17Januari2019

‘Jangan main main’ Zahid dan Haji Hadi ingatkan kerajaan PH pasal ICERD…

Dataran Pekan Kampung Gajah di Pasir Salak pada Sabtu malam bergema dengan paduan suara amaran keras pimpinan UMNO dan PAS agar jangan sesekali kerajaan ambil langkah meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
 
Pada perhimpunan yang dihadiri lebih 30,000 orang itu Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang senada mengingatkan amaran mereka itu bukan main main.
 
Ini adalah perhimpunan terbesar yang diadakan setakat ini untuk membantah ICERD yang didakwa boleh menjejaskan kepentingan Melayu dan bumiputra di negara ini menerusi kesamarataan.
 
Pasir Salak dipilih sebagai lokasi perhimpunan itu kerana ia merupakan kawasan pertama di negara ini pimpinan Melayu Islam bangun menentang penjajahan British.
 
Zahid pada ucapan beliau mengimbas bahawa sejak dahulu lagi kerajaan Malaysia tidak menindas mana-mana kaum di negara ini 
 
Katanya ICERD diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menolak perkauman di bawah Dasar Aparteid di Afrika Selatan dan Israel sendiri tidak menandatanganinya.
 
“Jangan silap…konon atas nama samarata nak pinggir islam.

 
“Jangan sampai orang Melayu amuk. Kalau amaran tak diendahkan, UMNO dan PAS bersatu, kita bukan sekadar beri amaran kalau tak ada isytihar tolak ICERD, maka kami akan bangun. Jangan minta, amaran bukan sekadar amaran kalau tak percaya cuba.
 
“Ini bukan sebarang amaran, jangan main-main. Kalau mahu perkataan amuk ini dilakukan cubalah cabar,” katanya.
 
Dalam pada itu Zahid menegaskan bahawa UMNO dibawah kepimpinan beliau sedia bersatu tenaga dengan PAS .
 
“UMNO di bawah saya, kita akan bercantum dengan PAS, kita ketepikan segala perbezaan politik atas nama Islam dan Melayu, kita bercantum atas kekuatan untuk membina negara yang baharu,” katanya.
 
Zahid akui UMNO selama ini silap kerana bermusuhan dengan PAS.Apapun katanya ia adalah ekoran ‘ ajaran’ bekas pemimpin parti selama 22 tahun dahulu .
 
"Dia ajar kami membenci PAS, dia ajar kami membenci DAP tapi sekarang mereka sedang bercium mulut sesama sendiri," katanya yang jelas merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad.
 
Apapun katanya kesilapan lampau tetap membawa hikmah dan beliau sedia lakukan pembetulan.
 
 
Sementara itu  Haji Hadi pada ucapan beliau mengunakan rangkap pantun untuk mengulangi ingatan beliau pada kerajaan agar’ jangan langgar lampu merah’ dalam isu ICERD. 
 
Beliau juga mengunakan pantun untuk mengingatkan jangan jolok sarang tebuan kerana padahnya besar.
 
Mengenai perpaduan UMNO dan PAS dalam isu ICERD,beliau ambil contoh mengenai kisah anjing sekampong yang bergaduh.
 
“Ingat, kalau anjing sekampung yang sedang berkelahi, kalau datang diganggu, anjing sekampung ini boleh bersatu. Kami bukan anjing. Kami ini manusia, sebab itu jangan kacau dan jangan main-main,” katanya.
 
Dalam pada itu,Haji Hadi berkata, rakan-rakan dari bukan Islam dan bukan Melayu masih tetap diterima sebagai sebahagian masyarakat di negara ini, namun jangan disebabkan nila setitik, habis rosak susu sebelanga.
 
Beliau juga mengingatkan kepemimpinan negara menyedari hakikat bahawa walaupun Pakatan Harapan memerintah Malaysia, ia sebenarnya didominasi oleh bukan Islam.
 
“Ini pasal apa, pasal kitalah, orang Melayu tidak faham politik. 66 kerusi bukan Islam 58 kerusi Islam, sedangkan demografi penduduk 65 peratus orang Islam. Kalau campur dengan bumiputera, 80 peratus orang Islam tetapi diperintah oleh kalangan yang tidak mendominasi penduduk,” katanya.- 17/11/2018
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 420  tetamu dalam talian