Rab05162012

Kemaskini terakhir06:09:10 AM GMT

Back Arkib Arkib Agenda Daily Berita Muka Hadapan Muka Hadapan Hasan Ali tak akan rayu pemecatan dari PAS...parasit bermaharajalela

Hasan Ali tak akan rayu pemecatan dari PAS...parasit bermaharajalela

  • PDF

hasan4xxSeperti diduga...Datuk Dr Hasan Ali tidak akan membuat rayuan terhadap pemecatan daripada  PAS pada 8 Januari lalu. Ini,katanya kerana negara Islam dan hukum Hudud kini bukan lagi keutamaan parti itu.

Malah, menurut beliau peranan ‘parasit’ makin menonjol dan bermaharajela hampir menguasai parti.

ADUN Gombak Setia itu , membuat pengumuman itu dalam sidang akhbar di rumahnya di Taman Tun Dr Ismail,Kuala Lumpur petang Sabtu.

Beliau dipecat daripada PAS sebulan lalu kerana didakwa perbuatan yang bertentangan dengan parti dan tempoh rayuan kepada Majlis Syura akan berakhir 7 Februari ini.

Ekoran itu juga, beliau digugurkan daripada jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Menurut Dr Hasan, kerana parasit ini begitu menonjol dalam parti, pimpinan tertinggi terpaksa membuat keputusan di luar batasan pengurusan manusia dan organisasi yang lazimnya.

“Saya juga mendapati hala tuju dan dasar perjuangan parti terkeluar daripada landasan asal, Negara Islam, hukum Hudud, kepimpinan ulama dan akhlak Islam tidak lagi jadi amalan dalam urusan harian parti,” katanya.

Menurut beliau, walaupun tidak bersama parti, beliau akan menyokong kepimpinan ulama dan Pemuda PAS yang dilihat masih kubur corak kepimpinan asal parti.

“(Elok saya dipecat) Kalau saya dalam parti, mulut, tangan dan kaki diikat. Saya harap ulama dan Pemuda PAS dapat bersama-sama saya teruskan perjuangan Islam dan menyisihkan golongan parasit ini,” ujarnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang menyuarakan hasrat tidak mahu bertanding pilihanraya umum ke 13 ada kaitan dengan parasit dalam parti itu.

“Ada kebenaran (kerana parasit).. tetapi saya tak dapat buktikan dengan fakta,” ujarnya.

hasan5xx

Bagaimanapun, beliau berharap Haji Hadi kekal dalam parti itu untuk tangani soal parasit tersebut malah mahu pemilihan pucuk pimpinan PAs akan datang menolak golongan itu.

Dr Hasan menegaskan beliau  akan meneruskan siri roadshownya yang  sudah diadakan di beberapa tempat kebelakangan ini untuk menerangkan

isu berkaitan pemecatannya dan tindak tanduk PAS.

Beliau menafikan dakwaan pembangkang khususnya kalangan pemimpin PAS yang cuba memperlekehkan roadshownya dengan mendakwa ia ditaja oleh UMNO.

Katanya UMNO tidak terlibat langsung dalam gerakan itu. Menjawab soalan, kehadiran hampir 8,000 orang dalam ceramahnya di Bakri malam semalam bukti kajian PAS serta dakwaan beberapa pemimpin kononnya pemecatan beliau dan road shownya tidak memberi  kesan kepada
parti adalah meleset.

Malah, rata-rata tempat ceramah diadakan jumlah kehadiran antara 2,000 hingga 3,000 orang.

Secara seloroh katanya, “pentas ceramah pun hampir senget bila orang ramai naik ke pentas beramai-ramai untuk bersalam dengan saya,”.

Dr Hasan juga kata beliau tidak akan menyertai parti KITA yang hendak dibubarkan oleh Datuk Zaid Ibrahim.

Ini  ekoran sebilangan pemimpin negeri parti itu yang membantah tindakan Zaid itu mahu terus mengendalikan parti itu dan menyatakan hasrat hendak berkerjasama dengan Dr Hasan.

Dr Hasan berkata beliau tetap akan bersama dengan JATI yakni sebuah NGO yang akan dilancarkan pada 21 Februari ini.

JATI membabitkan gabungan pertubuhan sukarela dan NGO yang berminat menghayati perjuangan memartabatkan Islam. Melayu dan Raja-Raja (IMR). - 4/2/2012 -OLEH ROSLAN BIAN







Roadshow Hasan Ali jadi tarikan baru...buat PAS makin 'senak perut'

Sesiapa yang mengikuti dari awal siri jelajah bekas orang kuat PAS, Datuk Dr Hasan Ali tentu sekali sedar bahawa kini wujud momentum baru yang boleh buat Pakatan Rakyat terutamanya PAS tak senang duduk.

Melihat dari jumlah kehadiran orangramai, aura bekas Naib Presiden PAS itu nyata tidak terhakis dengan segala kecaman yang diterimanya termasuk kononnya jadi alat UMNO sejak dipecat oleh parti yang disertainya 13 tahun lalu.

Bahkan menggunakan platform sendiri Sekretariat Mobilisasi Umat (SMU) yang disertai oleh kawan-kawan lama beliau dalam PAS dan mereka yang bersimpati dengannya setiap ceramah Hasan Ali mendapat sambutan luar biasa.

Senang cakap kalau PAS dakwa roadshow Dr Hasan tidak memberi sebarang kesan itu tanda mereka cuba memujuk hati sendiri.

Kekuatan Dr Hasan ialah pada kredibilitinya apa lagi dilihat sebagai mangsa percaturan dalaman PAS yang terlalu nak jaga hati PKR dan DAP.

Mereka yang mendengar ceramahnya yang bersemangat dan disampaikan dengan jelas itu dibawa menyusuri kongkalikong pakatan tiga parti yang tidur sebantal mimpi lain-lain itu.

Di Bukit Gantang misalnya, penganjur memberitahu Agendadaily lebih lima ribu orang keluar mendengar penerangan Hasan Ali.

“Kita sediakan 10 khemah, 2,000 kerusi penuh, yang berdiri pun ramai, dan kebanyakan mereka orang tempatan yang hadir naik motor saja,” katanya yang enggan dikenali.

Di Jalan Kebun, Klang lebih 2,000 hadir.

Di Bangi, ketika Agendadaily berkesempatan menyaksikan sendiri ceramahnya pada malam Selasa, tidak kurang hebat.

Enam khemah dan 800 kerusi penuh, yang berdiri di sekitar padang Seksyen 2, Bandar Baru Bangi itu pun ramai. Dianggarkan tidak kurang daripada dua kali anda jumlah yang duduk berkerusi.

Ada yang naik motor, tapi kebanyakannya berkereta, sehingga siapa yang lambat kena jalan kaki jauh sebab tempat parking penuh.

Dalam siri jelajahnya, Dr Hasan Ali tidak keseorangan dari PAS, beliau ditemani dengan seorang Hassan lagi, iaitu bekas ketua penerangan PAS Selangor Ustaz Hassan Basri.

Hassan Basri pun bukan calang-calang pemidato, kalau dengar dari jauh tak tengok muka, gayanya saling tak tumpah macam Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selain itu, Norman Toha, bekas setiausaha perhubungan PAS Selangor,  yang mengacarakan majlis, lebih berperanan sebagai penganjur dan penyelaras setiap ceramah.

Kiranya jentera utama Dr Hasan untuk berkempen dalam siri jelajah ini adalah kawan-kawan lama beliau dalam PAS. Berdasarkan jadual yang disusun oleh SMU, Dr Hasan akan menjelajah seluruh Selangor sehingga hujung bulan Febuari ini.

“Setiap malam beliau ceramah, ada hari yang programnya bermula pagi, iaitu majlis penerangan dengan NGO Selangor yang kita panggil Wacana Ilmu.

“Ada program yang bermula petang macam majlis Hi-Tea, tapi hampir semua program adalah sebelah malam, meliputi DUN-DUN yang dikuasai PAS seperti Meru, Selat Klang, Sijangkang, Gombak Setia.

“DUN PKR kita pergi ke Bukit Antarabangsa, Ijok, Kota Damansara, Taman Medan dan banyak lagi,” kata Norman.

Agendadaily berkesempatan melihat kertas jadual program-program Dr Hasan Ali tersebut, yang mana, hari yang dibiarkan kosong hanya Jumaat. Lain-lain sudah penuh setiap nama tempat dan DUN sasaran.

Orang kata dari segi mobilisasinya amat terancang, lelah dan senak perut jugalah PAS dan PR hendak counter semua ceramah dalam siri jelajah ke seluruh pelusuk Selangor itu.

Sudah tentu isu utama yang disentuh Dr Hasan dalam siri jelajahnya adalah sebab pemecatan beliau dari PAS pada 8 Januari lalu. Pemecatan yang dibuat tanpa pertuduhan dan hak beliau untuk membela diri, katanya.

“Tidak ada sekeping suratpun yang dihantar untuk memaklumkan pertuduhan atau jemputan untuk saya menghadiri sesi soal siasat sebelum dipecat,” katanya.

"Kesalahan saya bukan meliwat orang. Kesilapan saya bukan gila kuasa. Tetapi kesalahan saya kerana melaksanakan enakmen jenayah Syariah…

"Itu salah saya. Terpulang pada saudara untuk menilai...” katanya dengan retorik yang memukau hadirin.

Sebagai bekas orang nombor tiga PAS, pengaruhnya dalam parti tersebut tidak boleh dipandang ringan,. terutamanya di Selangor yang mana beliau merupakan Pesuruhjaya PAS negeri sejak 2004 lagi.

Selain kepada ahli PAS,  peengaruhnya juga menyusur juga kepada golongan atas pagar yang selama ini berjinak-jinak dengan parti pembangkang. Golongan kelas pertengahan Melayu, yang suka dengan gaya ceramah motivasi Dr Hasan, yang mengenali beliau sejak di zaman beliau menjadi penceramah Biro Tata Negara (BTN) lagi.

hasanbgantangBukan sehari dua Dr Hasan dengan BTN, lebih 20 tahun, terlibat dengan kursus-kursus yang membabitkan kakitangan awam seluruh negara.

Juga golongan muda, bekas-bekas anak didik beliau dalam ‘summer camp’ yang mana beliau kelolakan bersama isterinya, selama 38 tahun dan cukup terkenal satu masa dulu.

“Tindakan PAS pecat Dr Hasan Ali pada waktu-waktu hampir dengan pilihanraya seperti ini merupakan rahmat kepada UMNO Selangor, ‘bola tanggung’ kepada kita,” kata Naib Ketua Pemuda UMNO Sepang Anuar Basiran.

Sungguhpun, UMNO Selangor tidak bergantung kepada pengaruh Hasan untuk membuat penerangan mengenai isu-isu semasa di Selangor, tetapi tempias dari pemecatan itu menguntungkan UMNO.

“Sekarang orang Melayu Selangor yang sebelum ini rapat dengan pembangkang ‘tersentap’ dengan segala macam masalah PR, mereka sedar bahawa PR bukan kerajaan yang boleh diharap,” katanya.

Dr Hasan, kata Anuar, merupakan ‘penyapu baru’ untuk mencuci kerajaan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang.

“Saya rasa UMNO sudah pasti akan ambil kesempatan semaksimum mungkin atas kucar-kacir dalam PR ini. Kita orang politik, benda ni macam bola tanggung, kita tak smash rugi besar lah…” katanya yang turut serta di Bangi.

“Dari pemerhatian saya, yang datang pada ceramah Dr Hasan adalah orang PAS yang keliru, mereka hendak dengar sendiri penjelasan daripada beliau, kedua pengundi atas pagar, Melayu bandar, kakitangan kerajaan, golongan pertengahan, mereka ini bukan jenis terima segala kata-kata dari pemimpin PAS.

“Ketiga penyokong NGO HIMPUN yang Dr Hasan merupakan orang kuatnya, serta penyokong dan keempat penyokong UMNO, yang rasa boleh ambil kesempatan ‘bola tanggung’ ini,” kata Anuar.

Dr Hasan sendiri selesa dengan membangkitkan tiga perkara dalam siri jelajahnya, IMR - Islam, Melayu dan Institusi Raja, yang kalau kita teliti tidak berbeza langsung dengan perjuangan UMNO selama ini.

Selain IMR, beliau yang juga merupakan bekas exco kerajaan negeri menceritakan pengalaman-pengalaman peribadinya, sepanjang menjawat jawatan tersebut.

Modal Dr Hasan adalah kisah benar bagaimana PAS menghalang usahanya memerangi penjualan arak di  Selangor pada tahun 2008.

Katanya, jika parti komponen lain seperti DAP atau PKR yang menghalang usahanya itu, beliau tidak kisah.

"Saya berasa hairan. Tuan-tuan tahukan macam mana saya memerangi arak? Jadi, siapa yang halang saya? Kalau DAP atau PKR yang nak halang saya, saya boleh faham. Tetapi bekas parti saya sendiri yang halang. Saya tak boleh terima," katanya.

Beliau turut menceritakan kunjungan seorang wakil PAS Pusat bertemu dengannya sebagai langkah untuk ‘tone down’ beliau yang aktif mencegah mungkar di Selangor.

Katanya, wakil yang tidak dinamakannya itu telah memberitahunya untuk mengurangkan penguatkuasaan dan serbuan oleh Jabatan  Agama Islam Selangor yang diketuainya sebelum ini.

"Yang penting kita nak tawan Putrajaya dulu," kata wakil PAS Pusat tersebut cerita Dr Hasan yang tidak boleh menerima saranan tersebut.

"Biar tak sembahyang, zina, minum arak dulu asalkan pergi Putrajaya?," soal Dr Hasan.

Hadirin yang berdiri dan duduk terpukau dengan kepetahan bekas pakar motivasi nombor satu negara ini dulu. Di Shah Alam misalnya, hadirin menangis bersama dengannya ketika membaca zikir dan doa.

Beliau tahu cara untuk bermain dengan ‘emosi’ orang ramai yang hadir. Sebab itu, ada yang berani bertaruh, jika Dr Hasan pusing Selangor sehingga hujung Febuari ini, PAS dan PR terpaksa buat macam-macam ‘damage control’.

Dr Hasan, macam kata orang kuat UMNO Sepang, Anuar Basiran, jadi ‘penyapu baru’ mencuci kekotoran PR supaya orang Melayu Selangor dapat melihat dengan lebih jelas lagi.-1/2/2012- OLEH HELME HANAFI


Hasan Ali tubuh 'Jati' untuk teruskan perjuangan

Bekas anggota PAS, Datuk Dr Hasan Ali akan menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) dinamakan 'Jati' untuk meneruskan agendanya memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu.

"Secara peribadi orang tanya saya nak sertai Umno atau PKR (Parti Keadilan Rakyat)...saya nak katakan, saya tidak akan sertai mana-mana parti politik, saya akan sertai NGO yang namanya Jati," katanya kepada pemberita di Shah Alam.

Beliau yang ditemui selepas berceramah di Seksyen 17 malam Isnin,turut mengakui masih sayangkan PAS dan mahu membantu parti itu menghapuskan golongan 'parasit' yang cuba merosakkan perjuangan asal PAS.

Sejak dipecat dari PAS pada 8 Januari lepas, spekulasi tersebar luas bahawa bekas anggota exco kerajaan negeri Selangor itu akan menyertai Umno.

Mengulas mengenai Jati, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata NGO tersebut akan dilancarkan pada 21 Februari ini.

Bernama melaporkan beliau turut mengajak NGO lain untuk bergabung dengan Jati bagi membentuk 'kuasa ketiga' yang diharapkan dapat mengimbangi kehadiran Barisan Nasional dan pakatan pembangkang pada pilihan raya umum ke-13.

Ditanya sama ada kuasa ketiga itu akan menyokong parti memerintah, Hasan berkata, perkara tersebut belum diputuskan.

"Kita adalah kuasa ketiga kalau bertanding pun atas nama kuasa ketiga dan kita tak kisah sama ada kita bertanding bersama atau tidak bersama dengan mana-mana parti politik," katanya. - 31/1/2012




Suara Dr Hasan Ali balon PAS terus bergema di Himpun

Usaha beberapa portal pembangkang untuk memperlekehkan porgram Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) di Kepala Batas Sabtu tidak dapat menyekat gema suara bekas Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali membuka lagi pekung ' dua alam'  PAS.

Ini berhubung dengan sikap pelik parti itu yang menyekat ahlinya dari menyertai program Himpun untuk memperjuangkan akidah orang Islam sebaliknya galak orang hadiri perhimpunan 901 semasa keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim 9 Januari lalu.

Berucap pada majlis di Dewan Pusat Budi Penyayang ,Kepala Batas Dr Hasan berkata beliau tidak kisah sangat jika PKR bersikap begitu kerana parti berkenaan mempunyai keahlian yang bercampur Melayu, Cina dan India.

Beberapa portal pembangkang cuba gambarkan program Himpun ini tidak mendapat sambutan

Tidak kurang menarik, Dr Hasan turut mendedahkan ada di kalangan ahli PAS sendiri yang cuba halangnya ketika hendak menjalankan tugas mencegah maksiat.

Di depan hampir 5,000 hadirin beliau menegaskan program Himpun akan diteruskan di setiap negeri sekalipun mereka berdepan pelbagai halangan dan rintangan.-28/1/2012




Kain rentang jelajah Dr Hasan Ali jadi isu...

hasanbangi

Ikut cerita PAS Selangor, mereka tidak goyang dengan pemecatan bekas orang nombor satu parti tersebut di negeri itu Datuk Dr Hasan Ali.

Tapi lain pula cerita di lapangan, petang Jumaat, Sekretariat Mobilisasi Umat (SMU) mengecam tindakan  Majlis Perbandaran Kajang (MPkj) yang menurunkan 10 banner Roadshow Masa Depan Politik Malaysia yang berkaitan siri jelajah Dr Hasan Ali.

Dalam satu kenyataan media, Pengerusi SMU Norman Toha berkata hak kebebasan rakyat untuk bersuara telah disekat oleh Menteri Besar. Sekatan ini dibuat berpilih- pilih.

Menurut beliau, siri jelajah tersebut bakal diadakan pada 31 Jan 2012, Selasa, 9.00 malam di Balai Pahlawan, Padang Seksyen 2, Bandar Baru Bangi didakwa disabotaj oleh pihak tertentu.

“Kalau iklan banner Pakatan, walaupun tiada lesen tidak akan mereka turunkan tetapi kalau banner milik gerakan rakyat seperti Roadshow anjuran bersama SMU, mereka turunkan,” katanya.

Beliau mempersoalkan, “dimanakah keadilan untuk rakyat Selangor yang ingin bebas dari fahaman politik ektrem kepartian?"

“Kami menuntut agar kesemua banner rakyat yang bernilai RM1,500 itu dipulangkan kepada kami sebagai penganjur bersama Roadshow tersebut,” katanya.

Sementara itu, Agendadaily difahamkan, bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa  membuat laporan polis di Bangi petang Jumaat kerana banner ceramah road show membabitkan Dr Hasan Ali memaparkan gambar beliau.

Nasharuddin dikatakan menafikan pembabitannya dalam siri jelajah tersebut dan tidak pernah dihubungi penganjur.

Usaha Agendadaily menghubungi beliau untuk pengesahan bagaimanapun gagal.

Dr Hasan Ali akan menghadiri siri jelajah di Bangi Selasa ini bersama-sama dengan Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik serta bekas Ketua Penerangan PAS Selangor Ustaz Hassan Basri.-27/1/2012



IKLAN

Mari memancing udang di Pusat Memancing UdangGalah Tuah.

Inginkan perfume original sila lawat dan like XINXARA.

Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.

Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.

Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.

Iklankan Perniagaan/produk anda disini. Hubungi kami disini.