24Mac2017

Dua suspek wanita pembunuh Jong-nam hanya 'kaldai'...?

Makin menarik plot-plot 'spy games' pembunuhan perisikan yang mengejutkan dunia membabitkan abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Ini selepas ada kemungkinan kedua-dua wanita yang ditahan polis sebelum ini hanyalah 'kaldai' yang mungkin dipergunakan oleh perisik asing untuk membunuh Kim Jong-nam.

Dalam laporan muka depan dan memetik sumber, akhbar Utusan pada Jumaat mendedahkan ejen perisik yang mempergunakan dua wanita terbabit, Siti Aisyah, 25, yang merupakan warga Indonesia dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, tidak akan mendedahkan identitinya kepada mereka.

“Mereka mungkin dipergunakan untuk terlibat secara langsung de­ngan pembunuhan tersebut supaya identiti perisik terbabit tidak terdedah. Ini adalah taktik perisikan yang dipanggil cut out,” katanya.

Dalam pada itu, sumber lain mendedahkan, Siti Aisyah yang ditahan hari ini tidak mempunyai rekod kemasukan yang sah ke negara ini.

Menurutnya, suspek utama itu ditahan selepas teman lelakinya, Muhammad Farid Jalaluddin, 26, yang merupakan warga tempatan diberkas polis di Ampang, Selangor petang semalam dan kali terakhir direkodkan masuk ke negara ini pada 16 November tahun lalu melalui Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut, Johor Bahru.

“Wanita itu kemudian direkodkan keluar dari negara ini ke satu lokasi yang tidak diketahui menggunakan pesawat tambang murah pada 21 Januari lalu. Bagaimanapun, tiada rekod kemasukan semula wanita itu ke negara ini selepas itu,” katanya.

Tambah sumber, Thi Huong memasuki Malaysia pada pukul 12 tengah malam 4 Februari lalu.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataan berasingan mengesahkan penahanan Siti Aisyah pada pukul 2 pagi ini di lokasi yang tidak didedahkan serta penangkapan Muhammad Farid semalam.

“Ketika ditahan, wanita itu bersendirian dan pemeriksaan awal mendapati pasport miliknya dikeluarkan di daerah Serang, Indonesia. Teman lelakinya kini sedang direman untuk membantu siasatan penglibatannya dengan pembunuhan Jong-nam,” katanya.

Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah terkini tangkapan suspek pembunuhan berprofil tinggi Jong-nam sebanyak tiga orang.

Sementara itu, Agendadaily difahamkam isteri kedua Kim Jong-nam, meminta bantuan kerajaan China menuntut untuk mayat suaminya.

Permintaan itu dibuat melalui Kedutaan China di Kuala Lumpur.

Tiada maklumat lanjut diperoleh kecuali mayat berkenaan tidak akan dilepaskan sehingga pihak berkuasa menerima laporan penuh bedah siasat.

Laporan dijangka keluar dalam masa seminggu.

Jong-nam, 46, adalah anak sulung pemimpin Korea Utara Kim Jong Il.

Jong-nam menjadikan Macau kediamannya sejak sekian lama sebagaimana dilaporkan di mana isteri ke-2 dan anaknya berada.

Bagaimanapun, mendiang juga selalu ke Beijing menemui isteri pertama dan anaknya yang tinggal di sana.

Jong-nam memasuki Malaysia pada 6 Februari, mendapatkan bantuan perubatan di kaunter perkhidmatan Kuala Lumpur Interational Airport 2 (klia2) pada 13 Februari, beberapa jam sebelum penerbangan ke Macau.

Beliau meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Bedah siasat dijalankan di Hospital Kuala Lumpur bagi menentukan punca kematian.

Korea Utara sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kematian meminta mayat berkenaan diserahkan tanpa bedah siasat. Bagaimanapun, permintaan itu ditolak.-17/2/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 901  tetamu dalam talian