26Jun2017

Isa Samad ke SPAD... Sulaiman Mahbob pangku Pengerusi FGV

Seperti dijangka... Tan Sri Isa Samad dengan rela hati melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Felda Global Ventures (FGV) berkuat kuasa serta-merta selepas menemui Perdana Menteri pagi Isnin.

Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Isa dan Datuk Seri Idris Jala menemuinya di Putrajaya dan beliau rela hati meletak jawatan sebagai Pengerusi FGV.

"Kita telah bincang dengan mendalam tentang masa depan FGV dan juga masa depan peranan Tan Sri Isa.

"Tan Sri Isa denga rela hati bersetuju untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi FGV dan tempatnya diganti dengan Tan Sri Sulaiman Mahboob sebagai pemangku pengerusi.

"Di samping itu untuk menghargai dan memberi peranan terus menerus kepada Tan Sri Isa, saya setuju melantik beliau sebagai pemangku Pengerusi SPAD.

"Jadi dia beralih jawatan sebagai pemangku pengerusi SPAD,"kata Perdana Menteri selepas Majlis Serah Kunci Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Putrajaya tadi.

Dr. Sulaiman Mahbob merupakan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas FGV dilantik sebagai pemangku Pengerusi FGV berkuat kuasa serta-merta.

Jawatan Pengerusi SPAD kosong selepas Tan Sri Hamid Albar bersara awal bulan ini selepas memegang jawatan tersebut selama enam tahun.

Mengulas lanjut mengenai FGV, Najib berkata tindakan dalaman akan diambil untuk menentukan proses keadilan menerusi Board Of Inquiry terhadap apa yang telah berlaku oleh bekas Ketua Eksekutif dan tiga orang pegawai yang lain kerana ini dikehendaki oleh syarikat yang disenaraikan.

"Itu perkara biasa. Bila ada Board Of Inquiry bukan bererti dia bersalah tetapi proses perlu dilakukan dan bila dah selesai nanti pihak Lembaga Pengarah akan buat keputusan yang seadil dan sebaik mungkin,"ujar beliau.

Jelas Najib lagi, penyusunan semula FGV ini mencerminkan hasrat kerajaan meletaklan syarikat itu di atas landasan yang lebih kukuh dari segi pengurusan.

"Mereka memangku for the time being until we make final decision sebab memerlukan perubahan yang segera. Jadi kalau orang baru kena lantik board dan memakan masa. So we want FGV to continue uninterrupted,"jelasnya.

Difahamkan laporan bebas diketuai Datuk Seri Idris Jala mengenai krisis FGV menggariskan empat penemuan utama untuk tindakan selanjutnya.

Laporan itu yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri adalah merujuk kepada tindakan Lembaga Pengarah FGV yang menggantung Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Zakaria Arshad, Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Ahmad Tifli Mohd Talha dan dua yang lain.

Berikut empat penemuan utama yang digariskan:

1. Terdapat fakta yang mencukupi dan alasan munasabah yang bagi Lembaga Pengarah FGV memulakan prosiding disiplin terhadap CEO, CFO dan dua pengurusan tertinggi berhubung dakwaan pelanggaran prosedur dalam Delima Oil Products Sdn Bhd (DOP), FGV perlu teruskan prosiding berkenaan.

2. FGV dicadangkan untuk menubuhkan pasukan "governance quantum leap" bagi memperbaiki tadbir urus dan kawalan perniagaan di peringkat kumpulan dan subsidiari.

3. Laporan bebas dan keputusan yang dibuat kerajaan serta FGV tiada kaitan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SPRM akan mendedahkan hasil siasatan selepas tugas mereka selesai.

4. Bagi menegakkan integriti, semangat kesaksamaan bagi siasatan yang sedang berjalan dan tadbir urus korporat FGV dan DOP yang betul, kerajaan memutuskan melantik Tan Sri Isa Samad sebagai Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi FGV.-19/6/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 714  tetamu dalam talian