12Disember2018

ECRL : Jangan mangsakan 1,000 pekerja dan keluarga mereka...- Ismail Sabri

UMNO kesal dan amat bimbang dengan laporan mengenai kira-kira 1,000 pekerja ECRL diberhentikan kerja berikutan tindakan kerajaan menggantung statusnya pada 3 Julai lalu.
 
Sambil meminta pekerja terbabit bersabar, UMNO menyifatkan langkah kerajaan berdolak-dalik mengenai projek itu sebagai tidak profesional.
 
Tindakan menabur pasir ke dalam periuk 1,000 pekerja itu, yang 70 peratus daripadanya adalah rakyat Malaysia, kerajaan turut menutup ruang penduduk setempat di sepanjang laluan projek itu untuk menambah pendapatan seringgit dua.
 
Inikah kerajaan 'adil dan berperikemanusiaan' yang dilaung-laungkan selama ini?
 
Langkah mengkaji semula kos ECRL memang harus dipuji tetapi isu kemanusiaan di dalam perkara ini perlu diberi perhatian, termasuk nasib pekerja asing yang hilang kerja dan pendapatan untuk terus hidup di negara ini.
 
Menurut laporan Channel News Asia yang berpangkalan di Singapura, kesan penggantungan projek itu sudah pun dirasai oleh pekerja terbabit.
 
China Communications Construction Company yang menjadi kontraktor utama projek ini, sudah pun menghantar pulang tenaga kerja separa profesional dan profesionalnya pulang bagi menjimatkan kos.
 
Projek bernilai RM94.5 bilion itu kini dalam proses 'tawar-menawar semula' dengan China, dan diharap tidak dibatalkan terus seperti projek keretapi laju Kuala Lumpur dan Singapura (HSR).
 
Dalam kes HSR, Singapura memberi tempoh sehingga 31 Julai bagi Malaysia menyediakan laporan secara bertulis mengenai pembatalannya. Pertanyaan kepada Lim Guan Eng, apakah kita akan membayar balik kos yang sudah disediakan oleh republik itu, dan berapakah jumlahnya?
 
Demi kebajikan pekerja ECRL terbabit, UMNO berharap rundingan dengan kerajaan China bagi 'mengecilkan' projek itu serta kosnya, akan tercapai secepat mungkin, demi membolehkan mereka diserap semula.
 
Mengapakah kerajaan tidak sedikit pun bersimpati, kepada nasib 1,000 pekerja ECRL ini, malah puluhan ribu lagi yang kehilangan kerja, sama ada dipecat dan diberhentikan oleh kerajaan!
 
Pembinaan ECRL juga amat dinanti-nantikan oleh penduduk Pantai Timur. ECRL dijangka akan dapat mengurangkan jurang pembangunan di antara Pantai Timur & Pantai Barat yang mana pantai barat jauh lebih maju dari Pantai Timur.
 
ECRL pasti nya juga akan membangunkan bandar-bandar kecil yang mempunyai stesen persinggahan. Sebagai contoh di Temerloh di mana ramai yang akan berulang-alik bekerja di Kuala Lumpur atau Kuantan kerana jangkamasa yang singkat menggunakan ECRL.
 
Kesannya sektor perumahan akan berkembang dan tanah penduduk luar bandar akan meningkat nilainya. Selain itu, perniagaan usahawan kecil akan berkembang.
 
ECRL juga akan merubah keadaan pengangkutan awam atau public transport di Pantai Timur. Jika ketika ini hanya ada bas ekspres, maka dengan adanya ECRL, ia akan menjadi medium pengangkutan terbaikkepada penduduk Pantai Timur terutamanya di Kelantan. Jika sewaktu hari raya untuk sampai ke kelantan memakan masa 12 - 15 jam maka dgn ECRL hanya tiga setengah jam sahaja.
 
UMNO berharap jangan hukum rakyat di Pahang, Terengganu dan Kelantan hanya semata-mata mereka memilih pembangkang.
 
Jangan mangsakan 1,000 pekerja dan keluarga mereka.
 
Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob
Naib Presiden UMNO
Kuala Lumpur
21 Julai 2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 281  tetamu dalam talian