18Ogos2018

Ini langkah Anwar seterusnya...

Nampaknya Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh main main waktu dengan janji peralihan kuasanya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah secara rasmi dinobatkan sebagai Presiden PKR.
 
Andaian ini dapat ‘dibaca’ menerusi pendirian disuarakan oleh Anwar secara terbuka pada Khamis beliau terus berpegang pada perjanjian asal Majlis Pimpinan Pakatan Harapan bahawa peralihan kuasa mesti dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan.
 
Tempoh peralihan kuasa dari Dr Mahathir kepadanya yang dipersetujui ialah selepas dua tahun atau lebih sikit selepas menang pilihanraya umum ke 14.
 
Apa yang pasti langkah seterusnya beliau ialah hendak menjadi seorang Ahli Parlimen.
 
Anwar menyatakan pendirian itu dalam sidang akhbar pertama beliau selepas dipilih sebagai Presiden PKR.Hadir sama pada sidang akhbar di ibupejabat PKR dekat Petaling jaya  ialah isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.
 
Beliau antara lain ditanya apakah akan tunggu pilihanraya kecil ‘secara natural’ yakni menerusi pilihanraya kecil bila ada Ahli Parlimen meninggal dunia atau menerusi pengosongan kerusi yakni perletakan jawatan Ahli Parlimen PKR.
 
Kata Anwar beliau mengikuti pelbagai pandangan mengenai hal ini.
 
Baginya adalah satu ‘pandangan bengong’ jika proses itu nak tunggu ‘ secara natural’ yakni bila ada Ahli Parlimen mati.
 
Sebaliknya beliau tidak melihat ia bukan sesuatu yang janggal kenyataan kalangan Ahli Parlimen PKR yang hendak kosongkan kerusi untuk beri laluan padanya.
.
Anwar memberitahu beliau hendak jadi Ahli Parlimen backbencher (tanpa jawatan kerajaan) dulu.
 
‘Saya tahu konsensus dari awal bahawa peralihan kuasa harus berlaku dalam tempoh yang terdekat melalui penyertaan saya dalam parlimen…jadi sekarang kita beri sokongan padu kepada Tun Dr Mahathir menerajui ( kerajaan).
 
“Saya beri kenyataan terbuka bagi ruang penuh beliau kemudi kerajaan...jadi bila saya pilih masuk dalam Parlimen ( adalah) sebagai penyokong kerajaan…itu kedudukan saya,”katanya.
 
Apapun katanya proses itu harus bermula dengan penyertaan beliau dalam Parlimen.
 
“Jangan doakan orang mati cepat…kalau andaian peralihan itu berlaku dalam masa dua tahun…(kalau) tidak ada yang mati…peralihan itu akan berlaku dalam masa lima tahun...saya tidak mahu dialog panjang dalam soal ini.
 
“Tapi saya tengok ada juga pandangan pandangan sebegini ...umpamanya (cara) natural...saya sukar fahami pandangan begini ...(ini pandangan) orang yang kurang arif tentang politik…(bagi saya)  bahawa peralihan ini perkara yang biasa… kerana keputusan itu dibuat semasa saya di penjara lagi.
 
“Konsensus itu berlaku pada (dipersetujui) oleh semua parti ..sebab itu di kalangan pimpinan parti semuanya menyatakan harus berlaku…cuma segera atau tidak…saya jawab tak perlu segera. ..yang perlu disegerakan ialah proses pemilihan parti,”katanya.
 
Ditanya apakah beliau sasarkan untuk jadi Ahli Parlimen secepat hujung tahun ini,Anwar kata,” nanti kita tanya Tok Tenung.”
 
Kata Anwar beliau akan bincang dengan Dr Mahathir untuk beri ruang  kepadanya jadi Ahli Parlimen untuk memulakan proses reform Parlimen supaya kuasa tidak hanya tertumpu pada kabinet.
 
Ditanya apakah beliau tidak menolak peralihan kuasa berlaku dalam tempoh dua tahun  seperti yang dipersetujui atau lima tahun lagi (selepas PRU ke 15 nanti) beliau tegas kata,“saya ikut konsensus sekarang…konsensus sekarang diumum oleh PM  dan dipersetujui oleh Pakatan…kita kekal  konsesnus sekarang.”
 
Ditanya pula apakah mungkin beliau bertanding dalam pilihanraya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Seri Setia di Selangor  yang akan berlangsung pada 8 September,Anwar kata jadi ADUN atau Menteri Besar tidak masuk dalam perancangan politiknya.
 
Anwar ulangi beliau hendak jadi Ahli Parlimen.
 
Mengenai cakap cakap beliau kurang sihat sekarang dan tidak mampu terajui parti,Anwar kata beliau sakit di bahagian bahu dan semakin pulih selepas pembedahan kecil.
 
Katanya ada orang sakit lebih serius seperti sakit otak,sakit buah pinggang dan sakit jantung.
 
Beliau harap soal kesihatanya tidak dijadikan isu.- 9/8/2018
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 503  tetamu dalam talian