02Oktober2014

Doa hancur UMNO: Tugas Khalid sebagai Menteri Besar Selangor dan Exco Agama tercabar?

khalidmb-513
Sebuah masjid di Selayang mempamerkan notis pihak berkuasa agama Islam Selangor melarang mana-mana pihak menjadikan masjid tempat aktiviti politik.Larangan itu selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Ketua Agama Islam negeri yang mahu masjid hanya sebagai tempat ibadah bukan gelanggang politik.

Barangkali, bukan sahaja masjid itu mungkin masjid-masjid lain seluruh Selangor juga mempamerkan notis itu.

Bagaimanapun, titah Sultan Selangor dan larangan pihak berkuasa agama negeri tidak dipedulikan sebaliknya bukan sahaja masjid tetapi ada surau di Selangor jadi platform parti politik khususnya PAS untuk berceramah politik.

Sebagai bukti, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad kini sedang berdepan perbicaraan kerana memberi ceramah tanpa tauliah pihak berkuasa agama di sebuah surau di Taman Seri Sementa, Kapar Klang.

Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 memperuntukkan mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara mengenai Islam tanpa tauliah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sebenarnya, sudah banyak aduan diterima Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tetapi ianya langsung tidak membimbangkan pihak terbabit kerana PAS adalah antara parti yang membentuk kerajaan negeri selain PKR dan DAP.

Lebih merumitkan, Exco Agama Kerajaan Negeri yang sepatutnya dipertanggungjawabkan memastikan titah Sultan Selangor dan undang-undang dipatuhi adalah Menteri Besar sendiri, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Timbul persoalan, beranikah mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang berkait dengan PAS mengadakan ceramah di majid atau surau-surau di Selangor.

Kesepakatan PKR,DAP dan PAS tentu menyulitkan Khalid dan tidak mustahil surau ataupun masjid akan terus jadi gelanggang politik khususnya untuk menghentam kerajaan.

Terbaru, selain isu ceramah atau tazkirah tanpa tauliah, jemaah yang bersolat Jumaat di Masjid Al Falah, Hulu Yam Bharu di Hulu Selangor terkejut apabila khatib menutup khutbah dengan doa meminta kehancuran Umno dan Barisan Nasional (BN) selepas mendoakan kesejahteraan Sultan Selangor.

Terdapat sebilangan jemaah menurunkan tangan untuk tidak mengaminkan doa tersebut dan ada juga yang mengambil keputusan keluar daripada masjid kerana berasa terganggu.

Ramai jemaah yang terkejut dengan bacaan doa itu kerana tidak menyangka khatib yang merupakan imam kedua masjid itu sanggup mendoakan kehancuran sesama Islam.

“Dalam kekhusyukan mengaminkan doa akhir itu, tiba-tiba terkejut dengan doa yang menyebut kehancuran Umno dan BN.

“Saya segera menghidupkan telefon bimbit dan merakam sambungan doa itu hingga akhir kerana saya sifatkan doa ini menyimpang,” ujar Muhammad Shaiful Harun, jemaah masjid itu yang kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Hulu Yam Bharu Jumaat.

Menurutnya, kerana mahukan penjelasan beliau menunggu khatib tersebut di depan masjid dan bertanyakan sama ada doa itu tercatat dalam teks khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Namun, menurutnya ketika bersemuka dengan khatib tersebut beliau terus ditengking dan dikutuk dengan kata-kata kesat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Kampung Pasir, Rosli Sari lantas menurunkan tangan sebaik mendengar doa tersebut.

Beliau terpinga-pinga dan terkejut mendengar doa itu sambil berasakan kesal terhadap tindakan khatib tersebut.

“Saya terasa sangat dan terus menurunkan tangan. Sambil mendengar doa itu hingga akhir, saya masih tertanya-tanya mengapa khatib membaca doa seperti itu.

“Sebab saya tidak pernah mendengar doa sebegitu ketika solat. Kalau melihat doa disampaikan adik (Mursyidul Am Pas) Nik Abdul Aziz, hanya dalam berita di televisyen, tapi ini depan mata,” katanya.

Perkara itu kini sudah dalam siasatan polis dan tentunya JAIS juga tidak boleh berdiam diri.

Sampai masanya, tindakan tegas perlu diambil oleh JAIS terhadap mereka yang mengotorkan masjid atau surau dengan cerita-cerita politik demi kejayaan politik parti diwakili mereka.

JAIS tidak perlu takut atau ragu-ragu untuk menggenakan tindakan terhadap mereka kerana tindakan itu selaras titah Sultan Selangor yang mahu institusi agama itu tidak dicemari pengaruh politik.

Khalid pula sebagai Exco Agama perlu tegas menyokong JAIS melaksanakan tugas mereka sama seperti beliau menyatakan sokongan kepada jabatan itu yang menyiasat Naib Presiden PKTR, Nurul Izzah Anwar yang terbabit kontroversi mengenai kebebasan beragama seperti dinyatakan dalam sebuah forum.

Namun, dapatkah Khalid bertegas terhadap tindak tanduk pemimpin atau ahli-ahli PAS berceramah di masjid atau surau dan juga bertegas terhadap Nurul Izzah anak kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Ini sesuatu yang akan menguji Khalid disebalik banyak pihak melihat kegagalan beliau sebagai Menteri Besar menyelesaikan janji-janji kepada rakyat Selangor yang dibuat pada kempen PRU ke 12 dulu.

Apakah selepas jadi menteri besar yang diumumkan paling cemerlang oleh Anwar, Khalid sebaliknya dilihat gagal sebagai MB dan Exco Agama?

Adakah lebih penting Khalid menjaga hati Anwar dan PAS berbanding titah Sultan Selangor yang mahu menjagakan perpaduan umat Islam? Kini, timun dan pisau ditangan Khalid.-24/11/2012- OLEH ROSLAN BIAN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1196  tetamu dalam talian