15November2018

Bajet 2019: Kerajaan PH gagal tunai janji pasal bayaran balik PTPTN

Cadangan kerajaan dalam Bajet 2019 mengenai pembayaran balik pinjaman PTPTN dengan cara potongan gaji daripada pendapatan bulanan melebihi RM1,000 sebulan ternyata bertentangan dengan janji yang dibuat Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
 
Ini dinyatakan oleh ahli Parlimen BN Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga bekas Pengerusi PTPTN.
 
“Secara jujur saya ingin sebut bahawa beberapa perkara yang dibentangkan adalah baik kepada PTPTN. Namun sebagai sebuah kerajaan yang telah berjanji kepada rakyat sudah jelas Bajet 2019 mengesahkan bahawa Kerajaan PH gagal menunaikan apa yang dijanjikannya.
 
“Pembayaran balik dengan cara potongan gaji berjadual antara 2% hingga 15% daripada pendapatan bulanan peminjam melebihi RM1000 sebulan bermakna kerajaan mewajibkan potongan gaji kepada semua peminjam bergaji RM1000 ke atas.
 
“Ini menunjukkan apa yang dijanjikan oleh Kerajaan PH untuk memulakan bayaran balik ditangga gaji RM4000 dengan sendirinya tidak dilaksanakan , sebaliknya mewajibkan pula potongan gaji bermula pendapatan RM1000 ke atas,” katanya dalam satu kenyataan Jumaat.
 
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO memberitahu sebelum ini PTPTN memang melaksanakan sistem bayaran balik melalui potongan gaji, namun ia bukanlah suatu yang wajib sebaliknya dilaksanakan atas persetujuan peminjam.
 
Justeru itu kata Shamsul apa yang dilakukan Kerajaan ini bertentangan dengan Janji 100 Hari PH.
 
Cadangan potongan pinjaman kepada peminjam daripada isi rumah B40 yang mendapat keputusan Kelas Pertama untuk peringkat Ijazah sahaja katanya bermakna bukan semua peminjam mendapat keistimewaan ini.
 
Tambah beliau lagi, selama ini Polisi ‘Pengecualian Bayaran’ telah dilaksanakan kepada lepasan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.
 
Sejak dilaksanakan oleh PTPTN  sehingga Mac 2018 sejumlah 45 ribu pelajar mendapat nikmat ini dengan hampir RM1.5 Bilion PTPTN belanjakan.
 
Malah apa yang dilaksanakan dahulu nikmatnya diperolehi oleh semua golongan tanpa mengira latar belakang.
 
“Ini sebagai suatu usaha mewujudkan daya saing di kalangan pelajar. Bagaimanapun dasar baru Kerajaan PH ini hanya akan dinikmati oleh peminjam B40 sahaja. Malah kemungkinan ‘potongan pinjaman juga bermaksud bukan pengecualian bayaran’, sebaliknya hanya dipotong pinjaman mengikut peratus tertentu sahaja,” katanya.
 
Secara umumnya ujar beliau, perkara yang dinyatakan dalam Bajet 2019 berkaitan PTPTN baik kepada untuk institusi itu kerana telah dilaksanakan sebelum ini dan cuma ditambahbaik sahaja.
 
Malah tegas beliau banyak perkara yang sebelum ini ditentang sendiri oleh ahli Parlimen PH dahulu terus dilaksana.
 
“Ini bermakna apa yang Kerajaan BN lakukan sebelum ini adalah betul. Umpamanya pelepasan cukai yang diumumkan dari  RM6000 kepada RM8000 adalah lanjutan dilakukan oleh Kerajaan BN sebelum ini.
 
“Ia menepati perancangan PTPTN sejak Kerajaan BN iaitu mengalihkan kebergantungan pelajar kepada pinjaman sebaliknya kepada simpanan sesuai dengan imej ‘Tabung Pendidikan’ yang dijenamakan baru oleh Kerajaan BN.
 
“Namun ketika itu diputar belit oleh PH ketika itu termasuk oleh Pengerusi PTPTN sekarang,” katanya.
 
Menurutnya lagi, Bajet Kerajaan PH 2019 masih gagal mengemukakan program atau dasar-dasar baru yang lebih jelas.
 
“Hampir kebanyakan diumumkan adalah apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN dahulu.
 
“Malah banyak daripadanya dahulu mendapat bantahan daripada mereka namun ia dilaksanakan semua dan hanya bertukar nama dan penambahbaikan disana-sini sahaja,” katanya.- 2/11/2018
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1024  tetamu dalam talian