14Disember2018

Apakah ini punca Mustapha Mohamad keluar UMNO?...Annuar Musa dedah ada ‘tawar menawar’

Kalau tanya kalangan pimpinan UMNO dan mereka yang rapat dengan Datuk seri Mustapha Mohamad tidak ramai yang boleh terima alasan yang diberi oleh Ahli Parlimen Jeli,Kelantan itu untuk keluar parti pada Selasa lalu.
 
Malah ada mendakwa tidak pernah dengar bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu sebelum ini merungut pasal hala tuju UMNO pada masa kini tidak selari dengan perjuangannya yang menjadi salah satu alasannya.
 
Juga apa yang pasti isu kerjasama UMNO dan PAS juga bukan menjadi punca sekalipun beliau turut beri alasan untuk menjadi relevan dalam dinamika politik nasional hari ini, UMNO selaku peneraju Barisan Nasional tidak boleh bergantung kepada sokongan orang-orang Melayu dan Bumiputera semata-mata.
 
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang memberi sidang akhbar mengenai Perhimpunan Agung UMNO di PWTC Khamis berdepan dengan soalan demi soalan dari wartawan mengenai isu Ahli Parlimen UMNO keluar parti termasuk terbaru Datuk Seri Anifah Aman,Kimanis pada Rabu.
 
Sebelum itu tiga yang keluar UMNO ialah Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dari Bagan Serai,Datuk Syed Abu Hussin Hafiz, Bukit Gantang dan Mas Ermieyati Shamsudin, Masjid Tanah.
 
Khusus menyentuh mengenai tindakan Mustapha keluar parti yang mengejutkan ramai pihak Annuar menegaskan dakwaan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin ia berpunca dari isu kerjasama UMNO dan PAS adalah tidak benar.
 
Katanya beliau ada bertemu dengan Mustapha tiga hari lalu dan dapati ia bukan isu kerjasama UMNO dan PAS.
 
Menurut Annuar lagi Mustapha tidak pernah menolak kerjasama itu.
 
Katanya jika benar sudah tentu beliau akan tunggu mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO untuk menyuarakan bantahannya.
 
Lagipun kata Setiausaha Agung UMNO itu kedua parti belum jalin sebarang kerjasama rasmi kecuali saling bantu membantu dalam konteks peranan sebagai pembangkang.
 
Annuar berkata beliau mempunyai versi tersendiri mengenai mengapa Mustapha keluar UMNO.
 
Beliau mendedahkan beberapa hari sebelum umum keluar parti Mustapha yang juga bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan telah disiasat oleh polis berkaitan dengan sesuatu dana yang diterima dari pihak tertentu.
 
“Beliau ada terima sejumlah dana.Beliau disiasat oleh polis,”katanya.
 
Apapun ketika ditanya adakah siasatan polis itu jadi penyebab Mustapha keluar UMNO,Annuar kata soalan berkenaan hendaklah ditanya kepada Ahli Parlimen Jeli itu sendiri.
 
“Ini kerana ramai lagi yang disiasat tetapi mereka tidak meninggalkan parti,”katanya.
 
 Sebelum itu menjawab berbagai soalan mengenai isu Ahli Parlimen UMNO keluar parti, Setiausaha Agung UMNO mengakui bahawa wujud 'tawar-menawar' pihak tertentu bagi mengumpan pemimpin UMNO untuk meninggalkan parti itu dan menyertai parti lain.
 
"Banyak tawar menawar. Pintu depan pintu belakang. Kita tak boleh nak kawal nak tambat. Terpulang pada istiqamah masing-masing.Perjalanan masih jauh,”katanya.
 
Annuar berkata,keadaan tersebut berada di luar kawalan UMNO dan setiap keputusan dibuat atas pertimbangan masing-masing.
 
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan secara terperinci siapa pemimpin berkenaan.
 
"Masing-masing ada alasan sendiri untuk keluar. Ada yang mempunyai kepentingan perniagaan dengan kerajaan dan perlu selamatkan perniagaaan.
 
"Ada dalam siasatan SPRM. Ada yang tidak boleh tidur lepas disiasat. Lain orang lain masalah. Tak elok tuduh-tuduh. Politik negara kita matang dan kita hormati pendirian mereka," kata Annuar.
 
Katanya UMNO tidak dapat menyekat jika mereka mahu keluar.
 
Lagipun,katanya UMNO tidak mengenakan perjanjian dan sebagainya untuk mengikat seseorang Ahli Parlimen dari keluar parti seperti dibuat oleh parti lain.
 
"Kita tidak mungkin boleh mengawal ahli-ahli kita, nak tambat, nak ikat mereka dan saya tidak fikir politik seharusnya begitu.
 
"Dalam politik ini kita kena tengok tiada kawan atau musuh yang tetap," katanya.
 
Annuar juga secara sinis berkata, jika beliau bertindak meninggalkan UMNO, sudah menjadi kewajipan untuknya mengosongkan kerusi Parlimen Ketereh yang dimenangi.
 
Hal ini kerana, tegas beliau, kemenangan tersebut adalah milik UMNO dan bukan hak persendirian.
 
"Duit deposit bertanding UMNO bayar, peruntukan pilihan raya UMNO bagi, lambang UMNO yang bagi.
 
"Jadi kalau kita berprinsip dan rasa UMNO ini tak releven maka jangan bawa harta UMNO pergi," katanya. -20/9/2018
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 538  tetamu dalam talian