Hasan tidak puashati pada penyiaran berita tentang kenyataan Nik Aziz mengenai pertemuan itu.

Dalam kenyataan itu Dr Hasan secara jelas berkata soal beliau turun ke Kota Bharu untuk memohon maaf kepada pucuk pimpinan seperti yang dilaporkan oleh Harakahdaily dan dipetik oleh kebanyakan saluran media adalah tidak benar sama sekali.

Beliau mengingatkan bahawa dalam sidang media yang telah diadakan di kediamanya pada 24hb Disember yang lalu, beliau telah menarik balik ulasan mengenai negara berkebajikan.

"Pada masa yang sama saya juga telah memohon maaf kepada pucuk pimpinan parti di atas keterlanjuran saya itu,"katanya.

Para pemerhati politik berpendapat kenyataan akhbarnya itu harus dilihat dari apa yang tersirat dan bukan tersurat barulah nampak di mana 'marahnya' itu.

BERIKUT IALAH KENYATAAN AKHBAR YB DATO’ DR HASAN MOHAMED ALI BERHUBUNG PERTEMUAN BERSAMA TUAN GURU MURSYIDUL AM

Saya ingin menjelaskan mengenai kehadiran saya menemui pucuk pimpinan parti termasuk Tuan Guru Mursyidul Am di Kota Bahru kelmarin.

Suka saya ingatkan bahawa dalam sidang media yang telah diadakan di kediaman saya pada 24hb Disember yang lalu, saya telah menarik balik ulasan yang saya buat mengenai negara berkebajikan. Pada masa yang sama saya juga telah memohon maaf kepada pucuk pimpinan parti di atas keterlanjuran saya itu.

Soal saya turun ke Kota Bharu untuk memohon maaf kepada pucuk pimpinan seperti yang dilaporkan oleh Hharakahdaily dan dipetik oleh kebanyakan saluran media adalah tidak benar sama sekali. Saya terkilan dengan laporan Harakahdaily itu walaupun lidah rasmi parti tersebut kerapkali diingatkan supaya tidak memutarbelit fakta yang boleh menimbulkan keraguan dan perpecahan.

Sebenarnya saya dijemput untuk menghadiri satu majlis mahabbah melibatkan saya dan Ustaz Nasharudin Mat Isa bersama-sama dengan Tuan Guru Mursyidul Am, Tuan Guru Timbalan Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden di kediaman rasmi Tuan Guru Mursyidul Am di JKR 10 Kota Bharu.

Majlis mahabbah tersebut berlangsung dengan penuh kemesraan, keakraban dan keikhlasan. Di antara perkara yang disentuh termasuklah halatuju parti, persediaan PRU ke13, dan perjalanan Harakah sebagai lidah rasmi parti.

Kami telah memberikan penjelasan, pandangan dan input untuk diberikan perhatian oleh pucuk pimpinan parti demi mengukuhkan perjalanan parti dan sokongan rakyat terhadapnya.

Seperti yang dizahirkan oleh Mursyidul Am terhadap pertemuan mahabbah itu, saya juga ingin menzahirkan rasa terharu terhadap penghargaan yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan terhadap saya dalam meneruskan perjuangan memartabatkan Islam di negara kita.

YB Dato Dr Hasan Mohamed Ali
ADUN Gombak Setia


Kalau dinilai satu persatu kata-katanya nampak jelas beliau amat tidak puashati pada penonjolan seolah beliau 'menyembah' pergi ke Kota Bharu malam itu untuk meminta maaf.

Katanya beliau DIJEMPUT. Ia berbeza kalau beliau datang sendiri ke pertemuan itu.

Ia memberi gambaran berbeza samasekali.

Dr Hasan juga dilihat ingin menekankan bahawa dalam pertemuan itu beliau meluahkan punca masalah kontroversi ini termasuk isu Harakah.

Tiada siapa yang tahu apa yang spesifik diluahkan oleh Dr Hasan dan Nasharudin dalam pertemuan itu.

Hal ini tidak disebut langsung oleh Nik Aziz kepada media.

Beliau juga menonjolkan bahawa perjuangannya untuk  memartabatkan Islam di negera ini mendapat penghargaan dari tiga pemimpin utama parti itu.

Kenapa ia perlu? Ini tentunya berkaitan dengan isu pemeriksaan JAIS dan isu murtad yang diperjuangkannya yang dikatakan mencetuskan rasa kurang senang dikalangan pimpinan PAS lain kerana bimbang ia menjejaskan undi parti itu di kalangan orang bukan Islam.

Gara-gara isu pemeriksaan JAIS beliau kelihatan bersendirian dan dicop menyimpang dari arus parti.

Ini diburukkan lagi dengan penyertaannya dalam Perhimpunan Sejuta Umat yang menghentam usah pihak tertentu selewengkan akidah orang Islam di Shah Alam dan kemudiannya di Kuala Kangsar.

Kesimpulan yang dapat dibuat di sini ialah kenyataan akhbar beliau 'ada makna'.

Dalam kontek itu juga bolej ditafsirkan 'perang dingin' antara Dr Hasan dengan puak-puak Erdogan dalam PAS masih membara sekalipun Nik Aziz isytihar isunya sudah selesai.

Jika tidak mana mungkin Dr Hasan secara tergesa-gesa Rabu malam juga mahu keluarkan kenyataan akhbar itu.

Senang cakap ini mesti ada yang belum beres.-29/12/2011 - OLEH ROSLI ISMAIL







Disebalik ' selesainya' isu Dr Hasan Ali...



Diatas kertas isu Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa VS PAS nampaknya macam selesai. Ini bila kedua mereka mengadakan 'pertemuan muhibbah' dengan Datuk Nik Aziz Nik Mat di kediaman rasmi beliau di Kota Bharu Selasa malam.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah  Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Nik Aziz yang bercakap kepada wartawan selepas satu majlis di Bachok Rabu menilai isu melibatkan kedua mereka sudah selesai.

Beliau memuji Dr Hasan yang katanya sedia meminta maaf dan menarik balik kenyataannya yang menghentam PAS mengenai konsep Negara Berkebajikan yang kini jadi slogan parti itu.

"Bukan mudah bagi orang yang melakukan kesalahan serta mengakuinya dan memohon maaf, jadi tindakan beliau itu begitu mengharukan saya,"kata Menteri Besar Kelantan itu.

Dr Hasan dan Nasharudin menjadi fokus politik arus perdana kebelakangan ini bila mereka ' memberontak' secara terbuka.

Exco Kerajaan Negeri Selangor muncul di tiga sidang akhbar khas meluahkan perasaannya ,juga menerusi program Soal Jawab TV3 manakala bekas Tinbaloan Presiden PAS melalaui kenyataan media yang mendakwa  'PAS kini pelik'.

Disebalik perkembangan terbaru ini ramai pemerhati politik menilai 'selesai' yang dimaksudkan mungkin tidak lebih dari selesai yang tidak ada lagi perang terbuka.

Bukan menjadi rahsia kekecohan  dari kontroversi ini telah mencetuskan kebimbangan dikalangan pimpinan  utama dan penyokong parti itu.

Siapa yang tidak panik melihat PAS yang selama ini cuba tonjol imej parti yang 'baik-baik' dan tanpa krisis tiba-tiba melihat kalangan pemimpin saling hentam menghentam secara terbuka.

Walaupun Dr Hasan sudah tidak lagi memegang jawatan Persuruhjaya PAS Selangor dan kini hanya Ahli Jawatakuasa Pusat sahaja namun suaranya masih laku.Begitu juga Nasharudin.

Maka tidak hairanlah Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang dan Timbalan Musyridul Am PAS Datuk Haron Din bergegas mengambil inisiatif mengatur pertemuan dengan Nik Aziz.

Nik Aziz sendiri mengakui pertemuan itu diatur oleh PAS Pusat.

Pelik juga dalam pertemuan muhibbah itu Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali tidak hadir.

Naib Presiden PAS Mahfuz Omar yang cakap banyak tidak kisah kalau Dr Hasan nak keluar parti juga tidak hadiir.

Soalnya kenapa pertemuan itu diadakan nun jauh di Kelantan...jumpa Nik Aziz.

Dr Hasan dan Nasharudin,kedua-duanya ialah Ahli Jawatankuasa Pusat.Sepatutnya penyelesaian itu dicapai dalam satu mesyuarat jawatankuasa itu di ibupejabat PAS di Kuala Lumpur.

Apakah ini bermakna Dr Hasan dan Nashrudin belum lagi dapat pandang muka-muka tertentu dalam barisan pimpiinan PAS khususnya puak yang dikenali sebagai Anwarinas @ Erdogan.

Juga apa ceritanya dengan Saari Sungib yang jadi pencetus kekecohan ini bila mengumumkan Dr Hasan tidak cukup pencalonan untuk bertanding semula di kerusi Dewan Undangan Negeri Gombak Setia yang diwakilinya sekarang.

Ada cakap-cakap mengatakan Saari tidak bertindak seorang diri dalam usaha nak 'mandikan' Dr Hasan.

Bagi kebanyakan pemerhati politik cakaplah apapun selesai ke ..damai ke... 'pemberontakan' Dr Hasan dan Nasharudin adalah jelas lanjutan dari  perang dingin ekoran pemilihan dalam Muktamar PAS lalu yang menyaksikan penguasaan golongan Erdogan dalam parti itu.

Ia juga membuka pekong bagaimana rasa tidak puashati terhadap tindak tanduk puak itu bagai api dalam sekam.

Ini dapat kita rasai jika putar balik kata-kata Dr Hasan dan Nasharudin yang terpaksa ' mengadu' rasa geram mereka kepada media yang dicop media UMNO.

Sebelum ini pun tiada ada sebarang tanda-tanda krisis itu akan berakhir dengan kedua mereka keluar parti untuk menyertai UMNO.

Baik Dr Hasan dan Nasharudin tidak pernah langsung membayangkan begitu.

Dakwaan kedua mereka terperangkap dalam agenda UMNO cuma menjadi mainan kata kalangan pemimpin parti itu yang gabra dan nak coverline melihat pemberontakan itu.

Yang pasti puak Erodgan yang selama ini kurang senang dengan Dr Hasan dan Nasharudin tentu angin satu badan melihat penyelesaian yang diumumkan oleh Nik Aziz itu.

Apa lagi sudah tentu dalam pertemuan itu sambil meminta maaf....pasti mereka meluahkan apa puncanya 'pemberontakan' mereka.- 28/12/2011- OLEH ROSLI ISMAIL 

 




Dakwaan pertemuan dengan pemimpin UMNO: Biarlah rahsia...

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menghubungi saya selepas dua jam Datuk Dr Hasan Ali adakan sidang media di rumahnya  di Kuala Lumpur jam 11 pagi, Sabtu lalu.

Mustafa atau Cikgu Pa bertanya, Datuk Hasan ada buat PC ke, apa dia cerita?

Saya ketawa sambil beritahu Cikgu Pa,“Itulah Datuk, saya dah cakap hari itu, Datuk tuduh Datuk Hasan jumpa orang kat Le Meridian Hotel, sekarang Datuk Hasan pula cakap Datuk yang beria-ia nak jumpa orang UMNO,”.

Saya dengar suara Cikgu Pa ketawa.

“Sekarang, Datuk Hasan pulang paku buah keras pada Datuk, Datuk nak jawab lagi ke, kata tak nak panjang-panjangkan lagi,” pancing saya.

Cikgu Pa berselang-seli ketawa kerana ‘terkena’ lagi dengan saya selepas sidang medianya pada Khamis.

“Tak da la Lan, saya tak jawab dah la,” ujar Cikgu Pa.

Jika benar Cikgu Pa sudah tutup mulut fasal dakwaan Dr Hasan, bermakna episod kontroversi bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu dengan PAS Pusat khususnya Cikgu Pa, akan berakhir begitu saja.

Isu yang mengejutkan ahli dan penyokong PAS itu akan jadi ibarat lagu Datuk Siti Nurhaliza..."Biarlah rahsia"

Sama ada benar atau tidak Cikgu Pa memang nak jumpa orang UMNO, kini hanya beliau dan Dr Hasan yang tahu.

Sebenarnya, Cikgu Pa sudah tersilap apabila membangkitkan tuduhan pertemuan Dr Hasan, bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dengan tiga orang lain di hotel berkenaan pada bulan puasa lalu.

Ini kerana dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat PAS minggu lalu, Cikgu Pa cakap, dia sedia tutup mulut kalau Dr Hasan juga tutup mulut ekoran isu kononnya ADUN Gombak Setia itu tidak cukup undian untuk dicalonkan bertanding dalam PRU ke 13 nanti.

Dalam sidang media itu, saya bertanya Cikgu Pa kenapa dia bangkitkan dakwaan itu sedangkan hasratnya mahu kontroversi babitkan Dr Hasan dengan PAS dihentikan.

“Ini macam tikus baiki labu,” kata saya.

Menariknya, Cikgu Pa terhenti dan berfikir selepas mendengar hujah saya itu.

Merasakan dirinya ‘terkena’, Cikgu Pa berseloroh dan minta isu pertemuan Dr Hasan yang didedahkannya ditarik balik.

“Saya ikut kata Lan..hari ini dia jadi penasihat saya,” ujar Cikgu Pa seloroh tetapi nampak beliau mula kesal dengan dakwaan yang dibangkitkan itu.

Bagaimanapun, seorang wartawan lain mengeluh dan minta apa didedahkan Cikgu Pa pasal pertemuan itu jangan ditarik balik.

“Saya dah flash,” kata saya menyebabkan Cikgu Pa mula ‘pening’.

Akhirnya beliau serahkan kepada wartawan yang hadir sama ada mahu menyiarkan berita itu atau sebaliknya.

Kesannya, apabila berita itu disiarkan, Dr Hasan pula buka pekung dengan dakwaan bahawa Cikgu Pa yang nak berjumpa pemimpin tertinggi UMNO.

Dan setakat ini, Cikgu Pa terus membisu pasal dakwaan itu.

Barangkali, beliau berfikir apa yang saya kata pada sidang medianya sebelum itu memang betul.

Justeru, terserah pada Cikgu Pa mahu menjelaskan apa didakwa Dr Hasan atau beliau berdiam saja kerana kalau beliau terus menjawab, perangnya dengan Dr Hasan, mungkin lambat selesai.

Namun, perkara yang menarik untuk diteliti berhubung isu ini, apakah kesan penentangan Exco Selangor itu terhadap PAS.

Agendadaily difahamkan, PAS sebenarnya semakin tersepit kerana sudah kehilangan sokongan orang Melayu yang kecewa melihat parti itu bersekongkol dan menurut telunjuk DAP dan PKR.

Sebab itu, Dr Hasan perlu jadi pelakon utama dengan memperjuangkan Islam, Melayu dan Institusi Raja-Raja bagi menarik semula sokongan rakyat terhadap PAS.

Apapun, melihat perbalahan Dr Hasan, Mustafa dan beberapa pemimpin PAS lain dalam isu itu termasuk kecaman Dr Hasan terhadap Harakah, seolah-olah tindak tanduk Dr Hasan sebagai signal penentangan golongan ulama dalam PAS terhadap golongan yang lebih mengutamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gologan profesional ini dikatakan sudah meluat dengan Dr Hasan yang jadi duri dalam daging PAS.

Sedangkan, ada pemimpin ulama PAS bertanya Agendadaily, itu kata mereka tetapi siapa sebenarnya duri dalam daging PAS, Dr Hasan  atau geng Anwarinas?

Beliau beri contoh, geng Erdogan@Anwarinas inilah yang banyak komen pasal Dr Hasan.

Mereka yang pandai-pandai cakap Dr Hasan tak cukup pencalonan, tak boleh bertanding sedangkan Majlis Syura dan PAS Pusat belum bersuara.

Pemimpin tadi setuju laporan Agendadaily sebelum ini bahawa golongan ini sudah jadi macam main enjit-enjit semut..siapa sakit naik atas.

“Mereka ini naik atas buat komen itu ini...malah saya dapat tahu mereka juga set kalau boleh Dr Hasan dipecat dari PAS kerana menolak konsep Negara Berkebajikan, tetapi anak Nik Aziz, Nik Abduh pertahan Dr Hasan habis-habisan,” kata pemimpin tadi.

Katanya, terpulang masyarakat memikirkan apa sebenarnya punca kemelut dalam PAS ketika ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan golongan yang enjit-enjit semut ini, mungkin tidak tersenarai lagi pada pilihanraya umum akan datang.

“Tetapi saya tak hairan, kalau PAS tak calonkan, PKR boleh terima mereka,” ujarnya sinis.-26/12/2011  - OLEH ROSLAN BIAN







Hasan Ali nafi adakan pertemuan sulit dengan pemimpin UMNO bersama Nasharudin



Kalau Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali merasa dakwaan yang dilemparnya terhadap Datuk Dr Hasan Ali bahawa beliau dan bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa adakan pertemuan sulit dengan tiga pemimpin UMNO boleh 'bunuh' mereka...jawabnya TIDAK.

Pagi Sabtu, Exco Kerajaan Negeri Selangor itu adakan satu lagi sidang akhbar di rumahnya di Kuala Lumpur antara lain khusus untuk jawab dakwaan yang menyengat dan cetuskan keraguan ke atas dirinya.

Mustapha beritahu sidang akhbar di ibupejabat PAS Khamis lalu beliau  ada bukti satu 'mesyuarat sulit' dihadiri oleh Dr Hasan dan Nasharudin dengan tiga orang lain di Hotel Le Meridian,Kuala Lumpur selepas solat terawih Ramadhan lalu.

Dr Hasan mengakui memang ada pertemuan itu tetapi tiga orang berkenaan bukan pemimpin UMNO.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya pertemuan itu babitkan pemimpin UMNO sama ada peringkat bawahan, pertengahan atau atasan di hotel seperti didakwa Mustafa.

Katanya, Mustapha yang terperangkap dengan prasangka buruk dan api fitnah sesama muslim dan ahli jemaah dan sebagai Setiausaha Agung parti, tuduhan-tuduhan itu liar dan serkap jarang seperti itu tidak patut keluar dari mulut Mustafa.

Sebaliknya, Dr Hasan membangkitkan persoalan serupa dengan mendakwa ada maklumat Mustapha yang sedang berusaha untuk bertemu dengan seorang pemimpin UMNO.

Bahkan katanya, ada permohonan Setiausaha Agung itu sendiri untuk bertemu seorang pemimpin tertinggi UMNO.

Namun, Dr Hasan tidak mahu memperincikan dakwaan itu tetapi bersedia disiasat oleh parti berhubung dakwaan Mustafa dan berharap tindakan serupa dikenakan terhadap Sertiausaha Agung itu.

Beliau turut mempersoalkan sejak bila pejabat Setiausaha Agung menubuhkan unit risikan dan intipan.

Kata Dr Hasan beliau tidak bercadang untuk membuat sidang akhbar lagi selepas ini kecuali keadaan amat terdesak.

Ini bagi meredakan keadaan ke atas kontroversi berkenaan.

Dalam sidang media itu, beliau mempertahankan apa yang dibangkitkan sehingga mencetuskan kontroversi dalam parti bukan pandangan peribadi semata-mata tetapi suara sebahagian ahli dan masyarakat yang simpati pada perjuangan PAS yang dilihat sudah tersasar.

Menurutnya beliau sedia bertemu untuk bagi penjelasan pada para pemimpin PAS bila-bila masa saja dipanggil termasuk waktu Subuh atau malam.

Beliau juga menarik balik kenyataannya yang dianggap kondem konsep Negara Berkebajikan yang kini jadi slogan parti itu kerana ia sudah diputuskan oleh muktamar.Namun beliau lebih suka jika ia Negara Islam.

Dr Hasan juga menghentam organ rasmi PAS, Harakah yang dakwanya hanya mementingkan berita golongan tertentu dalam parti.

Beliau memberi contoh bagaimana ia tidak menyiarkan interbiu dengan Timbalan Musyridul Am PAS , Datuk Dr. Harun Din mengenai isu pemeriksaan ke atas gereja DUMC.

"Bayangankan kalau Harun Din tidak siar bagaimana orang kecil seperti Hasan Ali," katanya.

Dalam kontek ini beliau tidak anggap salah bagi dirinya bercakap kepada media yang dicop media UMNO kerana ia lebih mudah membuat liputan tentang dirinya berbanding Harakah.- LAPORAN LANJUT AKAN MENYUSUL - 24/12/2011 - OLEH ROSLAN BIAN





Hasan Ali jawab dakwaan Setiausaha Agung PAS Sabtu

 

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali berkata beliau akan menjawab tuduhan Setiausaha Agung parti Datuk Mustafa Ali yang mengaitkan beliau dengan agenda UMNO, Sabtu.

Beliau berkata semua penjelasan terhadap tuduhan itu akan dibuat dalam satu sidang akhbar di kediamannya dekat  Kuala Lumpur.

"Nanti saya akan jelaskan. Esoklah. Saya akan buat sidang akhbar esok di rumah saya pukul 11 pagi," kata Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu kepada Bernama ketika dihubungi, Jumaat.

Khamis, Mustafa mendakwa beliau mempunyai bukti untuk mengaitkan Hasan dengan agenda UMNO.

Mustafa dipetik sebagai berkata ia merujuk kepada satu pertemuan antara Hasan, bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan tiga individu lain di sebuah hotel di ibu negara pada bulan Ramadan lepas.

Sementara itu, usaha Bernama untuk mendapatkan penjelasan daripada Nasharuddin tidak berjaya. - 23/12/2011




Mustapha panaskan lagi isu...dakwa tahu gerak langkah Dr Hasan termasuk ' pertemuan sulit'


ni bukan lagi kes 'air yang tenang jangan sangka tidak ada buaya' namun kalutnya macam ' buaya mana nak ngap buaya mana'. Itulah keadaan terkini dalam PAS.

Mungkin kerana tersedar dan bimbang kekalutan antara Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa VS PAS boleh bikin parti jadi bertambah cacamarba, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man awal pagi Khamis lagi sudah hantar kenyataan pada media yang bernada nak ajak semua buat ' damage control '.

Katanya PAS nak panggil Dr Hasan, Nasharudin dan Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungib yang jadi pencetus kecoh - (apabila umum Dr Hasan kalah pencalonan untuk tanding semula kerusi DUN Gombak Setia baru-baru ini) untuk  memberi penjelasan.

Katanya penjelasan ini mesti dilakukan, supaya parti tidak lagi perlu membazir masa melayan pertikaian yang timbul akibat kecil hati terhadap sesuatu kesilapan yang kecil, ego berlebihan dan keengganan sesetengah pihak menerima keputusan parti dan jamaah.

"Melihat situasi PRU yang semakin hampir, PAS ingin menegaskan parti tidak akan bertolak ansur dalam sebarang sabotaj samada dari dalam mahupun luar yang mengganggu persiapan akhir parti. Semua ahli mesti memainkan peranan sebagai ‘team player’ untuk memastikan jamaah bergerak dalam keadaan baik dan harmoni.

"Kepada ahli-ahli PAS, ingatlah ‘apa yang ada ialah hari ini, yang lepas tidak akan datang kembali, yang depan tidak menentu lagi.’ Oleh itu, pendamkan dendam, buangkan kekecilan hati, ketepikan kepentingan individu dan kembalikan fokus dan bergerak ke depan untuk memenangkan parti.," katanya.

Rabu keadaan menjadi bertambah rumit apabila Naib Presiden PAS Mahfuz Omar yang dikenali sebagai ' kaki komen bulan dan bintang ' buat sidang akhbar tuduh Dr Hasan sudah isytihar perang ke atas PAS apabila menolak slogan Negara Berkebajikan.

Malah katanya jika beliau Dr Hassan, beliau sudah angkat kaki dari parti.

Dr Hasan pula muncul di ruangan Soal Jawab TV 3 pada sebelah malamnya antara lain menegaskan kebimbangan ( jika)  pakatan pembangkang dapat tawan Putrajaya. Katanya ia tidak ada maknanya.

Ini katanya apabila melihat keadaan agama Islam, Melayu dan institusi Raja ' entah di mana' nanti.

Cara beliau gambarkan semasa menyentuh hal berkenaan di program itu ialah negara akan jadi haru biru jika pakatan pembangkang memerintah.

Sementara itu tidak lama selepas Tuan Ibrahim mengeluarkan kenyataan media,Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali adakan sidang akhbar di Ibupejabat PAS Kuala Lumpur.

Beliau nampaknya tidak berganjak mendakwa Dr Hasan masih berada dalam perangkap UMNO.

Malah mendakwa ada bukti satu 'mesyuarat sulit ' dihadiri oleh Dr Hasan dan Nasharudin di Hotel Le Meridian,Kuala Lumpur selepas solat terawih Ramadhan lalu.

Katanya pertemuan itu dihadiri oleh tiga orang lain.Beliau enggan menyebut nama mereka.

Dalam erti kata lain, Mustapha hendak beritahu bahawa PAS tahu tindak tanduk atau gerak langkah Dr Hasan.

“Saya nak tanya apa beliau bincang. Adakah soal ekonomi atau politik. Dia nak nafi atau jawab, terpulang...saya ada maklumat apa beliau buat,” katanya.

Menariknya beliau cuba pisahkan Nasharudin dengan Dr Hasan dengan mendakwa bekas Timbalan Presiden PAS itu sudah menjauhkan diri dari UMNO.

Mengulas soal perangkap UMNO seperti didakwanya, Mustapha berkata, “ perangkap politik orang tak nampak, yang kena perangkap pun tak sedar,”.

Bahkan katanya, Dr Hasan sudah buat kerja-kerja UMNO dengan mengujudkan suasana resah dalam PAS.

“UMNO senyap sekarang, mana ada komen apa-apa sebab kerja sudah dilaksanakan orang lain,” katanya.

Sambil mengucapkan tahniah pada Nasharuddin yang pada pandangannya sudah keluar perangkap UMNO, Mustapha mendakwa perpaduan dalam PAS masih kuat dengan kerjasama ulama dan profesional.

Beliau percaya tidak ada yang menyokong Dr Hasan seperti didakwanya kecuali golongan atas pagar yang keliru dengan apa dikatakan ADUN Gombak Setia itu.

Katanya, Dr Hasan tidak faham bahawa PAS tetap jadikan Islam sebagai dasar perjuangan Cuma pendekatan yang berubah.

Mustapha juga semacam memberi kata dua kepada Dr Hassan bila menasihatkan Exco Kerajaan Negeri Selangor itu berhenti bercakap.

Saya akan berhenti bercakap pasal komen-komen Hasan ..kalau Hasan serang PAS saya akan pertahan ,"tegasnya.

Bagaimanapun, beliau tidak fikir bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu akan masuk UMNO atau diterima oleh parti berkenaan.

Menjawab soalan, beliau percaya isu ini akan selesai selepas Dr Hasan, Nasharuddin dan Saari dipanggil memberi penjelasan kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak lama lagi.

Apa pun ding dong dalam PAS kini selain nak tutup malu, ianya macam labu membaiki tikus.

Apabila Mustpha mendedahkan pasal pertemuan babitkan Dr Hasan pada Ramadhan lalu, nampak isu asal yang dimusykilkan Exco Selangor itu semakin jauh. Semakin dekat dan jelas adalah PAS sudah tidak boleh tarik ‘brek’ - 22/12/2011 - OLEH ROSLAN BIAN


 



Nasharudin jawab dakwaan Mustapha Ali menerusi kenyataan media...

Kalau Datuk Dr. Hasan Ali buat sidang akhbar Selasa jawab dakwaan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali konon beliau terperangkap dalam agenda UMNO, tengahari Rabu bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa pula mengeluarkan kenyataan kepada media.

Beliau antara lain menegaskan dakwaan berkenaan jauh menyimpang dari kebenaran dan tidak ada asas langsung.

Katanya beliau tidak mempunyai niat sebesar zarah sekalipun untuk menyertai UMNO.

"Janganlah gunakan alasan mudah seperti ini untuk menyimpulkan tindakan, pandangan atau perhitungan politik saya pada ketika kita mengharung gelombang percaturan politik yang jauh lebih mencabar," katanya.


Berikut ialah kenyataan penuh Nasharudin Mat Isa:

 
Berikutan beberapa dakwaan, tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan secara langsung oleh beberapa pihak terhadap saya sejak kebelakangan ini menerusi media massa, blog dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter, saya berasa perlu untuk mengeluarkan kenyataan media ringkas sebagai penjelasan.

Sebagai seorang yang terdidik dalam dua dunia dan latar belakang berbeza iaitu bukan agama dan kemudiannya berpindah kepada pengajian Syari’ah dan Perbandingan Undang-Undang, saya menyedari sepenuhnya bahawa pembabitan langsung saya di pentas politik nasional pasti mengundang seribu satu macam cabaran dan dugaan.

Dalam dunia dakwah, kita dididik dengan hakikat bahawa laluan dakwah ini tidak dibentang dengan hamparan permaidani merah, jauh sekali untuk sentiasa direnjis dengan wangian bunga. Saya akur sepenuhnya dengan Tariqud-Dakwah (Jalan Dakwah) yang saya lalui ketika ini telah lebih awal disusuri oleh para anbiya’, sahabat dan ulamak terdahulu daripada kami yang memilih PAS sebagai pentas perjuangan  politik dalam konteks sistem demokrasi berparlimen sedia ada di Malaysia.

Dakwaan kononnya saya “terperangkap dalam agenda permainan musuh politik PAS iaitu UMNO" adalah sesuatu yang terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan langsung tidak berasas.

Sepanjang pembabitan saya dalam PAS yang saya terima sebagai wadah menyampaikan suara Islam kepada umat di Malaysia, belum pernah saya ungkapkan bahawa saya akan menyertai UMNO.

Justeru, buat kesekian kalinya saya tegaskan  bahawa saya tidak mempunyai niat sebesar zarah sekalipun untuk menyertai UMNO. Janganlah gunakan alasan mudah seperti ini untuk menyimpulkan tindakan, pandangan atau perhitungan politik saya pada ketika kita mengharung gelombang percaturan politik yang jauh lebih mencabar.

Saya harap penjelasan ringkas ini memadai dalam mengukur kesetiaan saya terhadap perjuangan PAS. Saya tegaskan di sini bahawa saya adalah adalah ahli PAS, dan perjuangan saya kekal bersama PAS untuk menjunjung risalah Islam menyumbang kepada ummah dalam apa juga keadaan.

Nasharudin Mat Isa
Kuala Lumpur
21 Disember 2011





Dr Hasan Ali hentam balik Setiausaha Agung PAS...juga akui PAS dah berubah



Selama ini kecuali cakap-cakap, tidak ada pemimpin PAS berani akui parti itu semakin jauh daripada perjuangan asal menubuhkan negara Islam selepas bersengkokol dengan PKR dan DAP.

Bagaimanapun, isu bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang dikatakan tidak layak bertanding mendedahkan ‘pekung’ bahawa parti itu  tidak lagi dilihat memperjuangkan prinsip-prinsip berlandaskan Islam.

Dalam sidang media terbaru, ADUN Gombak Setia itu yang diasak berulang kali mengenai tanggapan itu akhirnya terpaksa akur mengakui pakatan dengan PKR dan DAP menyumbang kepada perubahan dalam PAS.

“Apabila sertai (Pakatan Rakyat) maka ada perkara perlu diubah suai...tetapi jangan ubah Islam,” jelas Exco Kerajaan Negeri Selangor itu seperti mahu menggambarkan bahawa PAS sudah tidak konsisten lagi daripada matlamat asal serta dasar-dasar parti itu.

Malah Dr Hasan percaya pembangkang tidak berupaya mentadbir Putrajaya dengan pelbagai kemelut dalaman apatah lagi dengan kenyataan Karpal Singh, supaya langkah mayatnya dulu jika PAS mahu laksanakan negara Islam.

Beliau turut menyentuh soal Negara Berkebajikan yang jadi slogan baru PAS.

“Negara Berkebajikan ini tidak perlu dilakukan oleh PAS. Mana-mana negara hebat seperti Sweden dan United Kingdom semua negara berkebajikan  ...orang-orang sekular dan terpelajar ini mampu melakukannya,”

“Tetapi untuk meletakkan asas negara Islam kita perlukan ulama yang dapat garap Islam dalam konteks kehidupan moden dan saya yakin satu masa dulu, ulama-ulama  PAS yang lepas berjaya letak inti-inti agama dalam kehidupan masyarakat,” ujarnya.

Kesimpulan semua itu, dengan nada agak keras dan kecewa, Dr Hasan berkata, ‘ kena letak PAS pada pancang asal.'’

Beliau membuat gesaan itu juga kerana ada fakta dan bukti bahawa masyarakat yang selama ni menyokong PAS mula mempersoal dan bercadang menarik diri daripada memberi sokongan kepada parti kerana perjuangan utama parti dikesampingkan.

Katanya, ahli dan penyokong PAS tidak naif  dan tidak sedungu disangkakan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali  yang mendakwa beliau sedang berusaha menyakinkan ahli dan penyokong parti bahawa PAS tidak lagi memperjuangkan prinsip-prinsip Islam.

“Ahli dan penyokong PAS juga bukan lembu yang dicucuk hidung. Mereka berbudaya, bertata susila, beragama dan terbukti mempunyai kekuatan intelektual berfikir.

Sidang media ke dua pagi Selasa ini diadakan Dr Hasan sejak isu tidak layak bertanding itu ditimbulkan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib jelas digunakan beliau ‘memulangkan paku buah keras’ kepada Mustafa.

Beliau membidas Mustafa walaupun pemimpin senior tetapi meberi pandangan negatif dan mengandungi unsur jahat terhadapnya  dengan mendakwa Dr Hasan terperangkap dengan perangkap UMNO dan tindak tanduknya seolah-olah mahu melemahkan PAS.

Jelas beliau cukup angin dengan  Mustafa dan menyifatkan Setiausaha Agung PAS itu bongkak, sombong dan menggunakan autoriti jawatan dan hilang arah hingga sangup bermain api fitnah.

Menurut Dr Hasan tindak tanduk Mustafa dan Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar bertentangan dengan pemimpin PAS lain  termasuk Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib, Ketua Pemuda PAS Pusat Nasruddin  Tantawi yang menunjukkan simpati dan cenderong menyokong perjuangannya.

“Prinsip perjuangan saya meletakkan semula PAS di landasan asal. Dari pengamatan asal saya, PAS mula dikuasai golongan bukan ulama yang lebih cenderung mengamalkan politik akomodasi hingga sanggup korbankan prinsip perjuangan parti yang dipertahan sejak penubuhan,” tegasnya.

Dalam erti kata lain, Dr Hasan bangkit ‘lawan arus’ bukan kerana agenda UMNO seperti dakwaan Mustafa tetapi sudah nampak semakin banyak duri dalam daging PAS.

Menjawab soalan, beliau mengakui berjumpa dua profesor yang juga ahli PAS  seorang daripadanya Aziz Hanafi untuk mendapatkan pandangan tentang usaha yang dilakukannya untuk mengembalikan PAS pada perjuangan awal.

“Saya jumpa untuk dapatkan pandangan dari segi syarak dan intelelek. Mereka orang biasa dalam PAS bukannya untuk menyakinkan mereka atau orang lain bahawa PAS tidak lagi memperjuangkan Islam  seperti didakwa,” katanya.  

Mengenai kenyataan Mahfuz yang sinis mempersilakan menyertai UMNO, Dr Hasan menyifatkan Naib Presiden PAS itu bangkrap pemikiran dan tidak mengikuti perkembangan muthakhir isu tersebut.

Beliau menegaskan tidak akan mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa perjuangannya kini tertumpu kepada Islam, Melayu dan instutusi Raja-Raja.

Dr Hasan menggesa pimpinan parti mengambil tindakan terhadap Saari yang menyemaikan bibit-bibit perpecahan di kalangan ahli dan penyokong parti.

Beliau juga meminta siasatan terperinci ke atas proses pencalonan dan keputusan akhir bilangan pencalonan yang beliau terima di kawasan Gombak bagi mengelak spekulasi berkaitan pencalonan beliau.

Jelas, Dr Hasan tidak berseorang dalam isu ini kerana beliau melihat banyak sokongan daripada pemimpin, ahli dan penyokong PAS mengenai usahanya mengembalikan PAS pada pancang asal.

Apapun, usaha beliau nampaknya sudah menyebabkan PAS semakin bergelora terutama pemimpin yang mahu mempertahankan pakatan PKR dan DAP kerana Dr Hasan sudah jadi duri dalam daging pembangkang.

Namun, di sebalik semua ini, mereka tidak nampak duri sebenar dalam PAS sekarang..- 20/12/2011 - OLEH ROSLAN BIAN



TAUFAN mula membadai PAS...



Hangat....memang hangat...Ambil kira kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, nampaknya apa yang berlaku kepada Datuk Dr Hasan Ali dan kemudiannya Nasaruddin Mat Isa yang membelanya...jelas parti itu sudah hampir ‘berpatah arang berkerat rotan’ dengan mereka.

Ikut ceritanya ramai di kalangan ahli parti itu sendiri yang macam tidak percaya dengar kenyataan beliau hentam secara terbuka kedua-dua mereka termasuk dakwa terperangkap dalam agenda UMNO.

Ia dihangatkan lagi dengan pendedahan Mustapha bahawa Dr Hasan,bekas Persuruhjaya PAS Selangor dan Nasharuddin, bekas Timbalan Presiden PAS jarang hadir mesyuarat parti.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula tumpang semangkuk macam tidak sabar-sabar mahu melihat Dr Hasan lenyap dengan kenyataan terbuka ‘mempersilakan' Exco Kerajaan Negeri Selangor itu keluar parti atas alasan hak negara demokrasi.

Rupanya kenyataan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib yang menyatakan ADUN Gombak Setia itu tidak cukup pencalonan dan tidak layak bertanding dalam PRU ke 13 telah membuka mata semua orang pada perang dingin yang serius PAS.

Ini kerana kenyataan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Mustafa sendiri dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bercanggah satu sama lain.

Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim menyifatkan soal pencalonan itu tidak betul kerana Majlis Syura dan Pusat akan menentukan siapa layak bertanding.

Nik Aziz pula serahkan pada PAS Selangor menjelaskan isu itu.

Namun, sehingga hari ini Persurhjaya PAS yang menggantikan Dr Hasan iaitu Dr Rani Osman masih berdiam diri tentang isu kenyataan Saari  kecuali timbalannya Khalid Samad seperti dilaporkan media arus perdana mengesahkan apa dikatakan Ketua Penerangan PAS negeri itu.

Bagaimanapun, kenyataan Mustafa dalam wawancara akhbar dan portal organ PAS,  menampakkan seolah-olah Dr Hasan dan Nasharuddin bakal ‘sama-sama dimandikan’ supaya tidak bertanding pada pilihan raya nanti.

Nasharuddin dalam respons terhadap apa yang menimpa Dr Hasan menyifatkan pelik kerana ada pihak mengeluarkan kenyataan lebih awal daripada Presiden PAS.

Kerana itu, Nasharuddin kena sedia ‘dimandikan’ oleh pemimpin lain yang tidak sebulu dengannya selepas Mustafa seolah-olah memberi lampu hijau.

Timbul tanda tanya, adakah Mustafa kini lebih berkuasa daripada Majlis Syura, Presiden dan Mursyidul Am?

Pendedahan beliau kononnya ada bukti Dr Hasan berusaha menyakinkan beberapa pemimpin PAS lain supaya bersamanya jika benarpun, tidak patut Mustafa dedahkan begitu saja.

Jika benarlah Dr Hasan dan Nasharuddin bakal ‘dimandikan’ oleh PAS, ia boleh dilihat sebagai dendam pucuk pimpinan tertentu dalam parti itu yang melihat kedua-dua mereka ada persamaan.

Ini membuatkan sesetengah pemimpin PAS sudah ada berani mempersoalkan apakah  ini tanda golongan ulama bakal dicantas dalam kepimpinan parti itu?

Adakah salah Dr Hasan dan Nasharuddin yang mempertahankan Islam dan perpaduan sehingga PAS bertindak demikian?

Memang Dr Hasan pernah dikaitkan dengan usaha kerajaan perpaduan di Selangor antara PAS dan UMNO sebelum kerajaan PKR menerajui negeri itu.

Begitu juga Nasharuddin yang jadi mangsa terpaksa ‘bersilat’ dengan Nik Aziz gara-gara cadangan perpaduan Islam dan Melayu antara PAS-UMNO di peringkat pusat.

Nampaknya, PAS menggunakan sebutir peluru bagi menumbangkang  Dr Hasan dan Nasharuddin yang kini dianggap ‘dua musuh’ dalam parti.

Inilah peluang terbaik puak tertentu dalam PAS yang tidak mahu lagi melihat kedua-dua pemimpin PAS itu kekal dalam parti kerana boleh menyekat hasrat mereka untuk lebih mesra berpelukan dengan PKR dan DAP.

Namun ada yang berkata puak-puak ini perlu ingat, adakah ahli-ahli dan penyokong PAS boleh terima bulat-bulat pemimpin yang pertahankan Islam dan Melayu disingkirkan atau diperlakukan begitu sahaja ibarat habis madu sepah dibuang?
                                  
Dr Hasan dan Nasharuddin jika ‘dibuang’ keluarpun dari PAS, mereka mungkin boleh melangkah senang hati...

Mustapha sendiri sebut mereka jarang hadir mesyuarat.

Dalam politik kalau begini...biasanya mesti ada yang tidak kena.

Siapa tahu mungkin banyak yang pelik dalam PAS sekarang...

Mungkin Dr Hasan dan dan Nasaruddin lebih mengetahui.17/12/2011- OLEH ROSLAN BIAN    
 



Ada pemimpin PAS Selangor kepanasan gara2 bercakap dahului Presiden....



Khabarnya ada pemimpin PAS di Selangor macam cacing kepanasan gara-gara tersilap jolok sarang tebuan dengan kenyataan kononnya Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali tidak layak dicalonkan pada pilihanraya umum akan datang.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Shaari Sungib yang buat kenyataan itu pun membisu malahaAhli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang dikatakan ‘berlaga angin’ dengan Dr Hasan juga tidak banyak cakap.

Peliknya, Pesuruhjaya PAS negeri  Dr Abdul Rani Osman juga tak bunyi apa-apa selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk

Tuan Ibrahim Tuan Man, apa yang digembar-gemburkan pasal Dr Hasan yang tidak layak bertanding adalah ‘tidak benar’.

"Kita baru sahaja di peringkat menerima cadangan dari negeri mengenai siapa yang akan menjadi calon, bagaimana pula Dr Hasan boleh digugurkan? Ia tidak benar,” kata Tuan Ibrahim, pada Rabu.

Sambil menyifatkan sebarang kenyataan sebelum ini mengenai Hasan sebagai pandangan peribadi pihak tertentu, Tuan Ibrahim berkata, pemilihan calon parti itu belum muktamad.

Dr Hasan dalam sidang media Isnin musykil kerana isu itu tiba-tiba meletup ketika beliau mahu menerima darjah kebesaran sempena Kepututeraan Sultan Selangor.

Walaupun, katanya tidak kisah kalau tidak dicalonkan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu tidak menolak kemungkinan ada konspirasi pihak tertentu menimbulkan cerita

kononnya beliau tidak layak bertanding kerana tidak cukup pencalonan.

Kini, dalaman PAS sudah banyak mempersoalkan beberapa pemimpin yang bercakap lebih hebat daripada Abdul Hadi malah adakala mendahului Presiden PAS itu.

Dulu, kalau ada wartawan nak korek cerita dalam PAS cukup susah.

Kalau ada isu ia macam ribut dalam cawan sahaja tetapi kini bukan ribut lagi tetapi cerita-cerita dalaman PAS macam taufan boleh diketahui dengan mudah sebab sudah ada banyak puak dalam parti itu.

Sebab itu juga bekas Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Md Isa ketika mengulas isu yang menimpa Dr Hasan berpendapat, ini semua kerana ada puak yang suka bercakap mendahului Presiden.

Beliau yang tersingkir dalam pemilihan parti itu kerana dilihat menentang puak Erdogan atau Anwarninas dalam PAS yang lebih mengutamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya, semua ini tidak boleh berlaku kalau kedudukan Presiden dihormati semua pihak.

Mengulas lebih lanjut, Nasaruddin tidak menolak puak yang cuba ‘mandikan’ Dr Hasan dengan kenyataan tersebut,melupakan Nas atau perkara teras dalam politik mereka.

“Jangan sampai menang sorak kampung tergadai,” bidas Nasaruddin kepada puak yang nampaknya semakin jauh meninggalkan perjuangan asal PAS memperjuangkan Islam.

Beliau mungkin merujuk kumpulan ulama yang semakin disingkirkan dalam kepimpinan PAS sejak parti itu bersekongkol dengan PKR dan DAP.

Apapun, dalam isu ini, Dr Hasan kini tentu boleh tarik nafas lega kerana selain Abdul Hadi, Majlis Syura belum memutuskan kedudukannya.

Dalam pada itu, pasti puak tertentu dalam PAS Selangor akan terus kepanasan kecualilah nama Dr Hasan betul-betul hilang dalam senarai PRU ke 13 nanti.-14/12/2011 - OLEH ROSLAN BIAN


IKLAN

Mari memancing udang di Pusat Memancing UdangGalah Tuah.

Inginkan perfume original sila lawat dan like XINXARA.

Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.

Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.

Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.

Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.