18Ogos2018

Annuar Musa nafi laporan BN digantung sementara...

Ramai yang terkejut dengan berita itu.Apa tidaknya berita itu mengatakan Barisan Nasional digantung sementara.Malah Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa yang dipetik sebagai sumber berita itu sendiri hairan.
 
Tolak sebelah kejutan itu apa yang pasti BN masih kekal dalam status yang sedia ada.
 
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan berkata  soal kedudukan BN tidak pernah dibincang setakat ini dan tiada keperluan untuk bincang hal itu.
 
Ini reaksi mereka kepada laporan sebuah portal berita yang memetik  Annuar sebagai berkata BN digantung sementara untuk meneroka kemungkinan menjalin kerjasama politik lain
 
Mengikut laporan itu Annuar dipetik sebagai berkata UMNO sedang melalui suatu fasa baru dan parti komponen BN perlu pragmatik, melihat kemungkinan bekerjasama dengan parti politik lain.
 
Annuar pada Jumaat dilapor menafikan laporan itu dan menjelaskan ia berpunca dari temubual portal berita itu dengannya dan berita yang disiar itu adalah diluar konteks.
 
Menurutnya temubual dengan portal berita ituialah mengenai  isu MCA mahu menggunakan logo parti berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong dan tidak menggunakan logo BN.
 
Katanya, konteks temubual itu tidak berkisarkan isu BN digantung.
 
“Berita itu tidak benar kerana tidak pernah ada keputusan sedemikian. BN tidak pernah digantung. Ini masalah dengan berita-berita macam ini. Apa objektifnya, kenapa letak berita BN digantung, bila BN digantung?
 
“Janganlah ‘qoute’ nama saya, ini tidak beretika. Awak temubual saya dan lepas itu awak tulis (berita), ini tidak adil. Awak perlu lihat konteks keseluruhan tetapi awak hanya ambil di luar konteks,” katanya 
 
“Jika ada perkara yang tidak jelas, perlu tanya terus kepada saya kerana ini bukan perkara kecil. Pertama, saya bukan Setiausaha BN dan kedua BN membabitkan parti lain, macam mana boleh keluarkan kenyataan BN digantung tanpa pengetahuan ahli BN yang lain. 
 
“Sudah tentu orang akan katakan saya gila, Setiausaha Agung UMNO tidak sedar tanggungjawab ke? Ini tidak baik. Berita itu tidak benar konon BN digantung, jika BN digantung itu adalah cerita besar. Periksalah terlebih dahulu,” katanya.- 10/8/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 443  tetamu dalam talian