22Oktober2017

Exco DAP Pulau Pinang,pengarah dan pengurus kilang haram kena reman lima hari

Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang dari parti DAP ,Phee Boon Poh dikenakan tahanan reman lima hari untuk siasatan SPRM kes sebuah kilang di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

Turut sama dikenakan reman lima hari ialah lelaki dua beranak, masing-masing berusia 70 dan 37 tahun, yang merupakan pengarah dan pengurus kilang berkenaan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan keatas mereka oleh Penolong Pendaftar Ameera Mastura Khamis selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret di Georgetown Sabtu.

Phee yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang serta dua beranak yang berbaju lokap SPRM dan bergari, tiba di perkarangan mahkamah dengan menaiki tiga kenderaan sambil diiringi pegawai SPRM pada 10.10 pagi.

Exco yang berusia 66 tahun dan lelaki dua beranak itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Peguam R.S.N Rayer dan Ramkarpal Singh mewakili exco itu manakala dua beranak terbabit diwakili peguam Dev Kumaraendran.

Rayer berkata pihaknya akan cuba untuk memfailkan permohonan untuk mencabar perintah reman lima hari terhadap anggota exco berkenaan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.

Terdahulu, beberapa exco kerajaan negeri Pulau Pinang dan anggota dewan undangan negeri (ADUN) bersama penyokong exco itu berkumpul di perkarangan mahkamah dengan membawa sepanduk sebagai tanda solidariti kepadanya.

SPRM menahan exco berkenaan pada 3.35 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang bersama Rayer selepas pejabatnya di tingkat 53, bangunan Komtar di sini dikunjungi lima pegawai SPRM pada 11.30 pagi.

Lelaki berusia 70 tahun itu pula ditahan pada pukul 6.05 petang manakala anak lelakinya ditahan pada 6.25 petang semalam, juga di pejabat SPRM Pulau Pinang.

Khamis lepas, SPRM menjalankan operasi terhadap sebuah kilang haram memproses serbuk kayu yang dipercayai mencemarkan alam sekitar di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

SPRM turut mengambil beberapa dokumen daripada pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda, Bukit Mertajam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sepasukan pegawai SPRM tiba di bangunan MPSP kira-kira 10.30 pagi dan beredar dari pejabat pihak berkuasa tempatan itu bersama beberapa dokumen kira-kira tiga jam kemudian.

Menurut sumber, dokumen itu diambil bagi membantu siasatan kes kilang memproses serbuk kayu yang dikatakan beroperasi sejak 10 tahun lepas tanpa permit di atas tanah berstatus tanah pertanian.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan ADUN Penanti daripada Parti Keadilan Rakyat Dr Norlela Ariffin pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri.- 12/8/2017




Exco kerajaan DAP Pulau Pinang ditahan SPRM...

Exco kanan kerajaan DAP Pulau Pinang Phee Boon Poh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang Jumaat dipercayai ada kaitan dengan operasi sebuah kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, 'panas punggung' selepas SPRM membuat serbuan ke pejabatnya pagi tadi.

Pada pagi Khamis, SPRM menyerbu kilang haram yang dikatakan kebal tersebut dan sebelah petangnya menyerbu pejabat Majlis  Perbandaran Seberang Perai.

Boon Poh ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 2.45 petang tadi bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes itu dan dijangka direman di Mahkamah Sesyen di sini pagi esok.

Dalam pada itu, peguamnya, R.S.N Rayer berkata, pihaknya ketika ini masih tidak mendapat maklumat jelas berhubung penahanan Boon Poh serta tuduhan yang dikenakan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu berkenaan.

Boon Poh merupakan pemimpin senior DAP Pulau Pinang dan merupakan Exco kerajaan negeri kedua yang ditahan SPRM selepas bekas Exco Johor Datuk Latif Bandi ditahan dan didakwa di mahkamah baru-baru ini.-11/8/2017



Pegawai SPRM serbu pejabat Exco DAP Kerajaan Pulau Pinang

Lima pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat menyerbu pejabat anggota Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh di Tingkat 53, bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di Georgetown.

Serbuan itu dipercayai bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.

Lima pegawai itu tiba di pejabat Phee kira-kira 11.30 pagi.

Semalam, SPRM mengambil beberapa dokumen dari pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sepasukan pegawai SPRM tiba di bangunan MPSP kira-kira 10.30 pagi dan beredar dari pejabat pihak berkuasa tempatan itu bersama beberapa dokumen berkaitan kira-kira tiga jam kemudian.

Menurut sumber, dokumen itu diambil bagi membantu siasatan kes kilang memproses serbuk kayu yang beroperasi sejak 10 tahun lepas dikatakan tanpa permit di atas tanah berstatus tanah pertanian.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan Anggota Dewan Undangan Negeri Penanti Dr Norlela Ariffin pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri pimpinan DAP malah sesetengah kilang itu tidak mengikut garis panduan keselamatan, selain tidak mematuhi prosedur alam sekitar.- 11/8/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 769  tetamu dalam talian