22September2018

Isu pelantikan MB Perlis belum selesai, ADUN tetap tolak Azlan

Krisis menteri besar Perlis masih belum ada tanda-tanda selesai apabila Barisan Nasional (BN) negeri bertegas menolak Datuk Seri Azlan Man yang mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai menteri besar.
 
Walaupun semua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sebelum ini mengakui taat setia dan menjunjung titah baginda, Setiausaha BN negeri Datuk Zahidi Zainul Abidin yang mewakili kesemua ADUN itu berkata mereka tidak boleh menerima Azlan untuk menerajui kerajaan negeri.
 
"Kami akan menghadap tuanku untuk memohon ampun daripada tuanku atas salah faham yang terjadi, kami semua BN Perlis tetap taat setia kepada raja sebagai raja berdaulat, cuma tak terima Azlan," katanya dalam satu sidang akhbar khas di kangar Jumaat.
 
Ditanya alasan sebenar mereka menolak pelantikan Azlan, beliau berkata: "Ada banyak sebab tertentu (tolak Azlan), kita akan perjelas kepada tuanku, tak elok beritahu media."
 
Zahidi berkata sehingga kini pihaknya masih menunggu perkenan Tuanku Syed Sirajuddin untuk sembah menghadap dan peluang itu kelak akan digunakan sebaiknya untuk berbincang dari hati ke hati dengan baginda.
 
Zahidi yang juga Anggota Parlimen Padang Besar turut mendakwa Azlan sebelum ini menghadap Tuanu Syed Sirajuddin secara bersendirian berhubung pelantikan menteri besar.
 
"Dalam BN kita berbincang secara berpasukan, politik ni teamwork tapi tiba-tiba dalam ramai-ramai ni ada seorang jumpa raja dan minta jadi menteri besar, mana boleh," katanya.
 
Beliau ketika dihubungi selepas sidang akhbar itu juga mendakwa Azlan tidak pernah memberi kerjasama dengan parti termasuk tidak menghadiri mesyuarat BN negeri lebih daripada empat tahun.
 
Ditanya sama ada tindakan BN negeri itu mendapat restu pucuk pimpinan parti, beliau berkata kebiasaannya apa yang diputuskan oleh badan perhubungan negeri akan dipersetujui di peringkat pusat.
 
Kemelut menteri besar Perlis bermula apabila sembilan ADUN BN tidak hadir pada Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar di Istana Arau pada 24 Mei lepas kerana menolak pelantikan Azlan. Majlis itu hanya dihadiri tiga ADUN Pakatan Harapan dan dua ADUN PAS.-1/6/2018
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 456  tetamu dalam talian