21Oktober2018

Jawatan Presiden UMNO : Tengku Razaleigh nak sembahyang istikharah untuk buat keputusan…

Enam hari menjelang tarikh tutup pencalonan untuk pemilihan parti ,Tengku Razaleigh Hamzah memberitahu beliau sudahpun dapat pandangan keluarganya mengenai soal bertanding jawatan Presiden UMNO.
 
Namun beliau sendiri masih belum buat sebarang keputusan muktamad mengenainya.
 
Katanya beliau akan buat sembahyang istikharah dalam membuat penentuan itu.
 
Bekas Menteri Kewangan dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu memberitahu demikian pada forum Dilema Melayu Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14  di Kelab Sultan Sulaiman di Kuala Lumpur,Isnin malam.
 
Ini sebagai respon kepada pertanyaan hadirin forum itu yang ingin tahu keputusanya kepada desakan kalamgan ahli UMNO agar beliau menawarkan diri untuk jawatan nombor satu parti itu.
 
Dalam jawapan kepada soalan itu Tengku Razaleigh yang kini berusia 81 tahun membangkitkan soal samaada beliau masih ada kekuatan untuk memikul tanggongjawab besar itu.
 
”Dari segi  umur saya…terdaya  atau tak terdaya nak pergi ke 191 bahagian dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, saya akan beristikharah,” katanya.
 
Namun beliau konsisten dengan pandangannya sepatutnya orang muda yang harus diberi tanggongjawab memimpin parti.
 
Katanya orang lama boleh main peranan untuk membantu mereka.
 
Apapun beliau mengingatkan ahli parti agar dalam pemilihan kali ini membuat tapisan yang teliti untuk menentukan barisan kepimpinan yang dipilih benar-benar menepati kriteria.
 
Menurut beliau dalam situasi parti sekarang hal ini amat penting untuk memastikan parti terus relevan dan diterima rakyat.
 
Beliau yakin dengan pimpinan baik UMNO yang masih ada 54 Ahli Parlimen mampu bangkit semula.
 
Tengku Razaleigh juga mengulangi pandangan beliau kekalahan BN dalam pilihanraya umum ke 14 kebanyakannya kerana faktor mainan persepsi oleh pihak lawan.
 
Beliau juga menilai Pakatan Harapan menang kerana banyak menabur janji kosong.
 
Katanya mereka tidak akan termampu menunaikan janji seperti menurunkan harga minyak atau menghapuskan tol.
 
Ini kerana ia melibatkan beban kewangan yang besar pada kerajaan.
 
Mengenai kebimbangan kalangan ahli pada desas desus kemungkinan UMNO berdepan tindakan pengharaman kerana tangguh adakan pemilihan beliau menegaskan perkara itu tidak harus berbangkit.
 
Katanya UMNO menangguhkan pemilihan setelah Setiausaha Agung parti mendapat surat kebenaran rasmi dari Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
 
Tengku Razaleigh kata surat ROS itu adalah bukti sah UMNO dapat kebenaran dan ia boleh digunakan di mahkamah untuk pertikai tindakan mengharamkan parti.- 11/6/2018
 
 
 
 
 
 
 
Sabar…masih ada masa,kata Tengku Razaleigh mengenai pemilihan jawatan Presiden UMNO
 
 
 
Asalnya pembantu Tengku Razaleigh Hamzah atur sesi interbiu khas dengan empat buah portal berita saja.Namun entah macam mana ia bocor dan menjadi viral di kalangan wartawan hingga ada yang bergegas tumpang semangkuk dalam pertemuan di rumahnya di Jalan Langgak Golf,Kuala Lumpur pada tengahari Ahad.
 
Kebetulan waktu itu juga sekumpulan pimpinan Pemuda UMNO dari negeri-negeri yang diketuai Datuk Razlan Rafii membuat kunjungan keatas bekas Menteri Kewangan itu.
 
Mereka pernah datang sebelum ini.Difahamkan kedatangan sekali lagi mereka jumpa Tengku Razaleigh itu adalah untuk meneruskan desakan  beliau bertanding jawatan Presiden UMNO.
 
Bagi kalangan wartawan yang hadir soalan berkaitan dengan jawatan nombor satu UMNO itu adalah yang paling panas dan berulang kali ditujukan kepada Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen Gua Musang Kelantan itu
 
Namun mereka gagal mendapat ‘berita besar’ samaada beliau bersetuju atau menolak desakan untuk bertanding jawatan Presiden UMNO.
 
Segala cara wartawan jolok beliau untuk mendapat jawapan yang ditunggu-tunggu namun Tengku Razaleigh minta bersabar.Katanya,’ masih ada waktu lagi’.
 
Malah ketika ditanya adakah masih 50-50 lagi dalam membuat keputusan beliau menjawab,’ ada banyak hari lagi’.
 
Mengikut jadual yang ditetapkan oleh ibupejabat UMNO Malaysia tarikh tutup pencalonan ialah pada 17 Jun ini.
 
Ini bermakna semua calon ada waktu sekitar dua minggu untuk kempen atau perkenalkan diri kepada ribuan perwakilan di seluruh negara sebelum tarikh pemilihan pada 30 Jun.
 
Setakat ini bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi saja yang sudah serah borang pencalonan untuk jawatan Presiden UMNO.
 
Diminta mengulas keputusan Zahid tawar diri untuk jawatan itu,Tengku Razaleigh kata itu adalah satu perkara yang beliau tidak boleh tentukan.
 
Jawab soalan mengenai desakan yang diterimanya agar bertanding,beliau akui ada terima ‘sporadic support’.
 
Beliau menilai desakan itu sebagai ajakan untuk kembali bersatu dan membangunan semula parti.
 
Kepada soalan lain,beliau akui ada bertemu dengan Datuk Seri Najib Tun Razak baru ini ( dipercayai mereka buka puasa bersama)  tetapi beliau enggan beritahu apa yang mereka perbualkan.
 
Tengku Razaleigh menegaskan jumlah 54 Ahli Parlimen yang UMNO ada adalah petanda parti itu tetap kuat dan mampu bangkit semula.
 
Jawab satu soalan jika dirinya kini Presiden UMNO beliau tidak akan ‘ merangkak’ untuk jumpa Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Beliau anggap Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO itu kini sudah dikira orang luar kerana sudah keluar parti.
 
Apapun Tengku Razaleigh mengajak ahli UMNO menerima hakikat BN sudah kalah dalam PRU14.
 
”Rakyat sudah buat keputusan”,katanya.
 
Kepada soalan lain beliau kurang setuju dengan tindak tanduk kerajaan Pakatan Harapan main membatalkan pelbagai projek seperti HSR.
 
Katanya soal itu melibatkan hubungan antara Malaysia dan sebuah negara lain yang boleh akibatkan tindak balas.
 
Mengenai dakwaan yang digembar gembur kerajaan Pakatan Harapan terhadap Najib kebekalangan ini,Tengku Razaleigh kata beliau berpegang kepada prinsip ‘innocent until proven guilty’.
 
Diminta mengulas apakah cara pentabiran Dr Mahathir masih dengan stailnya dulu ketika jadi Perdana menteri kali kedua sekarang,Tengku Razaleigh kata masih sama cuma baju yang berbeza.
 
"Dia begitu 23 tahun lalu dan saya fikir dia sama sekarang,"katanya.
 
Beliau seolah bertanya apakah Dr Mahathir bukan lagi diktator.
 
Spontan itu beliau jawab lihat partinya yang baru ditubuhkan tetapi sudah pegang jawatan Menteri Besar di Kedah,Perak dan Johor.
 
Selain itu pegang beberapa jawatan kabinet kerajaan pusat sedangkan PPBM cuma ada 13 kerusi berbanding parti lain yang lebih banyak.
 
Kepada satu soalan lain,Tengku Razaleigh berkata mungkin sudah nasib dirinya terpaksa berentap buat kali kedua dengan Dr Mahathir ( jika bertanding dan menang jawatan Presiden UMNO).
 
Pada tahun 1987 Tengku Razaleigh tewas cuma 43 undi kepada Dr Mahathir dalam pemilihan sengit untuk jawatan Presiden UMNO.-10/6/2018 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 586  tetamu dalam talian