10Disember2018

Isu perbalahan dengan penduduk ...YB Melaka mohon maaf

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka Norhizam Hassan Baktee memohon maaf dan akan berusaha memperbaiki kelemahan yang ada pada dirinya terutamanya aspek komunikasi apabila berhadapan dengan rakyat.
 
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu dan Timbalan Pengerusi DAP Melaka itu berkata beliau mengakui kesilapan, kekasaran bahasa serta keterlanjuran kata ketika berkomunikasi dengan rakyat dalam menyelesaikan isu penutupan jalan, semalam.
 
"Saya sedar bahawa insiden yang tular di media sosial sejak petang semalam telah memberi imej negatif kepada diri saya sebagai wakil rakyat dan kerajaan yang saya wakili.
 
"Sebagai ADUN yang dipilih oleh rakyat, saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan penduduk terutama dalam kawasan saya," katanya pada sidang akhbar oleh DAP Melaka di Seri Negeri di Melaka Rabu.
 
Turut hadir Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew dan Setiausaha DAP Melaka Khoo Poay Tiong serta penduduk kampung yang terlibat.
 
Isu penutupan Jalan Pulau Nibong-Taman Akasia di Batu Berendam di sini menjadi hangat apabila video Norhizam, bersikap kasar terhadap penduduk kampung tersebut tular di laman media sosial.
 
Sementara itu, Tey berkata Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya akan mengadakan dialog atau perbincangan semula dengan penduduk Taman Akasia, Kampung Pengkalan Batu serta kampung di kawasan itu antaranya Kampung Pulau Nibong, dalam masa terdekat untuk mencari penyelesaian terbaik.
 
Beliau berkata perbalahan antara Norhizam dan penduduk kampung itu dianggap selesai setelah pihak terlibat bersemuka hari ini.
 
"Kita selesaikan masalah ini ikut cara orang Malaysia, orang Melaka saling bermaafan, mengaku kesilapan masing-masing kerana kita manusia biasa dan memperbaikinya. Kita akan cari titik keseimbangan dan penyelesaian antara kehendak 180 penduduk taman dan penduduk kampung," katanya.
 
Bernama hari ini melaporkan permintaan penduduk kampung itu untuk kerajaan negeri dan wakil rakyat terlibat duduk semeja berbincang bagi mencari penyelesaian isu penutupan jalan itu yang telah mengganggu kehidupan seharian mereka.
 
Khoo pula berkata DAP Melaka menerima segala teguran dan nasihat yang dibuat terhadap wakil rakyat yang mewakili parti itu dan akan berusaha memperbaiki kelemahan tersebut.
 
"Bagi pihak DAP sendiri kita mengakui perkataan dan cara pertuturan dalam insiden yang berlaku itu adalah kasar. Kami berpendapat permohonan maaf secara terbuka perlu dibuat dan berharap semua masyarakat dapat menerima permohonan maaf ini," katanya.-10/10/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 375  tetamu dalam talian