21Oktober2018

Dr Mahathir pertahan cadangan projek kereta nasional kedua…

Sekalipun sudah timbul bantahan mengenai idea hendak mewujdukan projek kereta nasional kedua ekoran masalah dan beban kewangan menampung Proton dulu,Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya set nak jalan terus.
 
Beliau memberi alasan Proton tidak lagi merupakan kereta nasional setelah sebahagian sahamnya dijual kepada China dan pengusaha negara itu kini telah diberi hak untuk menguruskan Proton.
 
Bercakap kepada wartawan Malaysia di Tokyo ketika mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke Jepun pada Selasa Perdana Menteri berkata, projek kereta nasional baharu akan membantu meningkatkan keupayaan kejuruteraan Malaysia.
 
Katanya  ketika beliau mula melaksanakan projek kereta Proton pada tahun 1980-an, Malaysia tidak mempunyai pengetahuan langsung mengenai cara membuat kereta tetapi secara beransur-ansur memperoleh pengetahuan untuk mereka bentuk, membuat dan mengeluarkan kereta secara besar-besaran selama lebih daripada dua dekad.
 
"Malangnya Proton telah dijual kepada orang China yang telah diberi hak untuk menguruskan Proton, jadi Malaysia sekarang tidak memanfaatkan kemahiran terbabit," katanya kepada wartawan Malaysia ketika mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke Jepun pada Selasa.
 
Dr Mahathir, yang pertama kali mendedahkan rancangan untuk inisiatif nasional baharu bagi Malaysia di Persidangan Nikkei di Tokyo Isnin semalam berkata, terdapat keperluan untuk mewujudkan peluang bagi jurutera Malaysia melakukan sesuatu dengan sendiri di Malaysia.
 
Dr Mahathir berkata agak banyak syarikat kejuruteraan Malaysia terpaksa ditutup kerana mereka tidak dapat membekalkan barangan mengikut permintaan pemilik atau pengurus baharu Proton.
 
"Kita perlu menghidupkan mereka semula kerana keseluruhan idea mengenai pelaburan dalam kereta nasional bukan sekadar membina sebuah kereta nasional, ia menjadi pemangkin untuk meningkatkan keupayaan kejuruteraan Malaysia," kata Perdana Menteri.
 
Menurut beliau, itu adalah apa yang sebenarnya berlaku dengan projek Proton.
 
Dr Mahathir berkata, industri automotif adalah pasaran yang sangat besar.
 
"Di seluruh dunia, syarikat memperolehi komponen kereta melalui penyumberan luar, kita boleh menghasilkan komponen kereta berjenama di Malaysia dan mengeksportnya yang akan menghasilkan banyak pertukaran asing," katanya.
 
Dr Mahathir berkata, sesiapa sahaja yang mahu terlibat dalam projek kereta baharu itu perlu mengemukakan cadangan.
 
"Jika cadangan itu baik, kita perlu memberi peluang kepada mereka. Bagaimanapun, kita tidak mahu memberi lesen kepada orang untuk mereka jual (kepada pihak lain). Ini adalah sesuatu yang kerajaan ini akan hentikan," katanya.
 
"Sekiranya kita memberi lesen kepada orang itu, orang itu mesti melakukan kerja itu. Jika dia didapati menjual lesen itu kepada orang lain, kita akan mengambilnya balik," tambahnya.- 12/6/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 461  tetamu dalam talian