14Disember2018

ICERD: Zahid umum UMNO tetap sertai himpunan 8 Disember…

Sekalipun kerajaan Pakatan Harapan sudah umum tidak akan meratifikasi ICERD ekoran bantahan meluas orang Melayu namun UMNO tetap akan hadir pada himpunan 8 Disember di Kuala Lumpur ‘untuk menyatakan rasa terima kasih kepada kerajaan’
 
Keputusan UMNO untuk turut serta pada himpunan itu diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr  Zahid Hamidi dalam ucapan di program Jelajah Presiden bersama kepimpinan dan ahli UMNO Wilayah di PWTC di PWTC Sabtu.
 
Pengumuman itu menjawab tandatanya samaada parti itu akan sertai atau tidak himpunan berkenaan ekoran pengumuman kerajaan yang dibuat menerusi kenyataan media Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat.
 
Sebelum itu Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu walaupun Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan untuk tidak meratifikasikan ICERD, ia tidak akan menghentikan rancangan asal untuk berhimpun di Dataran Merdeka pada 8 Disember.
 
Zahid berkata ,“kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membuat keputusan untuk tidak meratifikasikan ICERD ekoran bantahan besar-besaran yang dibuat oleh orang Melayu.
 
“Maka untuk menyatakan rasa terima kasih itu, maka saya seru agar kita semua berhimpun pada 8 Disember ini, mungkin dengan jumlah yang lebih besar lagi untuk menyatakan rasa terima kasih kepada kerajaan,” katanya
 
Presiden UMNO itu turut mengingatkan segala kemelut penentangan terhadap ICERD sehingga memperlihatkan demonstrasi demi demonstrasi dilakukan di seluruh negara bukan dimulakan oleh UMNO dan PAS sebaliknya oleh kerajaan itu sendiri. 
 
Menurut beliau, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad ketika berucap di United Nation General Assembly (UNGA) sendiri telah menyebut di dalam ucapannya bahawa kerajaan Malaysia bersedia untuk meratifikasikan ICERD di dalam perhimpunan antarabangsa tersebut.
 
“Bukan UMNO mulakan, bukan PAS mulakan. Tetapi wakil negara sendiri ketika berucap di UNGA menyebut mahu meratifikasikan ICERD.
 
 
“Kalau selama 61 tahun keharmonian negara boleh dipertahankan, kenapa perlu membakar minyak yang sebelum ini tidak ada sumbunya untuk dibakar,” tegas beliau.
 
Sebelum ini, terdapat beberapa dakwaan daripada pihak tertentu yang mengatakan kononnya bahawa UMNO dan PAS sengaja menggunakan isu ICERD ini untuk mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.
 
Zahid juga mengingatkan pihak-pihak tertentu agar tidak terus cuba untuk mengusik-usik hati umat Islam dan orang Melayu.
 
“Saya tidak mengajak orang Melayu untuk menyerang orang Cina, orang India atau mana-mana kaum lain di negara ini.
 
“Apa yang saya tegaskan ialah, kita rakyat Malaysia mestilah hidup secara harmoni.
 
“Tetapi tolong jangan kurang ajar, hormat orang Islam, hormat orang Melayu. Kamu dengan agama kamu, kami dengan agama kami.
 
“Untuk kita menghormati agama lain, orang lain juga mesti menghormati agama Islam. Perkara 3 (1) dalam perlembagaan negara menyebutkan Islam sebagai agama persekutuan. Noktah.” Tegasnya.- 24/11/2018
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 338  tetamu dalam talian