10Disember2018

Drama ‘gelak besar’ Dr Mahathir-Anwar di Port Dickson...

Gelak besar…dengar cerita ramai juga yang tumpang gelak sama melihat drama di pentas utama kempen pilihanraya kecil kawasan Parlimen Port Dickson Isnin malam yang pertama kali menampilkan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Malah ada yang mengaitkannya dengan dailoq dalam sebuah filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee…’baik…baik ada makna tu’.
 
Ini bila mengenangkan sejarah panjang bermula 1998 bila mana Dr Mahathir dan Anwar boxing sakan.
 
Sejak itu kemelut politik negara terus diselubungi oleh dua personaliti ini sehinggalah mereka kembali berpadu tenaga menjelang pilihanraya umum ke 14 untuk menumbangkan kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Dr Mahathir turun padang kempen pilihanraya kecil Port Dickson untuk membuktikan cakap cakap beliau dan Anwar bergaduh tidak benar.
 
Bukan rahsia lagi ada dikalangan orang termasuk dalam Pakatan Harapan sendiri yang masih ragu macam macam termasuk betulkah DR Mahathir akan serah kuasa kepada Anwar dalam tempoh dua tahun seperti yang dijanjikan.
 
Hadirin di majlis kempen itu dihidangkan oleh Dr Mahathir dan SAnwar dengan imbasan kisah lampau sengketa mereka berdua dan bagaimana mereka sudah kuburkan permusuhan itu atas alasan demi nak selamatkan negara.
 
Serentak dengan itu mereka saling angkat mengangkat satu sama lain termasuk Anwar isytihar Dr Mahathir adalah pemimpin terbaik masa kini untuk memimpin negara dan beliau cukup sayang padanya sebagai bapa dan pemimpin.
 
Ketika segala usaha kini dilakukan untuk korek segala macam ‘al kisah’ pemimpin pemimpin kerajaan BN dulu menerusi siasatan SPRM dan sebagainya…kedua pemimpin Pakatan Harapan seolah sudah ambil pendirian bersama ‘to forgive and forget’ segala tuduh menuduh yang sensasi antara mereka.
 
Dr Mahathir dan Anwar tampil ibarat ‘ bayi suci’ yang tidak ada cacat cela langsung.
 
Sebaliknya kalau buka balik klip klip video di youtube ada yang bertanya apakah semua itu boleh dipadamkan ibarat petik suis begitu sahaja.
 
Banyak hal yang perlu pencerahan dan penjelasan.
 
Anwar pernah mendakwa macam macam keburukan pasal Dr Mahathir termasuk kekayaan anak anaknya.
 
Dr Mahathir tidak kurang hebat lanyak Anwar termasuk isu moralnya.
 
Baru ini kata Dr Mahathir beliau tidak pernah mohon maaf pada Anwar dan pemipin utama PKR itu balas balik beliau sendiri tidak memohon kemaafan itu.
 
Segalanya kelihatan cantik dan indah belaka antara Perdana Menteri dan bakal Perdana Menteri ini.
 
Dr Mahathir sendiri pernah kata ‘Melayu mudah lupa’….mungkin harapan mereka rakyat negara ini akan lupa segalanya dan life goes on macam tidak ada apa yang pernah berlaku termasuk perpecahan kuasa politik Melayu yang serius angkara sengketa mereka dulu.
 
Ketua UMNO Bahagian Maran Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin telah menulis satu komentar ringkas yang menarik di laman facebook beliau mengenai episod drama Dr Mahathir-Anwar di Port Dickson.
 
Katanya : Walaupun saya lahir dalam keluarga politik, membesar mendengar dan menyaksikan pelbagai peristiwa kisah politik negara hingga saya sendiri menjadi seorang ahli politik, peristiwa di PD malam tadi betul-betul membuat saya terkesima.
 
Anwar Ibrahim dan Mahathir duduk sepentas selepas 20 tahun. Bukan setakat duduk tetapi bercanda mesra. Berkongsi kuasa dan juga rasa?
 
Walaupun asasnya dunia politik itu dikatakan tiada istilah " permanent friends or enemies" tetapi aksi dua figura ini memualkan saya. 
 
Kepada mereka yang menjadikan mereka idola pastinya peristiwa malam tadi sebagai satu kemuncak kepuasan meraikan kejayaan PRU yang lepas tetapi kepada saya, yang pernah juga satu ketika dulu mengkagumi kedua-duanya, bagai melihat satu karya wayang kulit kisah dongeng penglipur lara. Ada rasa nak ketawa.
 
Ya, ternyata, akhirnya kuasa boleh melupakan dosa yang dicipta. Dan untuk kuasa juga, satu dosa baru direka dan dicipta untuk mengisi ruang kebencian di mata rakyat jelata.
 
Kita tunggu sahaja episod seterusnya.- 9/10/2018
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 353  tetamu dalam talian