10Disember2018

Isu air Selangor…..menteri buka cerita

Gangguan bekalan air yang berlaku minggu lalu adalah tanggungjawab sepenuhnya oleh kerajaan negeri Selangor, tegas Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Sambil menafikan ia salah kerajaan Persekutuan seperti didakwa pembangkang, beliau berkata kegagalan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali masih tidak menetapkan harga belian kepada Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor (SPLASH) adalah punca utama penstrukturan air masih tidak dapat diselesaikan sehingga hari ini.

“Kerajaan persekutuan tidak ada kuasa dan tidak bercadang untuk masuk campur dalam menentukan nilai yang saksama kerana kerajaan Selangor mahu tawarkan kepada SPLASH, jadi adalah tidak wajar kerajaan Persekutuan dituduh sebagai modal politik dan mengalih perhatian sahaja.

“Mereka yang perlu bertanggungjawab dalam isu gangguan air yang terjadi (minggu lalu),” katanya dalam menjawab soalan ahli parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi dalam Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, Selasa.

Budiman dalam soalan beliau meminta kerajaan menjelaskan apakah status penstrukturan semula industri air di Selangor dan mengapa berlaku kelewatan dalam proses penstrukturan sehingga menyebabkan krisis air di Lembah Klang berlaku.

"Pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian penstrukturan air terpaksa lanjutkan tempoh pengambilalihan SPLASH sehingga tiga kali iaitu pada kali pertama selama enam bulan sehingga 6 April 2017, kali kedua enam bulan sehingga 5 Oktober 2017 dan ketiga selama sembilan bulan sehingga 4 Julai 2018," katanya.

Semalam Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian mendakwa gangguan air yang berlaku minggu lalu adalah salah kerajaan Persekutuan kerana SPLASH adalah di bawah kerajaan Persekutuan, dan kerajaan negeri tidak ada hak untuk mencampuri urusan tersebut.

SPALSH adalah pemegang konsesi air yang belum dapat diperoleh Selangor sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula bekalan air.

Kerja-Kerja pembaikan di loji rawatan air yang dkendalikan SPLASH minggu lalu telah menyebabkan gangguan bekalan air hampir seminggu di Lembah Klang.

Dalam pada itu, Maximus turut mempersoal tindakan Azmin yang bertentangan dengan langkah bekas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim kerana masih tidak meletakkan harga belian.

“Azmin ini tidak ada tulang belakang untuk berani letakkan harga mengambil alih SPLASH.

“Kamu sebutkan harga dan esok kita boleh duduk dan lihat berapa banyak kerajaan boleh bantu, jika tidak kamu boleh buat rakyat menderita dengan catuan dan pemotongan air ini,” katanya lagi.

Sementara itu Khalid yang juga Ahli Parlimen Bebas Bandar Tun Razak dalam soalan tambahan bertanya mengenai cadangkan penggunaan Akta 655 yang memberi peluang kerajaan persekutuan menyelesaikan perkara tersebut sehingga selesai dan memberi semula kuasa kepada kerajaan negeri.

Maximus kata Kerajaan perspekutuan sedia timbang untuk menggunakan peruntukan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air atau Akta 655 untuk mengambil alih kawalan operasi konsesi air di Selangor sekiranya krisis air di negeri itu terus berpanjangan.

"Akta 655 boleh pakai atas nama keselamatan negara, jika situasi ini berterusan kerajaan persekutuan akan meneliti perundangan yang ada termasuk, penggunaan Akta 655 namun saya mahu elakkan kerana kami harapkan ada keputusan," katanya.- 13/3/2018 - Oleh NUR ASLINDA NASIR

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 362  tetamu dalam talian