21Disember2014

Anwar ‘Si Kitul Moden’ - Najib

najib-pau1254
pau12
‘Si Kitul Moden’…itu gelaran yang diberikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menghina intelek rakyat Malaysia apabila mengadu kepada negara luar untuk menjadi pemerhati pilihan raya di negara ini.
 
"Waima, sudah 12 kali pilihan raya umum dijalankan di negara ini,”katanya.

"Dah lebih separuh abad pun kita merdeka... tahulah kita selok belok negara sendiri. Persoalannya, selepas mereka menang di lima negeri pada pilihan raya lalu tiada pula rumah siap pahat berbunyi," sindir Presiden UMNO itu.
 
Anwar sebelum ini meminta bantuan Australia untuk memastikan pilihan raya umum di negara ini berjalan secara bebas dan adil.

Bagaimanapun permintaannya itu ditolak  Menteri Luar Australia, Senator Bob Carr yang berkata, Australia  tidak boleh dan tidak akan mempengaruhi cara pilihan raya umum patut dilaksanakan di Malaysia.
 
Anwar juga dilapor memberitahu Carr beliau punya bukti tentang penipuan pendaftaran pemilih dan anomali lain dalam menghadapi pilihan raya itu.

Tindakan itu bingkas dibidas Najib yang mengatakan "kalau tidak pandai menari, janganlah lantai dikata jongkang jongkit."
 
"Misalnya, Suruhanjaya Pilihan Raya yakni SPR difitnah bertubi-tubi. Sehinggakan tunjuk perasaan dianjur.

"Kita tahu, mereka lakukan ini sebagai tindakan awal jangka. Sebab, seandainya mereka kalah dalam pilihan raya nanti, bukan faktor tidak mendapat sokongan rakyat akan dibangkitkan namun, pihak SPR lah yang akan disalahkan dan dianggap tidak adil serta tidak berwibawa," kata Najib.
 
Menurutnya lagi, Anwar bukanlah pengurus ekonomi yang cekap kerana gagal menangani krisis kewangan Asia yang melanda Malaysia pada tahun 1997-1998.

"...terbukti, menteri kewangan ketika itulah orangnya, yang kini, menjadi ketua pembangkang, bukanlah pengurus ekonomi yang cekap," kata Najib dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini Khamis.
 
Katanya tindakan Anwar ketika itu, memotong perbelanjaan pembangunan dan menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun kerana menggunapakai dasar maya Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang diketuai sahabat karibnya, mengakibatkan kesengsaraan kepada rakyat, khususnya masyarakat perniagaan.
 
"Orang ini memang selayaknya digelar sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, beza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam lain pula ceritanya. Semasa bersama kita dalam Umno, caranya sekian, sekarang jadi Ketua Pembangkang, segala pendirian dan fe'elnya berubah pulak.
 
"Kalau ikut pepatah dulu orang menyebut dia ini lidah bercabang. Jelasnya tiada orang boleh meneka watak sebenar beliau yang secara terang-terang mendukung usaha menjamin keselamatan Israel, pada kala dunia sedang mengutuk Rejim Tel Aviv yang kejam itu kerana membantai dan mengganyang umat Islam di Gaza. Akan tetapi apabila kerajaan membentang usul mengecam Israel di Parlimen...dia menyokong pulak...heran," kata Najib.
 
Beliau turut mempertikaikan janji Buku Jingga yang melibatkan jaminan pendapatan purata bulanan isi rumah Malaysia pada kadar RM4,000, menghapuskan tol, hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, RM500 sebulan sebagai elaun khas kepada guru, dan menaikkan royalti petroleum sehingga 20 peratus kepada negeri-negeri terbabit.
 
"Mana mungkin semua itu diperbuat kerana natijahnya akan memusnahkan ekonomi negara. Pada tahun pertama seandainya dilaksanakan (manifesto Buku Jingga), defisit bajet kerajaan pusat akan melonjak kepada hampir 30 peratus, dan kedua, menjelang 2015 kadar nisbah hutang negara kepada KDNK akan melambung kepada 140 peratus," katanya.
 
Beliau berkata tahun ketiga pula, Malaysia akan mencapai tahap keparahan dan hilang kedaulatan ekonomi seperti Greece, dan ketika itu pengurusan iktisad negara sudah beralih ke tangan institusi antarabangsa.

Menyentuh soal demokrasi cara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Perdana Menteri turut mengkritik caranya yang menyaksikan ketua umum PKR itu tidak dipilih, sebaliknya dilantik terus ke jawatan itu, isterinya pula menjadi presiden parti manakala anak sulung mereka menjadi naib presiden.
 
Beliau berkata demokrasi pincang cara DAP pula menyaksikan tempoh jawatan senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim tidak disambung selepas bekas naib pengerusi DAP itu tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan Bersih 3.0; dan rumusannya ialah DAP akan menjatuhkan hukuman kepada siapa sahaja yang memiliki pandangan berbeza dengan mereka.
 
Katanya di peringkat kepimpinan pusat DAP pula ketika ini hanya tinggal seorang sahaja orang Melayu di kalangan 30 kepimpinan pusat DAP.

"Inikah yang dinamakan demokrasi? Inikah yang dinamakan tidak perkauman?," tanya beliau.
 
Presiden Umno kemudiannya mengkritik tindak tanduk pembangkang di negeri-negeri yang dikuasai mereka, yang secara umum berkisar mengenai janji yang tidak ditepati dan kelemahan pentadbiran.

Di Pulau Pinang, Najib merujuk kepada masalah penduduk Kampung Buah Pala yang diselesaikan oleh BN walaupun PKR berjanji untuk menyelesaikannya dalam tempoh dua minggu selepas memenangi pilihan raya.
 
Beliau turut merujuk kepada kata-kata Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Mansor Othman yang menggelarkan Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai 'Cocky, Arrogant dan Tokong'.

Di Kelantan pula, katanya masalah bekalan air masih tidak selesai sehingga kini walaupun sudah 22 tahun PAS menerajui kerajaan negeri, manakala janji air percuma di Selangor juga tidak ditunaikan oleh kerajaan negeri kepada penduduk flat kos rendah dan pangsapuri yang menggunakan meter pukal.
 
Najib berkata selain itu Selangor juga tidak dapat memberi elaun bulanan RM100 kepada ibu-ibu tunggal di negeri berkenaan.-29/11/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 612  tetamu dalam talian