Rab05162012

Kemaskini terakhir06:09:10 AM GMT

Back Arkib Arkib Agenda Daily Berita Muka Hadapan Muka Hadapan Azizan hilang kuasa autonomi....Phahrolrazi dan Dr Ismail akhir setuju dilantik semula Exco Kedah

Azizan hilang kuasa autonomi....Phahrolrazi dan Dr Ismail akhir setuju dilantik semula Exco Kedah

  • PDF

mentalon513xxKEMASKINI : Samada krisis PAS Kedah kira selesai atau tidak...itu belum dapat dipastikan lagi.Namun buat sementara waktu ia mungkin reda. Setelah ding dong...akhirnya petang Isnin,dua Exco Kerajaan Negeri Kedah yang tidak sebulu dengan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak mengumumkan mereka setuju dilantik semula ke jawatan itu.

Ini antara lain kerana PAS Pusat setuju terima syarat untuki menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu yang akan mengawasi pentabiran Kerajaan Negeri Kedah.

Bagi pemerhati,kewujudan sebuah jawatankuasa seperti itu dengan sendirinya bermaksud kuasa autonomi Azizan sebagai Menteri Besar 'kena potong'.

Beliau kini merupakan satu-satunya Menteri Besar yang terpaksa mentabir negeri dibawah pengawasan sebuah Jawatankuasa Pemandu.

Syarat mewujudkan jawatankuasa itu dengan sendirinya menunjukkan betapa seriusnya krisis antara Azizan dengan puak Phahrolrazi.

Ia dikira satu-satunya jalan tengah untuk merungkai kekusutan krisis itu yang sudah meletop secara terbuka.

Sebelum ini kedua mereka tetap tidak mahu menerima lantikan semula sebagai Exco hingga mendorong PAS Pusat kena atur ' pertemuan kemuncak' di  kediaman rasmi Menteri Besar Kedah,Seri Mentalon Sabtu malam lalu.Ia berlansgung selama lima jam.

Dalam sidang akhbarnya di Alor Star petang Isnin Phahrolrazi berkata beliau menerima lantikan semula kerana matlamatnya sudah tercapai.

Katanya dengan adanya sebuah jawatankuasa pemandu maka kuasa Menteri tidak lagi mutlak hingga tidak boleh dipersoalkan.

Beliau juga mahu Azizan mematuhi garus panduan yang ditetapkan oleh PAS Pusat. - 5/3/2012




Krisis PAS Kedah: belum beres...pi mai...pi mai...tang tu juga

Tunggu punya tunggu ...sebenarnya sidang akhbar Setiausaha Agung PAS,Datuk Mustapha Ali pagi Isnin  untuk mengumumkan hasil pertemuan isu krsis PAS Kedah di Alor Star Sabtu malam  tidak memberi sebarang 'berita baru'.

Dalam bahasa orang Utara ...pi mai...pi mai..tang tu juga...

Ini bila beliau memberitahu keputusan Jawatankuasa pusat ekoran pertemuan yang sensasi itu ialah Datuk Seri Azizan Razak kakal sebagai  Menteri Besar manakala Datuk Phahrolrazi Zawawi dan  Dr Ismail Salleh wajib menerima lantikan semula sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Kata Mustapha keputusan berkenaan sudah dimaklumkan kepada Phahrolrazi dan Dr Ismail namun setakat ini keduanya belum memberi sebarang jawapan rasmi terima atau tidak.

Menurut beliau pada pertemuan itu semua yang terlibat setuju  apa-apa pun terserah kepada PAS pusat untuk memutuskannya. "Dan kita telah membuat keputusan itu,” katanya.

Bercakap dalam sidang akhbar yang turut hadir adalah dua Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, beliau berkata bagaimanapun Jawatankuasa PAS Pusat  tidak menetapkan sebarang tempoh kepada mereka untuk memberi jawapan.

Mustapha hanya kata mereka yakin kedua mereka akan terima untuk dilantik semula sebagai Exco.

Kalau nak dibuat tafsiran politik,kenyataan Mustapha itu bermaksud mesyuarat selama lima jam yang dihadiri oleh semua top gun Pas Pusat dan Negeri tidak menghasilkan keputusan yang dipersetujui bersama.

Hadir sama di pertemuan di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Mentaloon  dari jam 10 malam Sabtu hingga 3 awal pagi Ahad ialah Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang,Datuk Seri Azizan Razak dan Phahrolrazi sendiri.

Malah baru-baru ini pun Jawatankuasa PAS Pusat sudah mengeluarkan arahan agar kedua mereka dilantik semula sebagai Exco.

Ekoran hal yang tidak beres ini maka tidak hairanlah pengumuman hasil pertemuan itu berlarutan baru hendak diumumkan Isnin.

Kebiasaannya PAS akan mengumumkan hasil sesuatu mesyuarat itu sejurus selesai.-5/3/2012- OLEH ROSLAN BIAN



Perkembangan terbaharu krisis PAS Kedah...Mustapha Ali kata pengumuman Isnin

azizan-excoxx

Semalam Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub kata hari ini...namun Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali yang dihubungi Agendadaily pagi Ahad pula kata paling awal pengumuman rasmi hasil pertemuan selesaikan krisis PAS Kedah di Alor Star hanya dapat dibuat Isnin.

Katanya beliau sendiri ketika itu masih berada di Alor Star. Beliau tidak nampak kemungkinan pengumuman itu dapat dibuat hari ini.

Menurut Mustapha sidang akhbar berkenaan akan dibuat di Kuala Lumpur.

Sementara itu khabar yang berlegar kata ada kemungkinan besar Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh yang tidak ngam dengan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak akan terima lantikan jawatan Exco Kerajaan Negeri.

Tempoh jawatan mereka sepatutnya tamat 7 Mac.Kedua mereka sebelum ini kata tidak mahu terima jawatan itu dan tidak sertai majlis angkat sumpah jawatan bersama lapan Exco lain di Istana Anak Bukit Selasa lalu.

Para pemerhati menilai sekalipun Phahrolrazi dan Dr Ismail ubah fikiran terima semula jawatan Exco ia sesuatu yang tidak mengejutkan langsung.

Ini kerana pimpinan PAS habis-habisan mahu coverline tidak mahu tunjuk parti itu kecoh menjelang pilihanraya umum ke 13.

Krisis mereka dengan Azizan memang berat.Jika tidak....mana mungkin seluruh pimpinan PAS Pusat sampai kena turun untuk buat rundingan khas untuk menyelesaikan masalah.- 4/3/2012



Krsis PAS Kedah: Pertemuan yang panjang di Alor Star...keputusan rasmi akan diumum hari ini

Sehingga berita ini ditulis jam 3.30 pagi Ahad belum dapat diketahui apa hasil pertemuan khas antara pimpian PAS pusat dengan dua puak yang bertelagah dalam kepimpian parti itu di Kedah.

Pertemuan berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Mentaloon,Alor Star.Ia bermula sekitar jam 10 malam Sabtu hingga 3 pagi Ahad.

Pemeriksaan keselamatan yang ketat telah dikenakan keatas yang hadir.

Mereka tidak dibenarkan membawa masuk telefon bimbit dan sebarang alat perakam suara ke dalam  pertemuan itu.

Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang hadir.

Beliau disertai oleh Timbalan Presiden Mat Sabu,Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub yang dilantik jadi perantara antara dua puak yang bertelagah.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak dan Exco Kerajaan Negeri ( yang menolak dilantik semula) yang berentap dengannya iaitu Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh.

Juga Ahli Exco Datuk Amiruddin Hamzah yang ' tersepit' dicelah pertelagahan itu kerana diberi kata dua oleh Phahrolrazi yang juga Ketua PAS Bahagian Kuala Kedah supaya menolak jawatan Exco.

Selain itu para ahli jawatankuasa PAS Negeri Kedah.

Salahuddin yang keluar bertemu dengan wartawan yang berkumpul di luar kediaman rasmi itu sekitar jam 12.30 malam memberitahu keputusan rasmi hasil pertemuan itu akan diumumkan Ahad.

Menurut beliau semasa pertemuan itu kedua pihak telah diberi peluang sekitar sejam untuk membentangkan kes mereka.

Katanya suatu keputusan akan dibuat oleh Jawatankuasa Pusat PAS hasil pertemuan itu.

Beliau bagaimanapun enggan memberi sebarang indikasi mengenainya.

Salahuddin juga tidak dapat memberi kepastian samada pengumuman rasmi keputusan itu akan dibuat di Alor Star atau di Kuala Lumpur.- 4/3/2012




Mesyuarat khas PAS Pusat gagal selesai krisis PAS Kedah...atur pertemuan lain di Alor Star Sabtu malam


Ada kalangan wartawan dan jurugambar sudah terpacak depan Ibupejabat PAS di Jalan Raja Laut,Kuala Lumpur sejak jam 9 malam Khamis.

Dari gembar gembur sebelum ini, bunyinya mungkin ada 'berita besar' hasil dari mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat mengenai krisis PAS Kedah di situ.

Mengikut jadual asal sidang akhbar hasil mesyuarat itu sepatutnya diadakan pada jam 10.30 malam.

Namun tunggu punya tunggu hingga jam 12.30 awal pagi (Jumaat) baru nampak kelibat kalangan pimpinan PAS nak keluar dari bangunan itu.

Sudahlah lama menunggu...peliknya 'sidang akhbar' hanya diadakan di depan pintu masuk utama bangunan itu.

Kebiasaannya sidang akhbar mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS diadakan di bilik mesyuarat di tingkat atas bangunan itu.

Perubahan lokasi ini menyebabkan ramai wartawan dan jurugambar yang tadi menunggu terpaksa bersesak sambil berdiri untuk mendengar apa ceritanya hasil mesyuarat yang penting itu dicelah kebisingan bunyi kenderaan yang lalu lalang.

pas-pc1

Namun dari raut wajah kalangan pimpinan PAS di situ jelas nampak ada yang tidak beres.

Apa yang nyata mesyuarat selama lebih tiga jam itu gagal mencapai suatu keputusan bagi menyelesaikan krisis antara puak Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak dengan puak Datuk Phahrolrazi Zawawi yang makin membara.

Suasananya juga agak kelamkabut.Mulanya Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang dihantar menjadi 'perantara' PAS Pusat ke Kedah baru ini bercakap seketika dengan wartawan.

Belum sempat habis,Timbalan Presiden PAS Mat Sabu yang baru keluar pula mengambilalih untuk bercakap dengan wartawan.

Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang tidak hadir pada mesyuarat malam ini kerana berada di luar negara.

Azizan juga tidak hadir pada mesyuarat ini.

Mat Sabu nampak agak jenuh terpaksa menyusun ayat ketika bercakap untuk mengambarkan krisis di Kedah itu ada harapan untuk selesai.

pcpas

Katanya mesyuarat itu cuma memutuskan satu pertemuan khas akan diadakan antara pimpinan PAS pusat dengan puak Azizan dan puak Phahrolrazi di Alor Star Sabtu malam.

Selain Haji Hadi,semua Persuruhjaya PAS negeri akan turut hadir untuk bersemuka secara langsung dengan puak yang bertelagah itu.

Ini pertama kali PAS Pusat terpaksa menganjurkan satu pertemuan khas serentak dengan puak bertelagah untuk cuba menyelesaikan suatu krisis dalaman parti.

Ia jelas mengambarkan krisis di Kedah sudah sampai  ke tahap ' di luar kawalan' Jawatankuasa PAS Pusat sehingga semua big boss PAS terpaksa kena turun sendiri ke Alor Star.

Menurut Mat Sabu pada mesyuarat malam ini mereka antara lain membincangkan apa yang akan dibincangkan semasa pertemuan di Alor Star nanti.

Katanya setakat ini lokasi pertemuan itu belum ditentukan lagi.

matsabuxx513

Beliau yang nampak nak segera beredar dan tidak mahu jawab banyak soalan mengenai mesyuarat itu kata " dah malam dah..." untuk menamatkan 'sidang akhbar' sekitar lima minit itu.

Hadir sama di situ Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali.-2/3/2012 - OLEH ROSLI ISMAIL


Krisis PAS Kedah...macam dah 'simpul mati'

Kalau mengikut perkembangan terbaru dalam krsis PAS Kedah, Naib Presiden Salahuddin Ayub tentu orang yang paling risau dan pening kepala sekarang.

Ini kerana beliau yang dihantar oleh PAS Pusat untuk 'misi damai' antara Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak dengan puak Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan geng dengan bergaya telah membuat kenyataan bahawa hasil pertemuannya dengan kedua pihak 'POSITIF'.

Apa agaknya beliau nak jelaskan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS malam ini ( Khamis) yang akan diadakan khusus untuk bincang krisis di Kedah.

Krisis itu bergegar macam nak rak petang Rabu bila Phahrolrazi, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah buat kenyataan yang menunjukkan macam krisisnya dengan Azizan sudah kira simpul mati.

Apa tidaknya bila beliau mengarahkan, Datuk Amiruddin Hamzah yang merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah agar meletak jawatan exco sebagai tanda sokongan terhadapnya.

Dakwa Phahrolrazi  arahan berkenaan selaras dengan usul yang diluluskan PAS kawasan itu pada 17 Februari lalu.

Arahan berkenaan menetapkan  bahawa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Kuala Kedah iaitu Amiruddin (Anak Bukit) dan Mohd Nasir Mustafa (Kubang Jerangau) tidak perlu menerima jawatan exco sebagai sokongan untuk beliau.

Kes itu nampak cukup berat bila beliau menegaskan,“Kita beri kata dua kepada beliau, jika ingin bersama PAS Kuala Kedah, kena letak jawatan Exco dan kita anggap isu ini selesai. Jika Amiruddin ingin bersama Menteri Besar, beliau bukan lagi sebahagian daripada PAS Kuala Kedah.”

Menurutnya, ini bermakna Amiruddin tidak dibenarkan terlibat dalam gerak kerja parti atau pengurusan PAS kawasan itu, dan beliau perlu bergerak secara sendirian sebagai Adun Anak Bukit.

Juga Phahrolrazi secara terbuka mengakui hubungannya dengan Azizan kini 'kritikal'.

Peliknya Amiruddin yang angkat sumpah bersama tujuh Exco lain di Istana Anak Bukit pagi Selasa dilaporkan buat macam beliau tidak tahu menahu pasal arahan berkenaan.

Katanya beliau tidak mahu komen sehingga lihat surat arahan itu.

"Saya belum dengar apa-apa mengenai kata dua itu. Mungkin baru lagi kot," beliau dipetik sebagai berkata demikian.

Makanya mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat Khamis malam tentu menjadi perhatian.

Apakah mereka mampu mencari penyelesaian kepada krisis yang paling serius melanda PAS Kedah sejak berjaya menawan negeri itu pada pilihanraya Mac 2008? - ROSLI ISMAIL - 1/3/2012




Krisis PAS Kedah: Selesai yang 'tak selesai'...

Mereka yang berada di Istana Anak Bukit, Alor Star pagi Selasa tentu merasa seolah segalanya 'tenang-tenang' saja melihat majlis angkat sumpah jawatan lapan Exco Kerajaan Negeri Kedah berlangsung lancar.

Namun dicelah kedinginan dewan istiadat majlis di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah itu ada mata yang kelihatan menoleh ke sana ke mari untuk mencari kelibat Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr. Ismail Salleh.

Nama kedua mereka memang tidak ada dalam senarai lapan Exco sekarang yang dilantik semula.Namun secara rasminya kedua mereka masih memegang jawatan Exco sehingga 7 Mac ini.

Sepatutnya atas kaspisiti jawatan Exco mereka perlu hadir pada majlis rasmi di istana itu sekurang-kurangnya atas dasar ' hormat majlis'.

Lapan Exco yang angkat sumpah terdiri dari Datuk Amiruddin Hamzah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib, Lim Soo Nee, Abd Ghani Ahmad, Tan Joon Long @ Tan Chow Kang, Datuk Siti Ashah Ghazali dan S. Manikumar

Ketiadaan Phahrolrazi  yang memegang portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga   dan Dr Ismail  yang pegang portfplio Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi pasti terus menghangatkan krisis PAS Kedah.

Mereka sebelum ini sudah kata tidak akan terima lantikan semula jawatan Exco.

Apapun ketiadaan mereka di majlis itu menandakan usaha ' last minute' PAS Pusat dengan menghantar Naib Presiden,Salahudin Ayub jadi perantara untuk selesai isu antara mereka dengan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak tidak berhasil.

Tidak kurang menarik ialah Azizan selaku Menteri Besar  kata orang  Utara ' buat kering ' kata  pada wartawan Isnin beliau bersedia memaafkan Phahrolrazi dan Dr Ismail.

Azizan menegaskan, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan kedua-dua Exco tersebut dan boleh menerima mereka semula.

"Saya tak ada masalah dengan depa. Kalau ada orang nak pujuk, depa mau, saya terima. Saya juga tak kisah depa nak terima atau tidak tawaran sebab ada orang lain mau  jawatan ini," katanya.

Kalau hendak ditafsirkan kata-kata Azizan dalam ' bahasa kasar' bermaksud...mau OK...tak mau sudah.

Dari sudut pandangan pemerhati politik majlis angkat sumpah lapan Exco  menunjukkan Azizan masih mampu bertahan setakat ini sekalipun digoncang badai.

Usaha untuk ' jolok' kedudukannya sudha lama kedengaran sebelum ini sekalipun PAS  memang kuat berahsia untuk tutup krisis dalaman parti.

Cerita yang luas tersebar mengatakan Phahrolrazi dan Dr Ismail antara yang tidak puashati dengan kepimpinan Azizan.

Juga Phahrorlrazi dikatakan mengintai jawatan Menteri Besar.

Bagi sesetengah pihak ia adalah pertentangan antara puak Erdogan yang  berkiblatkan pada Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan puak yang tidak mahu ' orang luar' menguasia mereka.

Namun api dalam sekam politik PAS Kedah itu tidak dapat ditutup lagi bila PAS Pusat - anihnya - terpaksa campurtangan mahu juga kedua mereka dilantik semula sebagai Exco.

Kini semua orang menanti untuk melihat perkembangan seterusnya selepas selesai majlis angkat sumpah jawatan lapan Exco ini.

Apakah Phahrolrazi dan Dr Ismail akan ' melutut' balik bermaaf-maafan dengan Azizan atau berpegang kepada pendirian mereka sebelum ini.

Kedua mereka bukan ' kecik anak' kerana merupakan orang nombor dua dan tiga dalam hiraki kepimpinan PAS Kedah.

Kalau ikut perkiraan politik,pada saat ini..bola di kaki mereka bila Azizan kata beliau sedia maafkan mereka berdua.

Dan..kalau ikut istilah permainan chess....Azizan ibarat sudah kata ' checkmate' -28/2/2012 - OLEH ROSLI ISMAIL



Lapan anggota Exco Kedah terima pelantikan semula... Phahrolrazi dan Dr Ismail tiada dalam senarai


Lapan anggota Exco kerajaan negeri Kedah menerima tawaran pelantikan semula untuk menyandang jawatan berkenaan bagi 2012 dan akan mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit di sini esok.

Mereka ialah Datuk Ir Amiruddin Hamzah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul, Lim Soo Nee, Abd Ghani Ahmad, Tan Joon Long @ Tan Chow Kang, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib, Siti Aishah Ghazali dan S. Manikumar.

Bernama melaporkan difahamkan mereka menerima surat pelantikan masing-masing pada 12 tengah hari tadi, dan semua Exco berkenaan mengesahkan untuk hadir ke majlis angkat sumpah itu.

Amiruddin adalah Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan; Mohamed Taulan (Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi) dan
Soo Nee (Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia.

Abd Ghani merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Usahawan; Joon Long (Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan; Hamdan (Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan
Warisan, Kebudayaan); Siti Aishah (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat) dan Manikumar (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam.

Sementara itu, nama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Phahrolrazi Zawawi,  (gambar bersama Dr Ismail diatas) yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi negeri, Datuk Dr Ismail Salleh yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, tidak ada dalam senarai mengangkat sumpah esok. – 27/2/2012





Kedah makin kalut...PAS Pusat desak Azizan kekalkan 10 Exco

Sudah tidak boleh sorok dan berpura-pura macam tak ada apa berlaku, kerana pagi Isnin PAS Pusat terpaksa panggil sidang media tergempar dan umum 'arahan' bagi menyelesaikan 'hu ha' dalam kepimpinan kerajaan Negeri Kedah, yang makin kelam-kabut sejak dua tiga hari lepas terutamanya berkenaan pelantikan semula barisan Exco.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, parti akan menghantar wakil untuk bertemu dua Exco dan Menteri Besar negeri itu, pada Selasa.

“Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub akan ke sana dan akan bertemu semua pihak bagi menyelesaikan masalah yang berlaku. Kami yakin kesemua 10 Exco sebelum ini akan dikekalkan," kata beliau pada sidang media ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.


Untuk rekod ,PAS jarang mahu mengakui ada krisis dalam parti. Tindakan Ini dikatakan menandakan krisis di Kedah itu sudah macam gunung berapi nak meletup. 

Mustafa mengakui bahawa konflik berkenaan membabitkan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kedah, Datuk Ismail Salleh yang telah menghantar surat kepada Azizan bagi menyatakan keengganan dilantik semula ke jawatan itu yang dijadual diumumkan pada Selasa.

Dengan 'arahan' ini, katanya lagi, PAS Pusat terpaksa masuk campur secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri kerana sebelum ini Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak hanya mahu lapan orang Exco mengangkat sumpah pada Selasa, yang katanya berkaitan dengan undang-undang.

Bagaimanapun, walau cuba masuk campur, Mustapa Ali berkata keputusan muktamad terletak kepada Azizan.

"Semua 10 mereka adalah penting bagi pentadbiran negeri ini," kata Mustafa.

"Memang ada perbezaan pendapat dalam isu-isu tertentu dan cara ia dikendalikan... tetapi perbezaan ini, boleh diselesaikan," katanya.

Semalam, Azizan dilaporkan berkata hanya lapan ahli exco kerajaan negeri Kedah akan mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit, Selasa, berbanding 10 sebelum ini.

"Saya sudah muktamadkan (tentang pelantikan exco), cuma ada sedikit masalah teknikal dari segi undang-undang sebab semua exco akan tamat tempoh pada 7 Mac ini.

"Jadi tak boleh nak angkat sumpah 10 orang exco pada 28 Feb ini sebab akan jadi 12 exco lah nanti sebab tarikh tamat tempoh tak sampai lagi... exco tak cukup tak apa, jangan lebih (ikut undang-undang tubuh Kedah)," katanya.

Exco yang disebut-sebut tidak akan dilantik semula itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga Datuk Phahrolrazi Zawawi (bawah) yang merupakan timbalan pesuruhjaya I PAS Kedah.

Manakala seorang lagi adalah Pengerusi Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi negeri Datuk Dr Ismail Salleh yang juga adalah timbalan pesuruhjaya II PAS Kedah.

Sementara itu nama Phahrolrazi dan Ismail tidak ada dalam senarai raptai angkat sumpah jawatan Exco di Istana Anak Bukit pagi Isnin.

Juga dari jumlah lapan yang sepatutnya angkat sumpah esok hanya lima yang hadir.

Mereka ialah Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, Abd Ghani Ahmad, Lim Soo Nee dan Tan Chow Kang.

Tiga yang tidak hadir ialah Datuk Siti Ashah Ghazali, Datuk S Manikumar dan Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib.

Bagaimanapun setakat pagi Isnin semasa hadir raptai itu semua mereka belum lagi terima surat rasmi tawaran jawatan Exco atau porffolio masing-masing.- 27/2/2012 - OLEH HELME HANAFI


Hanya lapan Exco angkat sumpah Selasa ini - Azizan


Hanya lapan anggota exco kerajaan negeri Kedah bagi 2012 akan mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit pada Selasa ini, berbanding 10 sebelum ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata lapan individu terbabit bukan muka baru.

Bercakap kepada pemberita di Alor Star Ahad, Azizan bagaimanapun berkata dua lagi jawatan exco akan diisi kemudian dan mungkin melibatkan pelantikan baru.

"Saya sudah muktamadkan (tentang pelantikan exco), cuma ada sedikit masalah teknikal dari segi undang-undang sebab semua exco akan tamat tempoh pada 7 Mac ini.

"Jadi tak boleh nak angkat sumpah 10 orang exco pada 28 Feb ini sebab akan jadi 12 exco lah nanti sebab tarikh tamat tempoh tak sampai lagi... exco tak cukup tak apa, jangan lebih (ikut undang-undang tubuh Kedah)," katanya.

Bernama melaporkan Azizan berkata setiap anggota exco yang dilantik mempunyai hak untuk menolak pelantikan itu dan pihaknya tidak ada masalah untuk melantik individu lain kerana ramai yang menawarkan diri untuk jawatan terbabit.

"Mereka boleh tolak (jika dilantik), saya lantik orang yang tak tolak. Senarai semua nama sudah dihantar kepada Tuanku (Sultan Kedah)," katanya.

Sebelum ini wujud khabar angin dua exco Kedah menghantar surat kepada Azizan bagi menyatakan keengganan dilantik semula ke jawatan itu yang dijadual diumum Selasa ini.

Dua exco yang disebut-sebut berbuat demikian ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga Datuk Phahrolrazi Zawawi yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS
Kedah, dan Pengerusi Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi negeri Datuk Dr Ismail Salleh yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kedah.

Mereka dipercayai berbuat demikian kerana kecewa dengan sikap serta kepemimpinan Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, berhubung pelbagai isu yang melanda pentadbirannya sejak kebelakangan ini. - 26/2/2012




Saya ada hak lantik exco tanpa rujuk Presiden PAS - Azizan

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata pemilihan exco kerajaan negeri adalah hak beliau tanpa perlu merujuk kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Azizan berkata beliau telah menyerahkan senarai nama exco kerajaan negeri bagi 2012 kepada Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang juga Yang di-Pertuan Agong, dua hari lepas di Istana Negara.

"Walaupun Sultan Kedah menjadi Yang di-Pertuan Agong, segala pelantikan exco kerajaan negeri masih dalam bidang kuasa baginda, dan saya tak akan buat sebelum dapat perkenan baginda kerana ia tradisi kerajaan negeri.

"Biasanya, Tuanku Sultan akan perkenan, (terpulang kepada) baginda tolak yang tu (exco lama), dan bagi yang ni (exco baru), dan bila dapat surat, baru boleh bagi tau," katanya kepada pemberita Jumaat malam.

Beliau berkata senarai exco dari Pejabat Sultan Kedah dijangka diterima Ahad ini.-24/2/2012


Gelora politik PAS Kedah... Dua exco kanan tidak  dilantik semula?

Percaturan politik kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah kembali 'panas' diperkatakan orang berikutan ura-ura dua exco kanan dari PAS tidak dilantik semula dalam majlis yang akan diadakan di Istana Anak Bukit, Alor Setar Kedah pada 28 Febuari ini.

Kedua-dua mereka dari PAS iaitu Pengerusi Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi negeri, Dr Ismail Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi

Khabar angin mereka digugurkan merebak dengan cepat selepas kedua-dua exco tersebut enggan menghadiri majlis pelantikan itu.

Untuk rekod, Phahrolrazi antara nama yang disebut-sebut menggantikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebelum ini.

Memang diketahui umum, kepimpinan Azizan tidak disenangi sesetengah pihak dalam PR, sehingga dilaporkan beliau akan 'diminta' mengambil cuti dari jawatan tersebut bagi membolehkan ianya dipangku oleh orang lain.

Sementara itu, Bernama melaporkan Phahrolrazi dan Ismail tidak mengesahkan atau menafikan khabar angin itu dan hanya menyerahkan perkara itu kepada Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Ismail mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.

Seorang lagi exco, Phahrolrazi yang turut dikaitkan dengan khabar angin itu berkata belum masanya beliau membuat sebarang kenyataan dan jika perlu, satu sidang akhbar berkaitan perkara itu akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Azizan berkata surat tawaran kepada setiap exco masih belum dihantar dan beliau hairan bagaimana spekulasi itu boleh timbul.

"Masih ada banyak masa untuk semua itu. Surat tawaran akan dihantar oleh pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kepada exco yang dilantik dan sebarang perubahan atau rombakan terhadap pelantikan itu akan diketahui pada 28 Februari ini," katanya.

Katanya beliau tidak boleh mengumumkan apa-apa kerana pelantikan belum dibuat dan surat tawaran pun masih belum dikeluarkan lagi.

Majlis pelantikan anggota-anggota exco kerajaan negeri Kedah bagi tahun 2012 akan diadakan pada Selasa depan di Istana Anak Bukit di Alor Setar.

Penolong Setiausaha (Pengurusan Korporat) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Noor Akmar Mohd Omar, berkata majlis itu akan bermula pada 9.30 pagi dan dijangka berlangsung selama dua jam.

Beliau berkata majlis akan dimulakan dengan acara mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah oleh anggota exco diikuti dengan pengurniaan tauliah pelantikan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Noor Akmar berkata istiadat penganugerahan bintang-bintang serta pingat-pingat kebesaran sempena dengan perayaan ulang tahun Keputeraan Sultan Kedah yang ke-84 akan diadakan selepas itu.-23/2/2012


IKLAN

Mari memancing udang di Pusat Memancing UdangGalah Tuah.

Inginkan perfume original sila lawat dan like XINXARA.

Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.

Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.

Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.

Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.