15Ogos2018

Ini khabar betul... Bukan Najib umum senarai calon BN

Berbagai khabar angin mengenai tarikh pengumuman calon BN oleh Datuk Seri Najib Razak hari ini terjawab selepas beliau rupanya tidak akan berbuat demikian.

Sebaliknya Najib menurunkan kuasa kepada semua Pengerusi-Pengerusi BN Negeri untuk mengumumkan sendiri senarai calon masing-masing bila-bila masa dari sekarang.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan telah dibuat bahawa semua calon Parlimen dan DUN negeri-negeri diumumkan oleh pengerusi BN negeri-negeri berkenaan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas khabar angin sejak beberapa hari lalu yang kononnya perdana menteri akan menyerahkan watikah pencalonan kepada calon-calon BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) secara berperingkat pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Ahmad Zahid menafikan dakwaan berkenaan dengan berkata: "Khabar angin ini biasalah, janganlah tulis tentang berita yang berasaskan khabar angin. Saya bercakap ini sebagai Timbalan Pengerusi BN, ini bukannya khabar angin, ini khabar betul".

Pada 15 April lepas, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu bahawa BN dijangka mengumumkan senarai calon PRU14 dalam tempoh tujuh atau 10 hari sebelum penamaan calon pada 28 April.-19/4/2018 *gambarfail

----------------------------------


Debaran menanti pengumuman calon-calon BN...


Ada yang sudah mula dipanggil untuk 'ambil gambar' di ibu pejabat UMNO Menara Dato Onn PWTC, tapi tarikh sebenar pengumuman nama calon-calon BN masih belum dimuktamadkan.

Pergi ke mana-mana orang bertanya "bila nak umum calon?" tapi sehinggakini tiada siapa yang tahu, memang menjadi gaya poltik Datuk Seri Najib Razak 'peram sampai masak' baru umum.

Macam umum tarikh bubar juga, jenuh wartawan buat spekulasi sejak 2016 lagi kononnya BN nak buat pilihanraya seawal tahun 2017, lepas Raya Cina lah, tapi akhirnya bubar hanya selepas tempoh penggal lima tahun hampir tamat penggal juga.

Ada desas-desus kata pengumuman calon BN akan dibuat di Dewan Merdeka PWTC pada hari Jumaat malam, namun Agendadaily yang cek balik info dapati  Najib ada program lain pada hari tersebut.

Seorang penyandang kerusi Parlimen BN yang dihubungi pula memberitahu beliau sendiri tidak maklum berhubung perkara tersebut.

"Saya tahu beberapa orang menteri dan timbalan menteri telah dipanggil untuk sesi bergambar (poster calon) di PWTC,"ujarnya.

Difahamkan senarai 90 peratus calon sudah dimuktamadkan tingga hanya beberapa kerusi panas sahaja masih belum selesai.

Antara yang kerusi melibatkan parti komponen BN, contohnya desas desus Parlimen Kapar yang sebelum ini ditandingi MIC hendak ditukar dengan Parlimen Kuala Langat yang sebelum ini ditandingi UMNO.

Walaupun untuk rekod, Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar menafikan perkara tersebut.

Dalam pada itu PAS akan mengumumkan calon bertanding pada hari sama iaitu malam ini (Khamis) dengan lokasi yang berbeza mengikut negeri.

Difahamkan,  Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengumumkan calon di Terengganu yang bertanding pada PRU14 di Rusila, Marang.

Majlis di Selangor akan diadakan di Dato Mohd Taib Grand Ballroom, PERKIM Village, Shah Alam manakala PAS Wilayah Persekutuan pula akan mengadakan majlis pengumuman calon di Dewan Fadhil Noor, KUIZM, Taman Melewar.

Dua hari lalu, Abdul Hadi telah mengumumkan tiga calon Parlimen dan satu calon Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang, Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad diumumkan sebagai calon Parlimen Parit dan Ketua Penerangan PAS Bagan Datuk, Ata Abdul Munim Hassan Adli di Parlimen Bagan Datuk.

Abdul Hadi turut mengumumkan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria sebagai calon DUN Semanggol.

PAS akan turut mengumumkan calon yang akan akan bertanding di lima kerusi Parlimen di Sarawak pada 21 April (Sabtu) ini.

PAS dijangka bertemu BN dan Parti Amanah Negara (PAN) di Samarahan, Batang Lupar dan Batang Sadong serta berhadapan dengan calon BN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Petra Jaya dan Sibuti.

Kesemua kerusi itu adalah kubu kuat BN yang diwakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebelum pembubaran Parlimen ke-13. Untuk rekod, pada PRU13, PAS bertanding di lima kerusi Parlimen di Sarawak tetapi semua calonnya kalah.

Hanya pilihan raya Parlimen dijalankan di Sarawak pada PRU14 kerana pilihan raya negeri telah diadakan pada 2016.

Bagi PH yang terdiri daripada PKR, DAP, PAN dan PPBM, majlis mengumumkan senarai calon PRU14 diadakaan pada 25 April ini selepas mesyuarat besar parti diadakan.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya telah menerima calon yang akan bertanding dan sedang melakukan proses penelitian.

Majlis yang akan dihadiri oleh semua calon PH itu itu dijadual berlangsung di Kuala Lumpur.

Pada Ahad lalu, Wan Azizah telah mengumumkan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon pakatan pembangkang itu untuk bertanding kerusi Parlimen Langkawi.

Tun Mahathir sendiri mengumumkan calon daripada partinya,PPBM yang akan bertanding di enam kerusi parlimen dan 14 DUN Kedah pada PRU14.

Antara calon parti berkenaan adalah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang akan bertanding di Parlimen Jerlun dan DUN Jitra.

Apa-apa pun, pengumuman calon yang bakal dibuat setiap parti bertanding pasti bukan sahaja perlu memiliki kriteria untuk menarik minat rakyat mengundi, tetapi juga perlu mempunyai semangat untuk memperjuangkan kebaikan rakyat.-19/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 713  tetamu dalam talian